Showing posts with label Keberanian. Show all posts
Showing posts with label Keberanian. Show all posts

Sunday, December 20, 2020

Markus 5:25-29 Siapa Yang Menyentuh Siapa? (#InjilMarkus S.1 E.39)

 

Markus 5:27-29, "Wanita itu telah banyak mendengar tentang Yesus. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. 'Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,' kata wanita itu, 'tentu aku akan sembuh.' Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh." Baca betul-betul, siapa sebenarnya yang menyentuh siapa? 😊📖⚡ #ServeToLead #InjilMarkus

🤳 Untuk menonton video-video pengajian Injil Markus, KLIK DI SINI > http://bit.ly/LegasiInjilMarkus 👂 Untuk mendengar Podcast pengajian Injil Matius, KLIK DI SINI > http://bit.ly/LegasiSpotify

FB Page: https://facebook.com/LEGASI.tv/              
Podcast: https://anchor.fm/LEGASI.tv/           
YouTube: http://bit.ly/LEGASItv

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Monday, May 25, 2020

Kos Menjadi Pengikut Yesus Kristus Yang Benar (Matius 8:18-22)


Jika kamu beragama lain dan kemudian membuat keputusan untuk menjadi pengikut Yesus, apa kos yang akan kamu tanggung? Jika kamu pada mulanya menyangkal Yesus dan menghasut orang lain untuk melakukan hal yang sama juga dan apabila disiasat dan berdoa kamu mendapati Dia ialah Anak Allah, apa kos yang akan menimpa kamu? Jika kamu tahu kamu akan dianiaya secara fisikal dan/atau emosi, adakah kamu tetap ingin mengikut Yesus?

Dalam Yesus, kamu akan mendapat keamanan, keselamatan, perbenaran, hidup kekal dan hubungan dengan Bapa yang disyurga. Tetapi ada kosnya. Adakah kamu pengikut Kristus yang sebenar? #ServeToLead #InjilMatius #KosMenjadiPengikutSebenar

Untuk mendengar episod ini, KLIK LINK di bawah:

Episod Podcast > http://bit.ly/LegasiMatius63 


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, April 10, 2019

5 Ciri-Ciri Pemimpin yang Rendah Hati & Yakin

Bolehkah seorang pemimpin mempunyai keyakinan dan juga pada masa yang sama rendah hati? YA! Ada Lima (5) Ciri-ciri Pemimpin yang Rendah Hati & Yakin:





THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Tuesday, April 2, 2019

Hati Seorang Pemimpin #6 Apabila Misi Lebih Kuat daripada Besi Penjara


“Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus. Juga, kebanyakkan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.”
(Filipi 1:12-14,
AVB)

Saya rasa tidak salah kalau rasul Paulus mahu mengambil cuti sementara daripada penginjilan. Apabila dia dipenjarakan di Rom, tiada siapa yang boleh salahkan dia jika dia mengambil keputusan untuk berehat daripada pelayanan. Akan tetapi, Paulus tetap ingin mengambil peluang sepenuhnya untuk memberitakan Injil tentang Yesus Kristus dimana sahaja dia berada. Paulus ialah seorang pemimpin yang tidak mudah menyimpang daripada misinya. Dia bertekat untuk meninggalkan legasi (ya, seperti LEGASI.tv) dimana sahaja dia pergi atau ditempatkan.

Paulus berada di penjara apabila dia menulis Surat kepada Para Jemaat di Filipi. Bagaimana misi boleh memberi semangat kepada Paulus untuk terus melayani walaupun dia dipenjarakan kerana Injil Kristus? Apa yang kita boleh belajar daripada Paulus tentang misi? Bagi saya, ada beberapa hal para pemimpin boleh belajar:

Misi akan membangkitkan semangat dan motivasi kamu
Misi akan membolehkan kamu tahu apa yang penting dan apa yang tidak
Misi akan meningkatkan potensi kepimpinan kamu
Misi akan memberi tujuan bagi hidup kamu
Misi akan menolong kamu mengukur kejayaan atau perkembangan kamu sekarang
Misi akan mendorong orang lain mengikuti teladan atau contoh kamu

Apabila Paulus berpegang kepada misi yang diberikan Tuhan Yesus kepadanya, dia bukan hanya menjadi lebih berani, malah dia juga menyebabkan para pengikut Kristus yang lain “menjadi yakin” dan “tanpa ketakutan.”

Apakah misi yang TUHAN letakkan di dalam hati kamu sebagai pemimpin?
Adakah kamu hidup (atau melayani) berdasarkan misi itu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

 Untuk menonton video-video Siri Pemimpin CF, sila KLIK DI SINI


LIKE, FOLLOW dan SHARE FB Page: LEGASI.tv
Best Blogger Tips

Monday, March 25, 2019

Pemimpin CF #8 Seorang Yang Berani & Rendah Hati


Jika seorang pemimpin itu,


Jika kamu berani tetapi tidak ada kerendahan hati, kamu akan menjadi sombong. Kamu akan menyangka bahawa kejayaan kepimpinan kamu itu datang daripada kamu sendiri. Kamu akan memandang rendah dengan team yang lain dan mengandalkan kekuatan sendiri. Selain itu, kamu akan lebih cenderung untuk menggunakan posisi kamu untuk memimpin dan ini juga boleh dikira sebagai ‘pembuli.’ Tetapi jika kamu seorang yang kurang berkeyakinan tetapi memiliki kerendahan hati, kamu tidak akan memberi apa-apa impak dalam kepimpinan kamu. Tidak ada inovasi, kurang idea baru dan bergantung dengan tradisi CF yang lama. Kerendahan hati tanpa tindakkan dan initiatif hanya melayakkan kamu untuk menjadi pengikut sahaja. Kamu akan menjadi pengikut yang baik tetapi tidak cukup untuk dipanggil seorang pemimpin.

