Showing posts with label Pemimpin CF. Show all posts
Showing posts with label Pemimpin CF. Show all posts

Monday, March 25, 2019

Pemimpin CF #8 Seorang Yang Berani & Rendah Hati


Jika seorang pemimpin itu,


Jika kamu berani tetapi tidak ada kerendahan hati, kamu akan menjadi sombong. Kamu akan menyangka bahawa kejayaan kepimpinan kamu itu datang daripada kamu sendiri. Kamu akan memandang rendah dengan team yang lain dan mengandalkan kekuatan sendiri. Selain itu, kamu akan lebih cenderung untuk menggunakan posisi kamu untuk memimpin dan ini juga boleh dikira sebagai ‘pembuli.’ Tetapi jika kamu seorang yang kurang berkeyakinan tetapi memiliki kerendahan hati, kamu tidak akan memberi apa-apa impak dalam kepimpinan kamu. Tidak ada inovasi, kurang idea baru dan bergantung dengan tradisi CF yang lama. Kerendahan hati tanpa tindakkan dan initiatif hanya melayakkan kamu untuk menjadi pengikut sahaja. Kamu akan menjadi pengikut yang baik tetapi tidak cukup untuk dipanggil seorang pemimpin.

Sebagai pemimpin Christian Fellowship (CF), kamu harus ada kedua-duanya. PEMIMPIN = BERANI + RENDAH HATI. Keberanian sangat diperlukan kerana seorang pemimpin harus melakukan apa yang benar walaupun ianya sukar. Selain daripada itu, kamu juga perlu membuat keputusan yang berat (mungkin ada yang tidak suka) dan jika kamu ingin memimpin dengan cara dan personaliti kamu sendiri, kamu kena berani melakukan perubahan. Apabila ada konflik dan kekeliruan di dalam sesebuah team, pemimpin harus berani bertindak dan menyelesaikan masalah itu. Pemimpin yang berani tidak bererti dia tidak takut apa-apa – disebalik ketakutannya, dia bertindak! Tetapi keberanian harus diikuti dengan rendah hati. Rendah hati ini berbeza dengan rendah diri. Rick Warren, penulis buku The Purpose Driven Life, menerangkan, “Rendah hati tidak bermaksud kamu kena memikirkan kekurangan sendiri, tetapi ia bermaksud kamu kurang memikirkan tentang diri sendiri.” Apabila kamu berani dan rendah hati melayani, fokus kamu tidak akan kepada diri sendiri, tetapi orang lain.

Apabila saya membaca tentang nabi Daniel di dalam Perjanjian Lama, saya melihat dia memiliki kedua-dua ciri kepimpinan ini. Dalam Daniel 2:27-28, kita boleh melihat bahawa Daniel seorang yang berani dan juga rendah hati. Untuk menghadap dan bercakap dihadapan raja Babel, Nebukadnezar yang agung dan berkuasa, Daniel harus berani (kamu harus tahu bahawa bukan calang-calang orang yang boleh bercakap dengan raja seperti ini). Dia juga berani untuk menyatakan kebenaran: “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal” (ayat 27). Tetapi disebalik keberanian dia, Daniel juga memiliki kerendahan hati: “Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia…” (ayat 28). Daniel tahu dia tidak tahu dan dia sedar hanya TUHAN sahaja yang tahu. Wow!

Ada empat (4) cara untuk kamu menjadi seorang pemimpin yang berani dan rendah hati:

#1 Mengetahui Kekuatan dan Kelemahan Sendiri. Secara jujur, tanya diri sendiri. Pada pendapat saya, lebih baik kamu sedar dahulu kekuatan/kelemahan kamu daripada orang lain yang mengatakannya. Tanya juga dengan orang yang terdekat dengan kamu seperti ahli keluarga, kawan-kawan, mentor dan rakan-rakan yang melayani bersama-sama dengan kamu. Kamu perlu tahu kekuatan kamu supaya kamu boleh memimpin dengan lebih yakin; dan tahu kelemahan kamu supaya kamu ada rendah hati dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

#2 Mengetahui Bahawa Kekuatan Kamu Boleh Menjadi Kelemahan Kamu. Ini antara kos sekiranya seorang pemimpin itu tidak mempunyai kerendahan hati. Kadang-kadang, kekuatan kamu juga boleh menjadi kelemahan. Contohnya, saya sangat efektif dalam mengajar Alkitab (kekuatan) tetapi lama-kelamaan saya tidak lagi mahu belajar daripada orang lain (kelemahan) dan beranggapan saya sudah tahu semua (kelemahan).

