Showing posts with label Cabaran. Show all posts
Showing posts with label Cabaran. Show all posts

Friday, November 21, 2014

Melihat Keperibadian Nehemia: Menjadi Jawapan kepada Doa

Nehemia memeriksa reruntuhan tembok Yerusalem (Bab 2)
Apabila aku mendengar [tentang keadaan Yerusalem], aku duduk dan menangis.
Selama beberapa hari aku meratap dan tidak makan apa-apa.
Aku berdoa kepada Allah, ‘Ya TUHAN Allah penguasa di syurga!...
(Nehemia 1:4-5, BM).

Ada seorang pendeta berkata bahawa doa ialah bukan keinginan kita terjadi sama seperti di syurga tetapi doa ialah membawa keinginan TUHAN terjadi di bumi. Walau bagaimanapun, untuk keinginan TUHAN terjadi di bumi, Dia memerlukan orang yang sanggup digunakan-Nya. Firman Allah dalam Efesus 3:20 berkata: “Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (BM). Jika TUHAN ingin menjawab doa kita, Dia akan bermula dengan kita yang berdoa doa itu dahulu! Dia akan “bekerja dalam diri kita” dan melalui kita supaya kita dapat melihat bahawa doa itu akan terjawab. Seperti rakan sepelayanan saya, Peter Paris, sering berkata kepada kami semua, “Jadilah jawapan kepada doa kamu sendiri.

Contohnya, apabila Nehemia berdoa, beban dia terhadap umat Israel dan Yerusalem menjadi semakin berat and visi dia untuk melihat sesuatu perkara harus dilakukan menjadi semakin jelas. Doa yang benar akan menyeimbangkan hati, perasaan dan pemikiran kita supaya tindakkan kita tidak akan menjadi terburu-buru sehinggakan kita bertindak terlalu kehadapan dari Allah dan menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Apabila kita berdoa, TUHAN Allah akan menyatakan perkara yang kita perlu lakukan, bila untuk melakukannya, dan bagaimana untuk melakukannya – dan semua ini sangat penting sekiranya kita ingin bertindak mengikut kehendak-Nya.

Jika kita membaca buku Nehemia, kita akan mendapati bahawa Nehemia dengan sukarela pergi ke Yerusalem untuk menyelia dan mengetuai rancangan untuk membaiki tembok kotanya semula. Nehemia tidak berdoa supaya TUHAN menghantar orang lain. Dia juga tidak bersungut-sungut dan mengatakan bahawa dia tidak cukup bersedia untuk melakukan tugas itu. Dia, seperti nabi Yesaya, hanya berkata, “Inilah aku. Utuslah aku!” Dia tahu bahawa dia sebagai “pengurus minuman raja” (1:11) harus berhadapan dengan raja Artahsasta dan meminta kebenaran untuk pergi ke Yerusalem. Kita harus sedar bahawa permintaan seperti ini adalah sesuatu yang sangat berisiko. Ini ialah raja Persia! Apa yang akan terjadi sekiranya Nehemia datang pada hari yang tidak sesuai, semasa raja sedang bersedih atau marah tentang sesuatu hal? Apa saja yang mungkin terjadi, kita tahu bahawa Nehemia sedang menghadapi percubaan dalam iman dia. Ini yang Nehemia sedar, bahawa TUHAN yang bersamanya itu hebat dan Dia akan menjadikan usaha dia berhasil!

Nehemia, “pengurus minuman raja,” akan terpaksa melepaskan keselesaannya di istana dan berhadapan dengan bahaya dan cabaran hidup di Yerusalem yang hancur itu. Kemewahan akan digantikan dengan reruntuhan, dan pangkat yang tinggi akan digantikan dengan tentangan, cemuhan dan hasutan. Nehemia yang dulunya makan di meja bersama raja Persia dan kerabat diraja, sekarang akan terpaksa menyediakan makanan kepada rakyat yang makan bersamanya. Dia telah meninggalkan segala yang baik di istana, dan sekarang menjadi petugas di tembok yang runtuh… melakukan pekerjaan yang seakan-akan sangat mustahil untuk dilakukan! Semua ini ialah risiko yang Nehemia harus tempuhi jika dia ingin bertindak untuk menjadi jawapan kepada doannya.