Sebagai pemimpin Christian Fellowship (CF), kamu harus ada kedua-duanya. PEMIMPIN = BERANI + RENDAH HATI. Keberanian sangat diperlukan kerana seorang pemimpin harus melakukan apa yang benar walaupun ianya sukar. Selain daripada itu, kamu juga perlu membuat keputusan yang berat (mungkin ada yang tidak suka) dan jika kamu ingin memimpin dengan cara dan personaliti kamu sendiri, kamu kena berani melakukan perubahan. Apabila ada konflik dan kekeliruan di dalam sesebuah team, pemimpin harus berani bertindak dan menyelesaikan masalah itu. Pemimpin yang berani tidak bererti dia tidak takut apa-apa – disebalik ketakutannya, dia bertindak! Tetapi keberanian harus diikuti dengan rendah hati. Rendah hati ini berbeza dengan rendah diri. Rick Warren, penulis buku The Purpose Driven Life, menerangkan, “Rendah hati tidak bermaksud kamu kena memikirkan kekurangan sendiri, tetapi ia bermaksud kamu kurang memikirkan tentang diri sendiri.” Apabila kamu berani dan rendah hati melayani, fokus kamu tidak akan kepada diri sendiri, tetapi orang lain.

Apabila saya membaca tentang nabi Daniel di dalam Perjanjian Lama, saya melihat dia memiliki kedua-dua ciri kepimpinan ini. Dalam Daniel 2:27-28, kita boleh melihat bahawa Daniel seorang yang berani dan juga rendah hati. Untuk menghadap dan bercakap dihadapan raja Babel, Nebukadnezar yang agung dan berkuasa, Daniel harus berani (kamu harus tahu bahawa bukan calang-calang orang yang boleh bercakap dengan raja seperti ini). Dia juga berani untuk menyatakan kebenaran: “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal” (ayat 27). Tetapi disebalik keberanian dia, Daniel juga memiliki kerendahan hati: “Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia…” (ayat 28). Daniel tahu dia tidak tahu dan dia sedar hanya TUHAN sahaja yang tahu. Wow!

Ada empat (4) cara untuk kamu menjadi seorang pemimpin yang berani dan rendah hati:

#1 Mengetahui Kekuatan dan Kelemahan Sendiri. Secara jujur, tanya diri sendiri. Pada pendapat saya, lebih baik kamu sedar dahulu kekuatan/kelemahan kamu daripada orang lain yang mengatakannya. Tanya juga dengan orang yang terdekat dengan kamu seperti ahli keluarga, kawan-kawan, mentor dan rakan-rakan yang melayani bersama-sama dengan kamu. Kamu perlu tahu kekuatan kamu supaya kamu boleh memimpin dengan lebih yakin; dan tahu kelemahan kamu supaya kamu ada rendah hati dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

#2 Mengetahui Bahawa Kekuatan Kamu Boleh Menjadi Kelemahan Kamu. Ini antara kos sekiranya seorang pemimpin itu tidak mempunyai kerendahan hati. Kadang-kadang, kekuatan kamu juga boleh menjadi kelemahan. Contohnya, saya sangat efektif dalam mengajar Alkitab (kekuatan) tetapi lama-kelamaan saya tidak lagi mahu belajar daripada orang lain (kelemahan) dan beranggapan saya sudah tahu semua (kelemahan).

#3 Menjadikan Kelemahan Kamu Sebagai Kekuatan. Tusy ialah salah seorang daripada AJK CF yang agak pemalu (dengan orang baru) dan seorang yang introvert. Mungkin bagi dia ini ialah kelemahannya, tetapi apabila saya melihat dia melayani dengan penuh semangat dan komitmen terutamanya dibelakang tabir, ini sebenarnya kekuatan dia. Sebagai seorang pemimpin, jika kamu menyatakan kelemahan kamu dengan berani dihadapan team dan tetap bersemangat untuk melayani, kamu sebenarnya menjadikan kelemahan kamu sebagai kekuatan.

#4 Melayani dengan Mengandalkan Kekuatan TUHAN. Walau seberapa yakin dan berani kamu memimpin, walaupun kamu rendah hati, semua kita – pemimpin atau bakal menjadi pemimpin – harus mengandalkan kekuatan Tuhan. Dalam Zakharia 4:6, Allah berfirman: “Bukan dengan kegagahan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan Roh-Ku.” Begitu juga bagaimana kita memimpin di CF – melalui kekuatan Allah dan pimpinan Roh Kudus.  

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Belum lagi menonton video Pemimpin CF #8? KLIK DI SINI
Untuk menonton video-video Siri Pemimpin CF, sila KLIK DI SINI

LIKE, FOLLOW dan SHARE FB Page: LEGASI.tv
Best Blogger Tips

Wednesday, November 28, 2018

Angelus' Quote: Jangan Berputus Asa


"Terah membawa Abram anaknya... keluar bersama-sama dari Ur-Kasdim untuk pergi ke Tanah Kanaan. Tetapi ketika sampai di Haran, mereka pun menetap di sana"
(Kejadian 11:31,
AVB)

Kenapa Terah berhenti di Haran? Bila saya melihat map dari Ur-Kasdim ke Tanah Kanaan, perjalanan Terah dan keluarganya memang sukar. Terah ada banyak haiwan ternakan, harta benda, keluarga dan sanak saudara. Lagipun mereka hanya berjalan kaki atau menunggang keldai (atau unta?) 4,000 tahun dahulu. Mungkin setelah sekian lama mereka mengembara, Terah berkata, "Saya sudah tidak larat lagi... Sampai bila? Saya tahu ini bukan Tanah Kanaan, tetapi lebih baik saya dan keluarga menetap di sini. Di sini nampak baik."