#3 Menjadikan Kelemahan Kamu Sebagai Kekuatan. Tusy ialah salah seorang daripada AJK CF yang agak pemalu (dengan orang baru) dan seorang yang introvert. Mungkin bagi dia ini ialah kelemahannya, tetapi apabila saya melihat dia melayani dengan penuh semangat dan komitmen terutamanya dibelakang tabir, ini sebenarnya kekuatan dia. Sebagai seorang pemimpin, jika kamu menyatakan kelemahan kamu dengan berani dihadapan team dan tetap bersemangat untuk melayani, kamu sebenarnya menjadikan kelemahan kamu sebagai kekuatan.

#4 Melayani dengan Mengandalkan Kekuatan TUHAN. Walau seberapa yakin dan berani kamu memimpin, walaupun kamu rendah hati, semua kita – pemimpin atau bakal menjadi pemimpin – harus mengandalkan kekuatan Tuhan. Dalam Zakharia 4:6, Allah berfirman: “Bukan dengan kegagahan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan Roh-Ku.” Begitu juga bagaimana kita memimpin di CF – melalui kekuatan Allah dan pimpinan Roh Kudus.  

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Belum lagi menonton video Pemimpin CF #8? KLIK DI SINI
Untuk menonton video-video Siri Pemimpin CF, sila KLIK DI SINI

LIKEFOLLOW dan SHARE FB Page: LEGASI.tv
Best Blogger Tips

Thursday, February 14, 2019

Saturday, January 19, 2019

Pemimpin CF #7 Seorang Yang Mempunyai Pengawalan Diri Yang Baik


Seperti yang saya sudah pernah katakan, Christian Fellowship (CF) berbeza dengan kelab-kelab yang lain - ia unik. CF yang baik dan seimbang selalunya terdiri daripada pelbagai denominasi gereja, pelbagai kaum, tempat asal, perangai dan cara berfikir. Kesaksian CF untuk Kristus ialah kesatuan dalam kepelbagaian. Oleh itu, memang tidak boleh dielakan bila para pemimpin CF berbeza pendapat dan terjadinya konflik. Perkara ini PASTI berlalu, BUKAN adakah ia akan terjadi atau tidak. Jadi, sangat penting untuk seseorang pemimpin mempunyai pengawalan diri (atau kawalan kendiri) yang baik terutamanya dari segi emosi kemarahan.

Adakah kamu pandai mengawal emosi? Bila ada orang - terutamanya dikalangan AJK atau sepelayanan - berkata sesuatu yang menyakitkan hati kamu, adakah kamu cepat melenting? Bagi saya, itu sebenarnya membuktikan bahawa seseorang itu lemah dari segi kepimpinan (saya faham kerana saya dulu sebenarnya seorang yang cepat marah. Malah sekarang saya masih lagi belajar mengawalnya). Kamu kena faham: Jika kamu digelar sebagai pemimpin, kamu secara automatik akan didedahkan dengan kritikan dan konflik. Kenapa? Kerana para pemimpin lebih mudah dilihat dan dinilai berbanding dengan orang lain. Oleh itu, adalah sangat penting bagi kamu untuk mengawal emosi dan tidak membiarkan kemarahan mengganggu rasionaliti kamu.

Amsal 16:32 berfirman, "Orang yang lambat marah [atau sabar] lebih baik daripada orang yang perkasa; menguasai diri lebih baik daripada menguasai bala tentera." Dengan erti kata lain, kamu mungkin seorang yang perkasa dan menguasai bala tentera tetapi tidak semestinya seorang pemimpin. Seorang pemimpin harus pandai "menguasai diri" dan "lambat marah" [atau penyabar]. Sedang para pemimpin CF lain berdebat tentang suatu hal yang sebenarnya berpunca daripada perselisihan faham, Vicky sentiasa tenang. Apabila ada yang meninggikan suara, Vicky, seorang yang berbadan tegap, masih boleh lagi mengawal emosi dia dan berfikiran rasional. Mungkin sebab itu, apabila dia bersuara, ramai yang menghormati dia. Rasa hormat ialah salah satu kesan yang positif jika seseorang pemimpin itu pandai mengawal dirinya.

Biar saya tanya kamu, adakah kamu sanggup dipimpin oleh orang yang tidak stabil emosinya? Pasti tidak... Kamu akan lari walaupun kamu hanya melihat bayang-bayang dia! Dalam Galatia 5:23, salah satu buah Roh Kudus ialah "pengawalan diri." Adakah kamu memiliki buah Roh ini?

Instagram > Richard Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, January 16, 2019

LEGASI.tv Siri Pemimpin CF: Episode 1 Seorang Yang Boleh Mempengaruhi Orang Lain



LEGASI.tv mempersembahkan Siri Pemimpin CF - video yang ringkas, padat dan penuh dengan infomasi - bertujuan untuk memberi inspirasi dan motivasi bagi para pemimpin Christian Fellowship (CF) atau Persekutuan Kristian di universiti, kampus dan sekolah supaya mereka boleh menjadi lebih efektif dan boleh memimpin dengan berlandaskan prinsip kepimpinan Kristian. LEGASI.tv percaya bahawa peranan pemimpin CF sangat penting kerana merekalah (kamu!) yang boleh melakukan perubahan yang positif ditempat mereka melayani! Di dalam setiap video, LEGASI.tv akan menyelitkan kisah benar, contoh yang terkini, ilustrasi menarik dan petikan Firman Allah yang berkaitan dengan topik pada setiap episod.

JANGAN LUPA UNTUK SUBSCRIBE!

Visi LEGASI.tv: Inspirasi Setiap Minggu!
[Setiap RABU]

Isi Kandungan & Penyampai:
Richard Angelus

Jurukamera & Penyunting:
Kenny de Eduardo

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Tuesday, January 15, 2019

Pemimpin CF #6 Karakter Lebih Penting daripada Bakat



Sepanjang hampir 9 tahun melayani dalam pelayanan pelajar, saya sudah melihat pelbagai cara telah digunakan untuk membuat pemilihan AJK CF. Contoh yang paling biasa ialah melalui pencalonan dan kemudian cabutan undi; contoh yang paling teruk ialah undian berdasarkan populariti; contoh yang berisiko ialah melalui pemilihan terus oleh para pemimpin tertinggi dan/atau penasihat; dan contoh yang paling bagus, pada pendapat saya, ialah melalui proses mentoring berperingkat. Walau apapun cara yang digunakan (semuanya ada kesan positif dan negatif), kesilapan yang paling ketara yang sering dilakukan ialah apabila kita memilih seseorang pemimpin berdasarkan bakat dahulu, kemudian atau seterusnya barulah karakter.

Jika kamu tidak percaya, cuba kamu imbas kembali apakah ciri-ciri pemimpin yang biasa dipilih oleh orang semasa pemilihan AJK CF atau persatuan muda-mudi di gereja - Adakah dia seorang yang pandai (atau banyak) bercakap? Seorang yang dominan? Ekstrovert? Adakah dia salah seorang daripada kumpulan atau pemimpin pujian? Atau pandai bermain guitar dan alat musik? Adakah dia seorang yang suka memetik Firman Allah di social media? Adakah dia pandai berdoa (atau paling lama berdoa)? Secara umumnya, tanpa kita tidak sedari, kita memilih berdasarkan luaran seperti bakat atau talenta lebih daripada kehidupan rohani dan karakter seseorang itu. Saya tulis ‘kita’ kerana saya juga selalu melakukan kesilapan seperti ini. Berapa ramai pemimpin Kristian yang jatuh dan akhirnya mempengaruhi orang lain secara negatif apabila karakter pemimpin itu lemah? Karakter atau perwatakan seseorang pemimpin itu sangat penting lebih-lebih lagi apabila isu kepimpinan politik, agama dan dunia koperat pada masa kini sudah pada tahap yang membimbangkan. Saya sendiri pernah mendengar dua orang pemimpin gereja tinggal di rumah sewa yang sama walaupun mereka belum berkahwin lagi!