Bagi TUHAN, tiada yang mustahil bagi-Nya. Akhirnya Nehemia dan umat Israel berjaya melakukan tugas mereka! Hanya dalam masa 52 hari, tembok Yerusalem siap, pintu-pintu gerbang telah dipasang, dan umat Israel bersukacita! Semuanya bermula dari seorang pendoa – Nehemia – yang peduli tentang umat and kota TUHAN dan sanggup menjadi jawapan kepada doanya sendiri. Alkitab penuh dengan orang-orang seperti Nehemia; Abraham peduli dan pergi menyelamatkan Lot di kota Sodom (Kejadian 18-19). Nabi Musa peduli dan membawa umat Israel keluar dari Babilonia. Raja Daud peduli dan memenangkan semula kerajaan Israel kepada TUHAN Allah. Ratu Ester peduli dan sanggup menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan umat Israel daripada dibunuh beramai-ramai. Rasul Paulus peduli dan membawa Berita Baik tentang Yesus ke seluruh kerajaan Roma. Tuhan Yesus sendiri peduli dan sanggup mati di kayu salib bagi menyelamatkan orang berdosa untuk kembali kepada-Nya.

Tahukah kamu? TUHAN Allah masih lagi mencari orang seperti Nehemia. Seorang yang peduli untuk mengetahui perkara yang berlaku disekeliling mereka. Seorang yang sanggup menangis untuk menyatakan pemintaannya kepada TUHAN. Seorang yang berdoa untuk mencari kehendak Allah dan bantuan-Nya. Dan seorang yang sukarela untuk menjadi jawapan kepada doanya sendiri. Seorang yang sentiasa bersedia untuk berkata kepada TUHAN dengan kerendahan hati, “Inilah aku. Utuslah aku!Adakah orang itu kamu? Jadilah jawapan kepada doa. TUHAN menyertai kamu. Amin.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Monday, November 3, 2014

TUHAN Allah Israel Menggerakkan Hati Raja Kores, Raja Persia (Refleksi Saya tentang Kitab Ezra 1:1-5)

Raja Kores (King Cyrus of Persia) dalam The Bible Movie
Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Persia, TUHAN melaksanakan firman-Nya yang disampaikan-Nya dengan perantaraan Nabi Yeremia. TUHAN menggerakkan hati Raja Kores supaya mengeluarkan titah bertulis, yang dikirim untuk dibacakan di seluruh kerajaan baginda.” (Ezra 1:1, BM)

Orang Yahudi yang tidak lagi mengasihi TUHAN telah ditakluki oleh kerajaan bangsa asing dan rakyatnya dibuang ke Babilonia. 70 tahun telah berlalu. Kini, TUHAN mula bertindak untuk melakukan kehendak-Nya. TUHAN pernah berjanji dan akan “melaksanakan firman-Nya” seperti yang disampaikan oleh nabi Yeremia: “Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu [orang Yahudi] lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang” (Yeremia 29:10, baca juga 25:11). Bagi TUHAN, janji-Nya pasti akan ditepati!
Jika kenyataan ini masih lagi tidak membuat kamu kagum akan-Nya, baca semula: “TUHAN menggerakkan hati Raja Kores.” Hati siapa? Raja Kores, raja Persia, raja yang menyembah berhala, raja yang dianggap sebagai tuhan Persia, raja yang tidak mengenal TUHAN Allah Israel. Bagi TUHAN tiada yang mustahil. Dia ialah Allah Israel yang berkuasa atas segala-galanya.

Demikianlah titah Raja Kores, raja Persia: TUHAN, Allah penguasa di syurga, telah menjadikan beta raja seluruh dunia. Dia telah memberi beta tugas untuk membina Rumah bagi-Nya di Yerusalem, di negeri Yehuda. Semoga Allah melindungi kamu semua yang menjadi umat-Nya. Kamu harus kembali ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel, Allah yang disembah di Yerusalem…” (Ezra 1:2-3).