Mungkin seperti Terah, bapa Abraham, kamu sudah bersedia untuk berputus asa. "Saya sudah tidak larat"; " Sampai bila?"; "Di sini nampak baik." Kamu sudah pergi dan hampir mencapai impian dan cita-cita kamu, sekarang kamu sudah mahu berhenti? Kamu sudah selesa dengan keadaan kamu sekarang? Kamu berhenti di 'Ur-Kasdim' dan bukannya 'Tanah Kanaan'? Mungkin Terah tidak sedar bahawa Tanah Kanaan juga dipanggil (dalam bab-bab seterusnya) Tanah Perjanjian, "tanah yang berlimpah-limpah susu dan madu"?

Jika kamu sudah hampir berputus asa, saya ingin mencabar kamu untuk meneruskan 'pengembaraan' dalam kehidupan kamu. Adakah impian kamu datang dari TUHAN dan/atau akan memberikan kemuliaaan kepada-Nya? Jika ya, jangan berputus asa! Ambil balik bagasi kamu, simpan balik khemah kamu, kemas peralatan kamu dan mula lagi. "Nampak baik" tidak semestinya yang terbaik untuk kamu. Keluar. Pergi. Maju. Kamu lebih dari pemenang. Kamu diciptakan untuk melakukan kehendak-Nya. Berdoa supaya kamu dapat melihat visi Allah dalam impian kamu.

Sekarang kamu mungkin tertangguh... Tidak apa. Singgah di 'Ur-Kasdim' itu perlu, cuma, jangan menetap di sana. Malam ini atau esok pagi, dongakan matamu ke arah 'Tanah Kanaan'... Keluar... Pergi... sehingga kamu sampai ke destinasi. Jangan berputus asa. Jika TUHAN yang memberi visi, Dia akan juga memberikan kekuatan kepada kamu.

Instagram ---> Richard_Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Angelus' Quote: Jika Allah Memihak Kepada Kita, Siapa Dapat Melawan Kita?


"Jadi, apakah yang akan kita katakan sebagai sambutan kepada hal ini? Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita? Dia tidak mengecualikan Anak-Nya sendiri, tetapi menyerahkan-Nya untuk kita semua. Oleh itu, tidakkah Dia, bersama Anak-Nya itu, juga akan memberikan segala-galanya kepada kita dengan rela?"
(Roma 8:31-32,
AVB)

Setiap hari, TUHAN menabur benih-benih baru (memberi, memberkati, menyediakan) ke dalam hati kamu. Dia memenuhi kamu dengan penuh harapan dan keinginan supaya kamu berbuah lebat, bertumbuh dan menjadi berkat.

Jangan benarkan pemikiran negatif dan tidak-mungkin 'membantutkan' saluran berkat TUHAN kepada kamu. Jika Dia memberi, terima; bila Dia memberkati, ucapkan puji syukur; Dia menyediakan, percaya. Jika TUHAN memihak kepada kamu, kamu tidak akan kalah diakhirnya. Dia boleh menyediakan jalan apabila kamu dalam kebuntuan. Dia boleh membuka pintu yang tidak boleh ditutup oleh sesiapa pun. Dia boleh menempatkan kamu di tempat yang betul, pada masa yang tepat. Dia mampu menjadikan impian kamu - yang selaras dengan kehendak-Nya - menjadi kenyataan.

Masa di sekolah dulu, bila saya ditimpa masalah, walaupun hubungan saya dengan abang saya tidak rapat ketika itu, saya pasti bahawa abang saya akan berlawan untuk saya. Sekarang, bayangkan orang itu ialah TUHAN! Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita? Sila jawab...

Instagram ---> Richard_Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Angelus' Quote: Iman Boleh Menjatuhkan Goliat dengan Sebiji Batu


Ketakutan menjadikan sesuatu itu lebih besar daripada apa yang sebenarnya. Kucing menjatuhkan pinggan di dapur pada waktu malam… hantu! Lampu kelap-kelip… Iblis! Suara macam Malik Noor dan badan penuh dengan tatu… gangster! Jika ketakutan ditambahkan dengan imaginasi negatif, kadang-kadang perkara yang kita bayangkan akan menjadi kenyataan. Kalau kamu takut tentang sesuatu atau dengan seseorang – JANGAN LARI KE BELAKANG, TETAPI MAJU KE DEPAN (bahasa kiasan dan kadang-kadang buat seperti apa yang dinyatakan). Kamu harus menghadapi iya atau dia dengan berfikiran bahawa dalam setiap ketakutan, yang menjadikan ia lebih menakutkan ialah – imaginasi kamu sendiri.

Pernah mendengar tentang pertarungan diantara Daud dan Goliat? Ketika Goliat, seorang yang berbadan gergasi, mencemuh orang Israel dan mencaci Nama TUHAN selama 40 hari berturut-turut, kesemua tentera Israel dan termasuk raja “kecut perut… dan sangat ketakutan” (1 Samuel 17:11). Kenapa? Kerana Goliat berbadan besar, berpengalaman dalam perang, mempunyai kelengkapan perang yang banyak dan berkemungkinan apabila dia mencemuh orang Israel, suara dia besar dan sangat menakutkan. Dikatakan lagi, “mereka dalam ketakutan yang amat sangat” (1 Samuel 17:25).

Tetapi apa yang Daud cakap dan fikir ketika melihat Goliat? Dia tidak memanggil Goliat sebagai gergasi tetapi seorang yang “cela… [dan] yang tidak bersunat” (17:26). Dia tidak memandang kelengkapan dan pengalaman Goliat tetapi dia mengingatkan kembali bagaimana dia pernah berlawan dengan singa dan beruang – dan menang! (17:34-36). Daud tidak mengendahkan suara Goliat yang merendah-rendahkannya tetapi dia berseru dengan “nama TUHAN” (17:45). Sekarang lihat perbuatannya: “Pada waktu [Goliat] maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat…” Kemana? Kebelakang? Tidak! Daud berlari “…ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi [Goliat] itu” (17:48). Daud maju ke depan MENGHADAPI musuh! Kamu pasti tahu apa yang terjadi seterusnya, kan? Daud berjaya menjatuhkan musuh dengan hanya menggunakan sebiji batu. Itu dikatakan iman yang hidup.

