Ada seorang lelaki
mengembara ke seberang benua dengan menaiki kapal persiaran tetapi tidak pernah
makan di dewan makan. Setiap kali dia lapar, dia akan pergi ke sudut di
bahagian tempat tidur dia dan makan biskut dan air yang dibawanya dari tempat
asal. Apabila kapal itu hampir tiba ke destinasi, seorang perempuan bertanya
kepadanya, “Kenapa kamu tidak pernah
pergi ke dewan makan untuk makan bersama kami semua?” Lelaki itu berasa
segan dan malu, lalu menjawab, “Oh… untuk
pengetahuan kamu, wang saya hanya cukup-cukup untuk membeli tiket kapal.”
Perempuan itu terkejut dan berkata, “Eh
encik… tiket kapal itu disekalikan dengan makanan la!”
Ramai daripada kita yang
sudah menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat masih lagi tidak
menyedari bahawa kita memiliki kuasa dan kurnia Allah yang luar biasa di dalam
kehidupan kita. 2 Petrus 1:3 berfirman, “Dengan kuasa ilahi-Nya Allah telah
mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa
yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan
kebaikan-Nya.” Kita sudah menaiki kapal tetapi kita masih lagi
bergantung hidup dengan biskut dan air, padahal di dalam kapal itu telah
disediakan makanan yang lebih daripada cukup untuk kita! Melalui Yesus (simbol
untuk tiket), kita memiliki segalanya!
Apa yang kita perlukan
untuk hidup sebagai manusia, sebagai pengikut Kristus, Allah sudah
mengurniakannya kepada kita. Apa yang diperlukan untuk kesalihan (iaitu hidup
salih), Dia sudah menyediakannya kepada kita. Jika kamu berfikiran bahawa dosa
dan tabiat buruk kamu sangat susah untuk ditinggalkan, maka, kamu masih lagi
seperti lelaki itu yang hanya makan biskut dan air. TUHAN sudah menyediakan
makanan – jalan penyelesaian dan kekuatan – yang secukupnya kepada kamu, apa yang
kamu harus lakukan sekarang ialah menyedari bahawa “Allah telah memberi kita kemenangan melalui Tuhan kita Yesus Kristus”
(1 Korintus 15:57).
Jangan hidup hanya ala
kadar, hidup sepenuhnya dengan bersandarkan kuasa Allah; jangan berfikiran
seperti pengemis, berfikirlah seperti anak-anak Allah; jangan bersikap
cukup-cukup, ketahuilah bahawa di dalam Yesus Kristus, kita memiliki segalanya!
Oleh itu, usah bertahan dengan biskut dan air sepanjang masa, pergi ke dewan
makan, dan nikmatilah “kemuliaan dan
kebaikan-Nya” – Itulah makanan yang harus kita makan setiap hari! (semuanya
disekalikan dengan tiket kamu).
Instagram -> Richard_Angelus
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment