Thursday, September 25, 2014

Mentaati Yesus, Bukan memberi Alasan


Asas dalam penginjilan ialah Amanah Agung. Firman Yesus ialah: “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia” (Markus 16:15, BM). Lukas 5:1-11 merupakan salah satu daripada ajaran Yesus Kristus tentang penginjilan kepada pengikut-pengikut-Nya. Dengan menggunakan gambaran seperti menjala ikan, Yesus mengajar mereka tentang bagaimana untuk menjala (atau memenangkan) manusia. Selepas mereka menjala semalaman tanpa menangkap apa-apa pun, Yesus berkata kepada Petrus, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan” (5:4). Setiap nelayan yang sudah biasa dengan Tasik Genesaret tahu bahawa jika mereka tidak berjaya mendapat ikan pada waktu malam sebelumnya, mereka harus sedar yang mereka tidak akan mendapat ikan langsung. Walaupun Petrus sedar dengan kenyataan ini, dia menjawab, “Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala” (5:5). Kemudian, mukjizat terjadi! Oleh kerana ikan terlalu banyak, jala mereka hampir putus! Perahu hampir tenggelam! Dan Yesus berkata, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku” (5:10). Secara ringkas Dia seperti berkata: “Apabila Aku sudah berfirman, lakukanlah!

Kita kadang-kadang beranggapan bahawa kita tidak layak untuk bersaksi tentang Berita Baik dengan orang yang belum percaya kerana kita takut jika mereka bertanya banyak soalan, kita tidak mampu untuk menjawab kembali. Kadang-kadang kerisauan itu ada kebenarannya. Tetapi kebanyakan masa kita menggunakan alasan itu supaya kita boleh bersembunyi daripada bersaksi kepada orang lain. “Jangan takut!” kata Yesus. Pergilah bersaksi tentang Dia. Ingat: Yesus yang memanggil pengikut-pengikut-Nya dan kita sekarang untuk “menjala orang” akan juga melakukan mukjizat yang sama! Mukjizat akan terjadi jika kita mentaati Firman-Nya. Ikan banyak! Jala hampir putus! Perahu hampir tenggelam!

Taat kepada Yesus, bukan memberi alasan

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]