Rupa-rupanya, Goliat yang tinggi, gagah dan mempunyai suara yang besar dan menyeramkan ini sebenarnya tidaklah sekuat mana. Imaginasi orang Israel yang negatif telah melumpuhkan semangat mereka. Jika kamu berani pergi ke dapur, kamu akan menjumpai kucing, bukan hantu. Jika ada masalah lampu yang kelap-kelip, selalunya, kamu hanya perlu tukar starter, tidak perlu usir iblis. Jika kamu mendengar seorang bersuara besar seperti Malik Noor dan bertatu, kamu tidak perlu terlalu takut dengan menampilan fisikal dia, setiap hati seseorang ada taman. Semakin kamu lari daripada ketakutan kamu, semakin besar ‘Goliat’ yang akan kamu bayangkan; tetapi semakin kamu berani dengan iman (walaupun secara realitinya kamu masih takut) lari atau maju ke depan, semakin kecil ‘Goliat’ yang kamu lihat. Kalau betul apa yang kamu takut itu memang menakutkan, seperti anjing liar, jangan berimaginasi dengan liar juga… ambil sebiji batu [atau lima], kemudian – baling!

Instagram ---> Richard_Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, September 20, 2017

Nuan Deka Nyadi Murid Jesus Bakani: John, Herod tauka Herodias? (Mark 6:14-29)


“Nyadi orang ti udah nangkap John Pemaptisa suba ari asoh Rajah Herod empu, lalu disimpan iya dalam tutup. Kebuah Herod ngereja utai nya laban Herodias, ti udah jadi enggau iya, taja indu nya bini menyadi iya ti benama Pilip. John Pemaptisa selalu madah ngagai Herod, ko iya, ‘Nuan enda tau jadi enggau bini menyadi nuan empu!’ Nya alai Herodias pedis ati ngagai John lalu deka munoh iya, tang iya enda ulih munoh John, laban Herod. Nyadi Herod takut ka John laban iya nemu John nya orang ti manah sereta kudus, nya alai iya ngidup ka iya. Herod deka ninga ka John, taja iya selalu kena pangka jako John”
(Mark 6:17-20, Berita Manah Ka Rebak Diatu)

Maya Herod ninga pasal Jesus “ngelekai di serata dunia” (6:14a), iya mikir Jesus tu John laban iya bisi ninga orang bejako, “John Pemaptisa udah angkap idup baru! Nya kebuah kuasa ti baka nya bisi ba iya” (6:14b). Ayat 17 sampai 29 nyerita ka bakani pengujung pengidup John. Bisi tiga orang dalam crita tu ti ulih nyadi ka chunto pengidup kitai Kristian: John, Herod ngau Herodias.

John sigi nabi ti brani ngau bendar. Iya selalu ngajar orang di menua puang, “Lengka ka dosa kita, awak ka kita lalu dibaptisa”. Ko iya mega, “Allah Taala deka ngampun dosa kita” (Mark 1:4). John diguna ka Tuhan “nyadi seruan” ngau “nyedia jalai” ka Tuhan Yesus (1:2). Taja pan John tu kasar dalam jako, iya nabi ti lemi ati. Iya madah ngagai anak murid iya, “[Jesus] deka beguna agi ari aku, lalu aku kurang agi beguna ari iya” (John 3:30). Jesus mega madah bakatu pasal John: “Nadai siko orang ti udah nguan dunya tu lebih besai ari John Pemaptisa…” (Matthew 11:11). Pia mega, John enda malu ngajar Herod, “Nuan enda tau jadi enggau bini menyadi nuan empu!” di mua Herod. Bagi Herod, John tu “orang ti manah sereta kudus.”

Herodias mula iya bini Pilip, tang Herod udah ngambi ka iya nyadi ka bini maya iya nyadi rajah. Herodias tu dibeda aku baka indu tik suka ngambi kesempatan. Iya gila kuasa ngau suka meri perintah ngagai laki iya Herod. John disimpan di rumah pasung (rumah tutup) “laban Herodias” (6:17). Iya amai pedis ati ninga ka jako John, nya alai Herodias ngiga “awak kena munoh John” (6:21). Iya mega indai ti enda peduli bakani orang ngelayan anak dara iya. Maya Herod udah mabuk, iya nyuruh (ko runding aku) anak dara iya betanda di mua Herod enggau pengabang ti datai. Udah Herod betanya ngagai anak dara iya, “Nama utai ti dikedeka nuan?” Anak nya “nanya indai iya, ko iya, ‘Nama utai ti patut dipinta aku?’ Disaut indai iya, ‘Pala John Pemaptisa’” (Mark 6:22, 24). Semoa dendam ngau pemetang ati iya dipuas ka enggau pemati John.

Bisi penyalin madah Herod tu “Rajah”, bisi mega ngumbai iya “Gabenor” (Luke 3:19). Herod tu orang ti bekuasa tang lemi. Iya balat ninga ka jako bini iya ti jai. Herod mega idup dalam pemetang.  Iya “ngereja mayoh macham penyai” ko Luke 3:19. Ati Herod dua tiga, nadai bisi bepanggai dini-dini. Iya rindu ngagai John tang iya mega takut. “Herod deka ninga ka John, taja iya selalu kena pangka jako John” (6:20). Ukai semina ati iya enda tetap, iya mega orang ti enda nemu bepikir maya bejako. Meda anak dara Herodias betanda di mua iya, iya nyadi rindu bendar. Nya alai Herod betanyak nama utai ti dikedeka indu dara nya seta iya besumpah, “Aku besemaya deka meri sebarang utai ti dipinta nuan, datai ka satengah ari menoa ti diperintah aku, deka meh aku meri ka nuan!” (Mark 6:23). Ketegal betanda aja, iya udah bersumpah, besemaya! John mati laban iya takut ka bini, laban malu di moa bala temuai (6:26), ngau laban enda bepikir sebedau bejako.

