Thursday, January 10, 2019

Pemimpin CF #2 Harus Mahu atau Pandai Membahagikan Tugasan



Salah satu sebab utama kenapa para pemimpin Christian Fellowship (CF) cepat burn out ialah kerana mereka tidak mahu atau tidak pandai membahagikan tugas kepada orang lain. Atau, untuk membuatkan ayat ini lebih positif, sebab utama kenapa para pemimpin CF sangat efektif ialah kerana mereka tidak melakukan tugasan secara bersendirian tetapi melakukanya bersama-sama. Tidak kira samada kamu presiden atau AJK permainan atau kem koordinator, kamu kena ingat bahawa satu orang tidak boleh melakukan segalanya.

Pemimpin yang baik mempunyai sikap kerjasama bukan menjadi hero satu orang sahaja (sebab itu Captain America, walaupun kurang dari segi kekuatan berbanding dengan ahli kumpulan Avengers yang lain, selalunya menjadi pemimpin bagi mereka). Apabila pemimpin membahagikan tugasan dan tanggungjawab kepada AJK atau ahli yang lain, dia menunjukan bahawa program atau aktiviti itu adalah milik mereka bersama. Seperti yang kita tahu, semua orang mengingini supaya kita dihargai. Dengan memberikan tugasan yang sesuai dengan keperibadian dan kebolehan seseorang itu, kamu akan membangkitkan semangat dia untuk melayani. Setiap kali ada kem kepimpinan bersama AJK CF, saya selalu memberi pesan bahawa: CF ialah milik kita semua!

Dua contoh yang saya mahu kongsikan, satu (-) dan satu lagi (+). Contoh (-): Ada satu kem CF dimana presiden melantik dirinya sendiri menjadi koordinator. Saya faham kenapa dia berbuat begitu (kerana tidak ada yang mahu sukarela) tetapi saya mula tidak senang apabila dia juga bertugas menjadi kem komander, AJK makanan dan AJK doa. Saya berbincang dengan dia, “Tidak ada orang lain lagikah?” Dia menjawab, “Saya belum melihat potensi yang lain lagi.” “Mungkin kerana kamu tidak memberi mereka peluang…” kata saya sambil memberi cadangan beberapa nama. Dia masih bertegas untuk memegang semua jawatan itu jadi saya biarkan kerana itu kem yang pertama bagi dia sebagai koordinator. Untuk pemilihan presiden semester seterusnya, kamu rasa orang akan memilih dia lagi? Kamu tahu jawapannya…

Contoh (+): Apabila saya bertanya kepada Stephanie, koordinator untuk program pra-Krismas, “Apakah tanggungjawab koordinator pada pandangan kamu?” Ini jawab dia: “Koordinator bertanggungjawab untuk memastikan sesuatu program itu berjalan dengan lancar menurut objektif yang telah dibincangkan sewaktu mesyuarat AJK.” Kagum, saya menguji dia lagi, “Ada lagi?” “Koordinator juga kena pandai membahagikan tugas bro, pastikan mereka melakukan tugasan dan melakukannya bersama-sama.” Jawapan buku teks. Tepat sekali! Setahu saya, semua AJK senang bekerja di bawah pimpinan Steph. Mereka percaya kepada dia kerana dia percaya kepada mereka. Dia yakin kepada kebolehan mereka untuk mengendalikan tugasan yang diberi.

Instagram > Richard Angelus
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]