Bagaimana TUHAN berbicara kepada Raja Kores, saya tidak tahu. Tetapi, apa yang saya tahu ialah apabila Raja Kores bertitah kepada orang Yahudi untuk kembali ke tempat asal nenek moyang mereka, kebanyakkan daripada mereka tidak mahu kembali. Bayangkan sudah bertahun-tahun mereka berdoa supaya mereka dapat kembali lagi, kini setelah 70 tahun kemudian (apabila mereka sudah mula biasa dengan kehidupan mereka di Persia dan di tempat lain), mereka bergumul diantara keselesaan materialistik duniawi dan bimbingan Roh TUHAN.
Hanya “para pemimpin puak daripada suku Yehuda dan Benyamin, para imam serta orang Lewi, dan tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN” (Ezra 1:5). Hanya 42,360 orang Yahudi diseluruh dunia yang pulang (Ezra 2:64-67). Bagaimana dengan yang lain? Mungkin segelintir daripada mereka hanya memberi bantuan untuk membina Rumah TUHAN tetapi tidak terlibat secara langsung. Mungkin dengan cara ini, mereka dapat memberi alasan untuk tidak pergi… mungkin…

Apa yang kita boleh belajar melalui Firman ini? Allah Israel (Allah dalam Perjanjian Lama dan Baru) ialah satu-satunya TUHAN yang menentukan sejarah dunia. Dia berkuasa dan Dia boleh melakukan apa saja mengikut kehendak-Nya. Dia ialah TUHAN atas seluruh bangsa – bangsa Malaysia juga – bukan hanya kepada orang Israel saja. Dia akan menggunakan sesiapa yang Dia kehendaki (termasuk Raja Kores, perdana menteri, sultan dan sebagainya) untuk bertindak dan melaksanakan kehendak-Nya. Dia tidak boleh dihadkan kepada peraturan dan adat agama. Dia juga TUHAN yang berpegang kepada janji-Nya. Dia berfirman “Apabila genap masa tujuh puluh tahun” maka apabila genap 70 tahun, Firman-Nya akan dilaksanakan. Ini memberi keyakinan kita kepada setiap janji-janji-Nya di dalam Alkitab. Halleluyah!

Seperti orang Yahudi yang perlu membuat keputusan tentang Firman Allah melalui titah Raja Kores untuk pulang ke Yerusalem atau tidak; kita juga perlu memikirkan respon kita kepada Firman-Nya di dalam Alkitab. Kehidupan lama kita memang susah untuk kita tinggalkan. Kita mungkin sudah selesa dengan kesenangan hidup sehinggakan kita lalai dan leka untuk pulang semula kepada-Nya. Kembalilah kepada TUHAN, Dia sentiasa membuka pintu untuk kita datang kepada-Nya. Dia menghukum orang Yahudi atas dosa mereka, tetapi Dia juga mengampuni mereka jika mereka kembali kepada-Nya. Allah Bapa melalui Yesus Kristus, Anak-Nya juga ingin kita kembali dan membina Rumah TUHAN di dalam hati kita sekarang. TUHAN mengasihi kita. “Memberi bantuan” (atau menolong orang lain datang kepada-Nya) tidak cukup, Dia mahu kita juga datang kepada-Nya secara peribadi. “Pulanglah” “kembalilah” “bina semula Rumah TUHAN” dalam hidupmu. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, August 17, 2014

Paulus mengkhabarkan Berita Baik, Hanya Dua Orang yang Percaya (Misi Gagal?)


Atena (atau “Athens”) dianggap sebagai tempat dimana Tamadun and Budaya Barat mula bertumbuh. Pada abad pertama ia merupakan bandar yang termaju jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain disekitarnya. Salah satu aktiviti masa lapang bagi orang Atena ialah mereka “suka menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir” (Kisah Rasul-Rasul 17:21, BM) -  membincangkan idea-idea dan mendengar desas-desus baru. Seperti menonton rancangan Melodi di TV3 setiap ahad tengah hari!

Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala” (Kisah Rasul-Rasul 17:16). Di Atena, hampir setiap sesuatu dan setiap tempat mempunyai berhala dan mazbah; pokok, rumah, tiang, patung-patung, tanah, angin, bulan, bintang-bintang, matahari, api, dan sebagainya. Saya ada membaca penulis sejarah mengatakan bahawa lebih banyak berhala berbanding dengan jumlah penduduk di Atena! Ada juga sebuah mazbah yang bertuliskan “Kepada Allah yang Tidak Dikenali” (“To the Unknown God”, 17:23) kerana mereka khuatir jika mereka ada tertinggal berhala yang patut disembah.