Kati ko pengidup Kristian nuan? Baka John Pemaptisa ti brani, lemi ati, kudus seta enda malu mantah ka penyai ti dipeda iya? Baka Herodias ti pembenci, suka ngambi kesempatan seta gila kuasa? Baka Herod ti lemi, takut, ati dua tiga serta enda bepikir maya bejako? Nuan deka idup ti ngemesai ka nama Tuhan Yesus baka pengidup John? Tauka nuan deka nyadi orang bekuasa baka Herod ngau Herodias tang pengidup ti ngereja mayoh macham penyai? Dalam crita tu, John ti manah, mati; tang Herod ngau Herodias ti jai, idup. Tang maya tu, John bulih “pengidup ti meruan” (John 3:16); Herod ngau Herodias masuk ka “api neraka” (Luke 16:24).

Sembiang
O Tuhan Jesus, dalam pengidup Kristian kami ajar kami idup dalam jako Nuan.
Awakka kami nitih pengidup John Pemaptisa ti brani, lemi ati, kudus
seta enda malu mantah ka penyai ti dipeda kami. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Monday, April 27, 2015

Kaleb anak Yefune: Memiliki Hati yang Tidak Berbelah Bahagi

Old Man | Photographer Agency (taken from: www.ph-agency.com)
“Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepada Yosua, ‘Tuan tahu akan firman TUHAN kepada Musa, hamba Allah, tentang kita berdua semasa kita di Kades-Barnea… Sejak itu TUHAN telah menjaga saya supaya saya tetap hidup, menurut janji-Nya. Lihatlah! Sekarang saya sudah berumur lapan puluh lima tahun dan masih sekuat dahulu, ketika Musa mengutus saya. Saya masih kuat untuk berperang atau melakukan apa-apa saja…”
(Yosua 14:6, 10-11,
BM).

Kaleb ialah seorang pengintip dan salah seorang daripada pemimpin suku-suku Israel. Mungkin ada yang kurang berminat tentang kisah seorang pengintip tetapi percayalah, banyak yang kita boleh belajar daripada keperibadian Kaleb. Wow, saya berharap apabila saya berumur 85 tahun kelak saya masih bersemangat dan berpegang teguh kepada iman saya dan masih komited melihat janji-janji TUHAN digenapi seperti Kaleb. Apabila kebanyakkan orang mahu kehidupan yang lebih senang menjelang hari tua mereka, Kaleb masih lagi tidak sabar-sabar untuk berkhidmat. Dia digambarkan di dalam Alkitab sebagai seorang yang mengikut TUHAN dengan sepenuh hatinya. Kita boleh membaca tentang pengelibatan dia bersama Yosua dalam buku Bilangan bab 13 dan 14.

Kaleb ialah seorang yang beriman dengan sepenuh hati dia, tidak berbelah bahagi dan tidak setengah-setengah. Dia tidak hanya mengikut TUHAN apabila keadaan semuanya baik-baik sahaja atau apabila ia tidak melibatkan apa-apa kos dan berputus asa apabila keadaan semakin sukar. Tidak! Kaleb tetap terus berdiri teguh dan berani menghadapi cabaran walauapapun dugaan dan cabaran yang datang.

Kamu kenal orang yang selalu melihat masalah dan menjangka banyak perkara buruk yang akan berlaku apabila cuba untuk melakukan sesuatu? Kamu kenal orang yang selalu memberi banyak alasan kenapa ia tidak boleh terjadi? Kamu kenal orang yang sudah mengalah walaupun belum lagi melakukan apa-apa? Itu bukan Kaleb! Kaleb seorang yang teguh hati. Dia bukan saja percaya, malah, dia menggalakkan orang lain: “Kita cukup kuat!” (Bilangan 13:30). Ini bukan sekadar berfikiran positif atau sikap optimis yang membabi buta. Kaleb mempunyai sikap dan iman yang percaya kepada firman TUHAN. Dia melihat sesuatu keadaaan dan krisis dengan kaca mata TUHAN. Dia melihat apa yang akan terjadi bila TUHAN beserta kita. Dia mengambil serius terhadap perintah dan janji TUHAN.

Hati Kaleb tidak berbelah bahagi. Dia beriman dengan sepenuh hatinya. Kaleb melihat rencana TUHAN dan keinginan hatinya sama saja kerana dia telah mengabdikan dirinya kepada TUHAN. Dia percaya. Dia beriman. Dia memegang kepada janji-janji-Nya. TUHAN milik dia, dia milik TUHAN. TUHAN, berikan kami hati yang tidak berbelah bahagi seperti Kaleb dan sentiasa melayani-Mu sampai hari tua kami. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

Thursday, September 25, 2014

Mentaati Yesus, Bukan memberi Alasan


Asas dalam penginjilan ialah Amanah Agung. Firman Yesus ialah: “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia” (Markus 16:15, BM). Lukas 5:1-11 merupakan salah satu daripada ajaran Yesus Kristus tentang penginjilan kepada pengikut-pengikut-Nya. Dengan menggunakan gambaran seperti menjala ikan, Yesus mengajar mereka tentang bagaimana untuk menjala (atau memenangkan) manusia. Selepas mereka menjala semalaman tanpa menangkap apa-apa pun, Yesus berkata kepada Petrus, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan” (5:4). Setiap nelayan yang sudah biasa dengan Tasik Genesaret tahu bahawa jika mereka tidak berjaya mendapat ikan pada waktu malam sebelumnya, mereka harus sedar yang mereka tidak akan mendapat ikan langsung. Walaupun Petrus sedar dengan kenyataan ini, dia menjawab, “Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala” (5:5). Kemudian, mukjizat terjadi! Oleh kerana ikan terlalu banyak, jala mereka hampir putus! Perahu hampir tenggelam! Dan Yesus berkata, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku” (5:10). Secara ringkas Dia seperti berkata: “Apabila Aku sudah berfirman, lakukanlah!”