Jadi, bagaimana para pemimpin CF (dan para penasihat) boleh menhindari hal yang tidak diingini seperti ini? Pertama, kita perlu tahu membezakan diantara karakter dan bakat seseorang itu. Sebagai pemimpin, karekter lebih penting daripada bakat. Bakat sangat berguna dalam pelayanan tetapi sekiranya kamu tidak ada karakter Kristus dalam diri kamu, semua itu sia-sia. Karakter seperti integriti, pengawalan diri, bertanggungjawab, pemaaf, mengandalkan kuasa TUHAN dan sebagainya sangat berguna di dalam pelayanan CF. Kedua, kita harus meminta petunjuk dan pimpinan TUHAN dalam memilih pemimpin. Apabila nabi Samuel, seperti kita, melihat bakat dan luaran seseorang itu, Allah menegur dia dengan berkata: "Janganlah pandang rupanya atau [isi tempat kosong]... Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi Tuhan melihat hati” (1 Samuel 16:7). Karakter!

Jangan terlepas infomasi yang menarik, ikut:
Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.



Best Blogger Tips

Sunday, January 13, 2019

Pemimpin CF #5 Tidak Kisah Bila Berada Di Belakang Tabir



Sementara membuat pengambaran video bersama dengan Kenny, kawan saya, saya terfikir satu ciri pemimpin Christian Fellowship (CF) yang sangat penting: Seorang yang senang melayani di hadapan tetapi juga tidak kisah bila berada di belakang tabir. Kedua-duanya sangat penting. Walaupun wajah saya yang akan muncul di dalam video itu nanti (video akan keluar hari rabu ini, tungguuu...), sebenarnya, proses penyuntingan dan produksi dilakukan oleh Kenny di belakang tabir. Siapa yang lebih penting? Saya atau Kenny? Kedua-duanya.

Begitu juga, di dalam sesebuah CF, para pemimpin harus mahu melayani di hadapan. Ini saya rasa semua orang tahu (sangat tahu sehinggakan ada yang hanya mahu melayani di hadapan saja). Tetapi sama pentingnya juga, seorang pemimpin tidak kisah jika dia melayani di belakang tabir. Bagi kebanyakkan orang, Aaron dilihat sebagai seorang pemimpin CF yang agak tegas. Tetapi sebenarnya, pada pendapat saya, dia seorang yang serius dalam menjalankan tanggungjawab. Semasa kem, jika dia memberikan arahan, kamu kena dengar! Sebagai pemerhati, saya juga melihat satu sudut kepimpinan yang berbeza tentang Aaron - dia juga tidak kisah melayani di belakang tabir. Jika ada masa, dia akan membantu AJK makanan memasak di dapur, menolong AJK permainan menyediakan alat-alat, dan menyusun kerusi sebelum sesi kem seterusnya bermula. Bukan Aaron sahaja, malah mereka AJK yang lain juga tidak kisah melayani di belakang tabir. Sesuatu yang indah akan berlaku apabila para pemimpin tidak kisah siapa yang akan mendapat nama dan pujian kerana apa yang penting ialah - nama Tuhan Yesus ditinggikan!