Paulus begitu tersentuh hati dengan kesesatan mereka dan tidak sanggup membiarkan semua itu begitu sahaja. Dia mula bertindak dengan “berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah” dan “berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia” (17:17). Paulus juga berdebat dengan beberapa orang guru yang mengikut fahaman Epikuros and fahaman Stoa. Mereka tidak tahu apa yang mereka harus lakukan kepada Paulus dan mesejnya. Adakah Paulus berlagak pandai? Adakah dia gila? Adakah dia mahu memulakan agama dan ajaran yang baru? Mereka bermesyuarat sepanjang hari di tempat yang dipanggil Areopagus – yang diberi nama sempena dewa Ares yang merupakan dewa peperangan dan guruh bagi orang Yunani.

Di Areopagus ramai orang berkumpul ingin mendengar Paulus berbicara tentang “Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian” (17:18) yang mereka anggap sebagai ajaran yang baru. Paulus tidak takut dan gementar walaupun dia keseorangan dan orang asing di tempat itu, malah dia lantang berbicara dihadapan orang ramai yang bijaksana dan berpengetahuan tinggi. Paulus mempunyai kelebihan – dia mempunyai iman kepada Allah yang Benar. Secara kesimpulan, Paulus menerangkan bahawa “Allah yang Tidak Dikenali” itu sebenarnya boleh dikenali melalui “orang yang sudah dipilih-Nya” (17:31) iaitu Yesus Kristus. Dia ialah Allah Bapa bagi mereka yang percaya kepada Anak-Nya, Yesus.

Mesej Berita Baik yang diisytiharkan oleh Paulus mendapat sabutan yang berbeza. Ada yang mengolok-olokkan dia dan ada juga yang ingin mendengar dia bercakap tentang hal itu sekali lagi. Ada yang datang hanya mendengar, ada yang berfikir seketika kemudian pulang dan hanya segelintir daripada mereka membuka hati mendengarnya. Ramai yang tidak peduli kerana mereka tidak percaya bahawa “Allah membangkitkan [Yesus] daripada kematian” (17:31).

Selepas sekian lama Paulus berbicara dengan orang ramai hampir setiap hari, mengalami banyak penolakkan, diketawakan oleh orang ramai, dan dipanggil sebagai seorang yang berpengetahuan cetek dan berlagak pandai (17:18) – adakah dia seorang yang gagal? Adakah dia telah mensia-siakan tenaga, masa dan peluang yang diberikan oleh TUHAN kepadanya? TIDAK! Ada orang yang percaya! Halleluya! Lebih daripada dua orang! Firman Allah mengatakan ada “Beberapa orang mengikuti Paulus dan percaya kepada Yesus [Saya tersenyum sekarang]. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain” (Kisah Rasul-Rasul 17:34, BM).

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Ringkas dan sangat luar biasa: TUHAN tidak menyuruh kita memaksa orang untuk percaya kepada-Nya tetapi mengutus kita untuk terus setia bersaksi bagi-Nya dan membiarkan Roh Allah sendiri yang bekerja di dalam hati orang yang mendengar Berita Baik itu. Paulus sedih dan tersentuh hati melihat banyak berhala disekelilingnya, bagaimana dengan kamu? Paulus mempunyai beban terhadap orang yang sesat dan tidak mengenal Allah yang benar, adakah kamu mempunyai beban itu? Paulus pergi bersaksi di rumah ibadat, di tempat awam, dihadapan orang yang belum mengenal Yesus – dimana sahaja dia berada – adakah kamu bersaksi bagi Dia setiap waktu dimana sahaja? Paulus tidak takut malu, tidak gentar dengan orang yang mungkin lebih berpengetahuan daripadanya dan tidak lari daripada persoalan orang ramai, adakah kamu mempunyai keyakinan seperti itu? Mungkinkah “Dionisius” dan “Damaris” yang haus akan Kebenaran itu ada disekeliling kamu sekarang?

Wahai pelajar Kristian di kolej dan universiti,
Wahai pekerja kerajaan dan swasta di Malaysia,
Wahai ibubapa, anak-anak, pemimpin gereja, pastor, mekanik, pemungut sampah dan sebagainya,
Wahai kamu semua yang mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu,
Bersaksilah bagi Allah Bapa yang kamu kenal!
Ingat, walaupun seorang datang kepada Yesus dalam pelayanan kamu
 “di syurga ada kegembiraan yang lebih besar
kerana seorang berdosa bertaubat” (Lukas 15:7, BM) Amen!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]