Kita kadang-kadang beranggapan bahawa kita tidak layak untuk bersaksi tentang Berita Baik dengan orang yang belum percaya kerana kita takut jika mereka bertanya banyak soalan, kita tidak mampu untuk menjawab kembali. Kadang-kadang kerisauan itu ada kebenarannya. Tetapi kebanyakan masa kita menggunakan alasan itu supaya kita boleh bersembunyi daripada bersaksi kepada orang lain. “Jangan takut!” kata Yesus. Pergilah bersaksi tentang Dia. Ingat: Yesus yang memanggil pengikut-pengikut-Nya dan kita sekarang untuk “menjala orang” akan juga melakukan mukjizat yang sama! Mukjizat akan terjadi jika kita mentaati Firman-Nya. Ikan banyak! Jala hampir putus! Perahu hampir tenggelam!

Taat kepada Yesus, bukan memberi alasan

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, August 17, 2014

Paulus mengkhabarkan Berita Baik, Hanya Dua Orang yang Percaya (Misi Gagal?)


Atena (atau “Athens”) dianggap sebagai tempat dimana Tamadun and Budaya Barat mula bertumbuh. Pada abad pertama ia merupakan bandar yang termaju jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain disekitarnya. Salah satu aktiviti masa lapang bagi orang Atena ialah mereka “suka menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir” (Kisah Rasul-Rasul 17:21, BM) -  membincangkan idea-idea dan mendengar desas-desus baru. Seperti menonton rancangan Melodi di TV3 setiap ahad tengah hari!

“Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala” (Kisah Rasul-Rasul 17:16). Di Atena, hampir setiap sesuatu dan setiap tempat mempunyai berhala dan mazbah; pokok, rumah, tiang, patung-patung, tanah, angin, bulan, bintang-bintang, matahari, api, dan sebagainya. Saya ada membaca penulis sejarah mengatakan bahawa lebih banyak berhala berbanding dengan jumlah penduduk di Atena! Ada juga sebuah mazbah yang bertuliskan “Kepada Allah yang Tidak Dikenali” (“To the Unknown God”, 17:23) kerana mereka khuatir jika mereka ada tertinggal berhala yang patut disembah.

Paulus begitu tersentuh hati dengan kesesatan mereka dan tidak sanggup membiarkan semua itu begitu sahaja. Dia mula bertindak dengan “berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah” dan “berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia” (17:17). Paulus juga berdebat dengan beberapa orang guru yang mengikut fahaman Epikuros and fahaman Stoa. Mereka tidak tahu apa yang mereka harus lakukan kepada Paulus dan mesejnya. Adakah Paulus berlagak pandai? Adakah dia gila? Adakah dia mahu memulakan agama dan ajaran yang baru? Mereka bermesyuarat sepanjang hari di tempat yang dipanggil Areopagus – yang diberi nama sempena dewa Ares yang merupakan dewa peperangan dan guruh bagi orang Yunani.

Di Areopagus ramai orang berkumpul ingin mendengar Paulus berbicara tentang “Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian” (17:18) yang mereka anggap sebagai ajaran yang baru. Paulus tidak takut dan gementar walaupun dia keseorangan dan orang asing di tempat itu, malah dia lantang berbicara dihadapan orang ramai yang bijaksana dan berpengetahuan tinggi. Paulus mempunyai kelebihan – dia mempunyai iman kepada Allah yang Benar. Secara kesimpulan, Paulus menerangkan bahawa “Allah yang Tidak Dikenali” itu sebenarnya boleh dikenali melalui “orang yang sudah dipilih-Nya” (17:31) iaitu Yesus Kristus. Dia ialah Allah Bapa bagi mereka yang percaya kepada Anak-Nya, Yesus.

Mesej Berita Baik yang diisytiharkan oleh Paulus mendapat sabutan yang berbeza. Ada yang mengolok-olokkan dia dan ada juga yang ingin mendengar dia bercakap tentang hal itu sekali lagi. Ada yang datang hanya mendengar, ada yang berfikir seketika kemudian pulang dan hanya segelintir daripada mereka membuka hati mendengarnya. Ramai yang tidak peduli kerana mereka tidak percaya bahawa “Allah membangkitkan [Yesus] daripada kematian” (17:31).

Selepas sekian lama Paulus berbicara dengan orang ramai hampir setiap hari, mengalami banyak penolakkan, diketawakan oleh orang ramai, dan dipanggil sebagai seorang yang berpengetahuan cetek dan berlagak pandai (17:18) – adakah dia seorang yang gagal? Adakah dia telah mensia-siakan tenaga, masa dan peluang yang diberikan oleh TUHAN kepadanya? TIDAK! Ada orang yang percaya! Halleluya! Lebih daripada dua orang! Firman Allah mengatakan ada “Beberapa orang mengikuti Paulus dan percaya kepada Yesus [Saya tersenyum sekarang]. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain” (Kisah Rasul-Rasul 17:34, BM).