Kita kenal siapa Steve Jobs tetapi tahukah kamu tanpa kepintaran Steve Wozniak di belakang tabir syarikat Apple tidak akan wujud? Kita kenal siapa Bill Gates tetapi tahukah kamu bahawa tanpa Paul Allen tidak ada syarikat Microsoft? Kita menyanjungi Tun Mahathir ketika Pakatan Harapan menang PRU-14 tetapi bagaimana dengan para pemimpin yang lain yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakannya? Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan bagi Liverpool FC, tetapi sedarkan kamu bahawa berapa kali Alisson Becker, penjaga gol, menyelamatkan sepakan lawan? Dalam Markus 2:1-5, ada seorang lumpuh telah dibawakan kepada Yesus melalui bumbung rumah supaya dia disembuhkan-Nya. Firman mengatakan bahawa “ketika Yesus melihat iman mereka...” (ayat 5), Dia bertindak. Siapa “mereka” ini? Kita tidak tahu. Mereka hanya dibelakang tabir. Tetapi disebabkan iman “mereka” berempat itu, seorang lumpuh telah disembuhkan.

Saya ulang lagi: Pemimpin CF yang baik ialah seorang yang senang melayani di hadapan tetapi juga tidak kisah bila berada di belakang tabir.

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

Saturday, January 12, 2019

Pemimpin CF #3 Seorang Yang Mahu Belajar & Diajar



Walau seberapa lamapun kamu dipilih menjadi pemimpin, walau berapa kali kamu mengikuti kem kepimpinan, walau sebanyak manapun nasihat bernas yang kamu pernah terima - jika kamu tidak ada sikap yang ingin belajar dan mudah diajar - semua ini hanya sia-sia. Ada segelintir pemimpin Christian Fellowship (CF) yang saya pernah jumpa yang suka membawa 'kepala sendiri' apabila diberi jawatan dan kuasa dalam kepimpinan. Mereka tidak mahu belajar sesuatu yang baru. Mereka berfikir hanya cara dan pendapat mereka sahaja yang betul.

Untuk mengetahui samada kamu seorang pemimpin yang mahu belajar dan senang diajar, jawab soalan-soalan berikut: Adakah kamu terbuka dengan pandangan orang lain? Adakah kamu mendengar lebih daripada bercakap? Adakah kamu sanggup mengubah pendapat jika diberi maklumat yang baru? Adakah kamu sanggup mengakui kesalahan/kesilapan? Adakah kamu seorang yang suka bertanya? Adakah kamu sanggup melakukan perubahan atau sesuatu yang baru? Adakah kamu cepat melenting apabila kamu dikritik atau kamu mahu mendengar untuk mendapatkan kebenaran?

Jika kebanyakkan jawapan kamu ialah "Ya", maka kamu seorang pemimpin yang baik. Allan pada mulanya seorang pemimpin yang agak pemalu dan selalu melakukan kesilapan. Tetapi satu kualiti yang dia ada ialah sikap ingin belajar dan diajar. Dia banyak bertanya dan meminta pendapat daripada orang lain. Adakalanya dia membuat keputusan yang kurang tepat dan terjadinya konflik, tetapi dia tidak mudah putus asa. Menurut pemerhatian saya, Allan semakin bertumbuh dalam iman dan kepimpinannya. Saya sangat berbangga dengan dia!

Di dalam Perjanjian Baru, Petrus dan Yudas merupakan para pengikut Yesus dan mereka diajar oleh Dia secara peribadi... diakhir cerita, Yudas mengkhianati Yesus. Kenapa? Kerana dia suka 'membawa kepala' sendiri. Dia seolah-olah seperti pengikut sebenar tetapi apa yang Yesus ajarkan tidak pernah masuk ke dalam hati dia. Oleh itu, dia mengantungkan diri! Petrus pula selalu melakukan kesilapan malah dia pernah menyangkal Yesus. Tetapi kenapa pada akhirnya Petrus menjadi pemimpin para rasul? Selain daripada kerana kasih kurnia Yesus Kristus kepadanya... Petrus merupakan seorang pengikut yang mahu belajar dan suka diajar oleh Yesus. Oleh itu, dia semakin bertumbuh!

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Pemimpin CF #4 Melihat Pelayanan Sebagai Panggilan, Bukan Tugasan



Dalam pelayanan persekutuan Kristian (atau Christian Fellowship, CF), apa yang membezakan iya dengan kelab-kelab lain atau apa yang menjadikan ia unik daripada kelab-kelab yang ada di sekolah/kolej/universiti ialah - CF merupakan tempat dimana para pengikut Kristus bertumbuh di dalam iman dan menjadi saksi sebagai SATU tubuh Kristus. CF - walaupun ada pengurusan dan struktur yang lebih kurang sama dengan kelab-kelab lain - mempunyai unsur kerohanian. Oleh itu, untuk melayani di CF, para pemimpin HARUS melihat tanggungjawab mereka sebagai panggilan daripada TUHAN, bukan tugasan semata-mata.

Jika seorang pemimpin CF melayani dari segi perspektif "panggilan" atau lebih baik lagi, jika dia tahu bahawa dia telah dipanggil oleh Allah untuk melayani, dia akan melakukan tanggungjawab yang diberi dengan lebih bersungguh-sungguh (walaupun ia dilakukan di sebalik tabir), tidak mudah putus asa atau kecil hati, tidak mudah merungut, tahu bahawa TUHAN menyertainya, dan samada sesuatu yang dilakukan itu berjaya atau tidak atau biasa-biasa, dia tahu bahawa Allah melihat kesetiaannya bukan kebolehannya.

Apabila saya berkerja bersama dengan sesetengah pemimpin CF yang melihat pelayanan mereka sebagai "tugasan" semata-mata, ini permerhatian saya: Mereka buat kerja sambil lewa (a.k.a. cincai), melakukan tanggungjawab berdasarkan deskripsi tugasan dan tidak lebih ("Saya AJK Puji Sembah, tugas mengutip sampah dan mengemas dewan ialah AJK Kebersihan"), dan apabila mereka menerima teguran, mereka suka mengambil teguran itu secara peribadi. Sebelum Andy menjadi AJK CF, dia pada mulanya menjadi pembantu penyambut tetamu. Bila saya datang ke CF, dia menyambut saya, "Welcome brother Richard!!!" "Wow, semangat betul kamu Andy?" tanya saya. Andy menjawab, "Saya excited jadi usher dan tengok orang ke CF!" Yah! Itulah semangat orang yang melayani!

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Thursday, January 10, 2019

Pemimpin CF #2 Harus Mahu atau Pandai Membahagikan Tugasan



Salah satu sebab utama kenapa para pemimpin Christian Fellowship (CF) cepat burn out ialah kerana mereka tidak mahu atau tidak pandai membahagikan tugas kepada orang lain. Atau, untuk membuatkan ayat ini lebih positif, sebab utama kenapa para pemimpin CF sangat efektif ialah kerana mereka tidak melakukan tugasan secara bersendirian tetapi melakukanya bersama-sama. Tidak kira samada kamu presiden atau AJK permainan atau kem koordinator, kamu kena ingat bahawa satu orang tidak boleh melakukan segalanya.

Pemimpin yang baik mempunyai sikap kerjasama bukan menjadi hero satu orang sahaja (sebab itu Captain America, walaupun kurang dari segi kekuatan berbanding dengan ahli kumpulan Avengers yang lain, selalunya menjadi pemimpin bagi mereka). Apabila pemimpin membahagikan tugasan dan tanggungjawab kepada AJK atau ahli yang lain, dia menunjukan bahawa program atau aktiviti itu adalah milik mereka bersama. Seperti yang kita tahu, semua orang mengingini supaya kita dihargai. Dengan memberikan tugasan yang sesuai dengan keperibadian dan kebolehan seseorang itu, kamu akan membangkitkan semangat dia untuk melayani. Setiap kali ada kem kepimpinan bersama AJK CF, saya selalu memberi pesan bahawa: CF ialah milik kita semua!