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Ringkas dan sangat luar biasa: TUHAN tidak menyuruh kita memaksa orang untuk percaya kepada-Nya tetapi mengutus kita untuk terus setia bersaksi bagi-Nya dan membiarkan Roh Allah sendiri yang bekerja di dalam hati orang yang mendengar Berita Baik itu. Paulus sedih dan tersentuh hati melihat banyak berhala disekelilingnya, bagaimana dengan kamu? Paulus mempunyai beban terhadap orang yang sesat dan tidak mengenal Allah yang benar, adakah kamu mempunyai beban itu? Paulus pergi bersaksi di rumah ibadat, di tempat awam, dihadapan orang yang belum mengenal Yesus – dimana sahaja dia berada – adakah kamu bersaksi bagi Dia setiap waktu dimana sahaja? Paulus tidak takut malu, tidak gentar dengan orang yang mungkin lebih berpengetahuan daripadanya dan tidak lari daripada persoalan orang ramai, adakah kamu mempunyai keyakinan seperti itu? Mungkinkah “Dionisius” dan “Damaris” yang haus akan Kebenaran itu ada disekeliling kamu sekarang?

Wahai pelajar Kristian di kolej dan universiti,
Wahai pekerja kerajaan dan swasta di Malaysia,
Wahai ibubapa, anak-anak, pemimpin gereja, pastor, mekanik, pemungut sampah dan sebagainya,
Wahai kamu semua yang mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu,
Bersaksilah bagi Allah Bapa yang kamu kenal!
Ingat, walaupun seorang datang kepada Yesus dalam pelayanan kamu
 “di syurga ada kegembiraan yang lebih besar
kerana seorang berdosa bertaubat” (Lukas 15:7, BM) Amen!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Friday, August 8, 2014

Apolos dari Aleksandria dalam Alkitab: Alkisah Seorang Pengkhutbah


Beginilah contoh keadaan apabila pengkhutbah berkhutbah di luar rumah Tuhan dalam Perjanjian Baru.

 Pernahkah kamu menonton wayang kemudian terpaksa keluar ke tandas pada saat-saat genting dan apabila kamu kembali kamu mendapati telah terlepas babak yang penting? Atau, kamu pergi ke kelas dan tiba-tiba ada ujian tentang subjek yang kamu terlupa baca semasa mengulangkaji pelajaran? Inilah yang berlaku kepada seorang pengkhutbah bernama Apolos dalam Alkitab Perjanjian Baru – dia terlepas sesuatu yang sangat penting. Priskila dan Akwila, pengikut Yesus tahu akan hal ini.

“Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab [Perjanjian Lama]. Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajar oleh Yohanes. Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat” (Kisah Rasul-Rasul 18:24-26, BM).

Ada diantara kita mempunyai kebolehan untuk menarik ramai pendengar. Kadang-kadang saya berfikir alangkah baiknya jika orang seperti ini sanggup menjadi alat bagi TUHAN untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus. Apabila Apolos datang ke Efesus, Rasul Paulus baru sahaja meninggalkan daerah Galatia dan Frigia (18:23). Jadi, semasa ketiadaan Paulus, Apolos mengambil alih dengan penuh bersemangat dan berani sekali mengkhabarkan ajaran Yesus kepada jemaat di Efesus tetapi – dia tidak mengetahui hal sepenuhnya tentang Yesus. Walaupun dia seorang yang “pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab,” dia hanya “mengetahui baptisan yang diajar oleh Yohanes [Pembaptis].” Dia berkhutbah berdasarkan pengetahuan yang dalam tentang Perjanjian Lama, tentang ajaran Yohanes and Yesus tetapi tidak tahu bahawa Mesias sudah datang.

Kebolehan Apolos menarik minat Priskila dan Akwila yang datang mendengarnya. Mereka sedar bahawa Apolos belum tahu lagi tentang perkara yang sebenar sepenuhnya. Bayangkan Apolos berkhutbah di gereja, berbicara dengan penuh semangat, mentafsir dan menerangkan Alkitab dengan tepat, menyeru orang ramai untuk bertaubat kerana Mesias yang dikatakan dalam Perjanjian Lama akan digenapi dan datang tidak lama lagi – tanpa menyedari bahawa Mesias (iaitu Yesus) sudah datang ke dunia, mati di kayu salib, bangkit semula, diangkat ke syurga dan telah mengutuskan Roh Kudus datang!

Oleh itu Priskila dan Akwila “membawa dia ke rumah” untuk menerangkan hal yang sebenar kepadanya. Bayangkan juga reaksi Apolos seorang yang sangat memahami Alkitab mendengar tentang “penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi” (18:26). Saya merasakan bahawa apabila Apolos medengar Berita Baik ini dia bersukacita, dipenuhi dengan tenaga dan semangat yang baru, lebih yakin dan berani kerana segala nubuat tentang Mesias yang dia tahu dan ajar selama ini telah digenapi oleh Tuhan Yesus Kristus! Apa yang berlaku seterusnya? “Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah” (18:28). Wow!

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Seperti Apolos, kadang-kadang kita sangat yakin dan bersemangat untuk memberitakan Berita Baik kepada orang lain tanpa menyedari bahawa kita belum mengetahui perkara yang sebenar sepenuhnya. Kebanyakkan kita benar-benar (ikhlas) rindu untuk bersaksi kepada orang lain tetapi isi kandungan perkongsian kita tidak lengkap. Kita boleh tahu banyak perkara tentang Yesus dan ajaran-Nya dan tidak menyedari bahawa kita belum mengenal Yesus Kristus secara peribadi – dan fakta-fakta tentang kematian dan kebangkitan-Nya.(Sama seperti seorang Muslim yang selalu ingin berdebat dengan saya melalui blog ini). Tahu dan percayakah kamu bahawa “Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah”?

Kita juga boleh belajar tentang keperibadian Apolos. Walaupun dia sangat berkebolehan, pandai dan mengetahui isi kandungan Alkitab, dia seorang yang sangat rendah hati. Dia sanggup mendengar dan belajar melalui orang lain. Dia tidak berkeberatan untuk menjadi murid walaupun dia sendiri ialah seorang guru. Seorang pastor pernah berkata kepada saya, “Jika kamu ingin menjadi guru Alkitab yang baik kepada pelajar-pelajar di universiti dan kampus, kamu harus menjadi murid yang baik terlebih dahulu. Jadilah murid kepada Guru kamu, Yesus Kristus.” Saya ingin menjadi seperti Apolos “sangat menolong orang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus” (18:27). Bagaimana dengan kamu? Oh TUHAN Bapa, sekiranya kami belum mengetahui kebenaran sebenar tentang Yesus Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah itu, hantarlah “Priskila dan Akwila” untuk mengajar kami. Kami ingin merendahkan diri. Amin.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Thursday, August 7, 2014

Kebenaran Allah: Nabi Mikha dan 400 "Pengampu" Kerajaan Ahab


Realiti: Ramai pemimpin politik dan pemimpin agama di Malaysia sekarang dikelilingi oleh pengikut-pengikut (atau kuncu-kuncu) yang suka mengampu (untuk mendapat keuntungan) – bercakap sesuatu yang indah-indah sahaja dan ‘positif’ untuk mengambil hati mereka yang mendengarnya. Mereka sanggup bercakap bohong atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama mereka agar dapat diterima oleh majoriti masyarakat. Bagi nabi TUHAN di dalam Alkitab yang sebenar pula, ini tidak akan berlaku. Nabi sebenar (apabila mereka diminta untuk menasihati raja) hanya mengkhabarkan Firman daripada Allah sahaja – yang baik mahupun yang buruk. Jadi, apabila 400 nabi-nabi palsu berkata “Ya” and hanya seorang nabi sahaja yang berkata “Tidak” contohnya, maka nabi yang benar akan dibenci dan tidak disukai oleh orang ramai.

Ini yang berlaku di dalam kitab 1 Raja-raja 22. Pada masa itu, Israel dibahagikan kepada dua kerajaan: Yosafat ialah raja dari kerajaan selatan manakala Ahab ialah raja dari kerajaan utara. Apabila raja Ahab mencadangkan supaya kedua-dua kerajaan bergabung untuk menyerang kota Ramot, Yosafat memberi respon kepada Ahab dengan berkata, “Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu” (1 Raja-raja 22:5, BM).

Oleh itu, raja Ahab segera mengumpulkan lebih kurang 400 nabi-nabi untuk menasihati dan bernubuat baginya. Semua mereka (mengampu!) berkata, “Seranglah. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku” (ayat 6). Saya merasakan bahawa raja Ahab sekarang tersenyum lebar apabila mendengar nubuat mereka. Semua mereka menyatakan ‘nubuat’ yang raja ingin dengar. Namun begitu, raja Yesafat seperti tidak selesa dengan nubuat mereka itu dan bertanya sekiranya ada nabi lain yang boleh menanyakan hal ini. Raja Ahab menjawab ada seorang lagi nabi yang sangat dibenci olehnya kerana “dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik... dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk” (ayat 8). Nabi itu ialah Mikha anak Yimla.

Setelah dipujuk (mungkin juga dihasut atau diugut) oleh pengawai raja untuk bersetuju dengan nubuat nabi-nabi yang lain, Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan-Nya!” (ayat 14). Dan apabila menghadap kedua-dua raja, nabi Mikha seperti menyindir raja Ahab dengan ‘bersetuju’ dengan nubuat nabi-nabi yang lain. Mungkin raja Ahab mengetahui sindirannya dan mentitahkan Mikha untuk berkata benar dihadapannya. Mikha dengan beraninya menjawab, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuhanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!” (ayat 23). Dengan kata lain, raja Ahab akan mati dalam petempuran kerana TUHAN tidak menyertai dia.

Seperti kebiasaannya juga, apabila pengampu-pengampu merasakan bahawa mereka ditentang oleh kebenaran – mereka tidak berpuas hati (kembali kepada realiti di Malaysia). Salah seorang daripada nabi-nabi palsu itu, Zedekia anak Kenaana, datang  menghampiri Mikha lalu menampar pipinya! Zedekia mungkin boleh mencederakan hamba TUHAN, namun dia tidak mampu menghalang Firman Allah daripada menjadi nyata. Kebenaran tidak boleh disorok dan dihalang! Sementara Mikha dipenjarakan kerana bercakap benar, kedua-dua raja pergi berperang. Akhirnya, walaupun raja Ahab menyamar menjadi askar biasa, dia dicederakan oleh anak panah and mati dalam keadaan yang teruk sekali. Maka, raja Ahab mati “seperti yang difirmankan TUHAN” (ayat 38). [Baca kitab 1 Raja-raja bab 22 di dalam Alkitab Perjanjian Lama untuk mengetahui cerita yang lebih jelas lagi].

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Banyak, tetapi kita hanya fokus kepada nabi Mikha. Mikha ialah seorang nabi dan hamba TUHAN yang berani dan sanggup bertindak (walaupun sendirian) demi kebenaran. Dia bercakap bukan kerana ego atau keyakinan pada diri sendiri atau mengamalkan sikap berfikiran positif, tetapi dia “hanya mengatakan apa yang difirmankan TUHAN,” iaitu, jika diaplikasikan kepada kita hari ini – dia bercakap berdasarkan kebenaran di dalam Firman Allah, (Alkitab) dan bertindak sesuai dengan firman-Nya (dia sangat tegas, tetapi pada masa yang sama dia menghormati raja dengan memanggil raja Ahab “tuanku” bukannya “hoi!”). Dia tidak mudah hilang pegangan walaupun majoriti berkata sesuatu sebaliknya. Dia sanggup mengambil risiko (dihasut, diugut, ditampar, dipenjarakan) demi imannya kepada TUHAN.

Jika kamu membandingkan semua ciri-ciri nabi Mikha yang dinyatakan dengan diri kamu:
Apakah perbezaannya? Apakah persamaannya?
Apakah yang boleh kamu belajar melalui cerita ini?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]