Dua contoh yang saya mahu kongsikan, satu (-) dan satu lagi (+). Contoh (-): Ada satu kem CF dimana presiden melantik dirinya sendiri menjadi koordinator. Saya faham kenapa dia berbuat begitu (kerana tidak ada yang mahu sukarela) tetapi saya mula tidak senang apabila dia juga bertugas menjadi kem komander, AJK makanan dan AJK doa. Saya berbincang dengan dia, “Tidak ada orang lain lagikah?” Dia menjawab, “Saya belum melihat potensi yang lain lagi.” “Mungkin kerana kamu tidak memberi mereka peluang…” kata saya sambil memberi cadangan beberapa nama. Dia masih bertegas untuk memegang semua jawatan itu jadi saya biarkan kerana itu kem yang pertama bagi dia sebagai koordinator. Untuk pemilihan presiden semester seterusnya, kamu rasa orang akan memilih dia lagi? Kamu tahu jawapannya…

Contoh (+): Apabila saya bertanya kepada Stephanie, koordinator untuk program pra-Krismas, “Apakah tanggungjawab koordinator pada pandangan kamu?” Ini jawab dia: “Koordinator bertanggungjawab untuk memastikan sesuatu program itu berjalan dengan lancar menurut objektif yang telah dibincangkan sewaktu mesyuarat AJK.” Kagum, saya menguji dia lagi, “Ada lagi?” “Koordinator juga kena pandai membahagikan tugas bro, pastikan mereka melakukan tugasan dan melakukannya bersama-sama.” Jawapan buku teks. Tepat sekali! Setahu saya, semua AJK senang bekerja di bawah pimpinan Steph. Mereka percaya kepada dia kerana dia percaya kepada mereka. Dia yakin kepada kebolehan mereka untuk mengendalikan tugasan yang diberi.

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Pemimpin CF #1 Seorang Yang Boleh Mempengaruhi Orang Iain



Untuk menjadi seorang pemimpin CF (Christian Fellowship), kamu harus belajar untuk menjadi seorang yang boleh mempengaruhi orang lain secara positif. Bukan seorang yang sempurna (itu tidak mungkin) tetapi seorang yang berpengaruh. Pemimpin selalunya mempengaruhi bagaimana kita berfikir dan bertindak... walaupun ada kalanya kita mungkin tidak sedar.

Memandangkan saya melayani dalam pelayanan pelajar, biar saya bagi beberapa contoh. Setiap kali ada mesyuarat CF, Joshua selalu membawa pen dan buku nota untuk mencatat perkara yang dibincangkan walaupun dia bukan setiausaha. Minggu pertama, semua orang termasuk setiausaha ("Lupa," katanya) tidak membawa apa-apa nota ke mesyuarat kecuali Joshua. Minggu kedua, beberapa orang sudah mula sedar. Minggu ketiga, semua orang membawa pen dan nota. Kenapa? Kerana Joshua mempengaruhi mereka semua. 

Ada satu lagi AJK pula, pengerusi selalu datang lewat setiap kali mesyuarat. Jika dia lambat, dia tidak pernah meminta maaf. Apakah kesan daripada hal itu? Semua orang datang lewat dalam 30 minit ke 1 jam dari masa yang telah ditetapkan! Jadi, saya pergi berjumpa dengan pengurusi dan menasihatkan dia tentang hal ini. Pada mesyuarat seterusnya, dia datang tetap pada masa tetapi ramai yang masih belum datang. Dia mulanya agak kecewa tetapi selepas beberapa mesyuarat dan perjumpaan, pengerusi ini selalu datang awal atau tepat pada masa. Kesannya? Hampir semua AJK menepati masa! 

Ramai pemimpin CF yang saya jumpa kadang-kadang kecewa apabila tidak ramai orang datang melayani di CF. Saya bertanya kepada mereka, "Adakah kamu bersukacita melayani di CF atau kamu terpaksa? Adakah kamu berkobar-kobar setiap kali ada CF atau kamu berharap ia akan dibatalkan? Adakah kamu menyembah TUHAN berdasarkan iman kamu kepada-Nya atau bergantung kepada bilangan ahli yang datang?" Jika jawapan kamu ialah BERSUKACITA, BERKOBAR-KOBAR dan BERDASARKAN IMAN, maka, kamu terus setia melayani DIA dan biarkan iman dan sikap kamu mempengaruhi orang disekeliling kamu! 

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]