Sementara membuat
pengambaran video bersama dengan Kenny, kawan saya, saya terfikir satu ciri
pemimpin Christian Fellowship (CF)
yang sangat penting: Seorang yang senang
melayani di hadapan tetapi juga tidak kisah bila berada di belakang tabir.
Kedua-duanya sangat penting. Walaupun wajah saya yang akan muncul di dalam
video itu nanti (video akan keluar hari rabu ini, tungguuu...), sebenarnya,
proses penyuntingan dan produksi dilakukan oleh Kenny di belakang tabir. Siapa
yang lebih penting? Saya atau Kenny? Kedua-duanya.
Begitu juga, di dalam
sesebuah CF, para pemimpin harus mahu melayani di hadapan. Ini saya rasa semua
orang tahu (sangat tahu sehinggakan ada yang hanya mahu melayani di hadapan
saja). Tetapi sama pentingnya juga, seorang pemimpin tidak kisah jika dia
melayani di belakang tabir. Bagi kebanyakkan orang, Aaron dilihat sebagai
seorang pemimpin CF yang agak tegas. Tetapi sebenarnya, pada pendapat saya, dia
seorang yang serius dalam menjalankan tanggungjawab. Semasa kem, jika dia
memberikan arahan, kamu kena dengar! Sebagai pemerhati, saya juga melihat satu
sudut kepimpinan yang berbeza tentang Aaron - dia juga tidak kisah melayani di
belakang tabir. Jika ada masa, dia akan membantu AJK makanan memasak di dapur,
menolong AJK permainan menyediakan alat-alat, dan menyusun kerusi sebelum sesi
kem seterusnya bermula. Bukan Aaron sahaja, malah mereka AJK yang lain juga
tidak kisah melayani di belakang tabir. Sesuatu yang indah akan berlaku apabila
para pemimpin tidak kisah siapa yang akan mendapat nama dan pujian kerana apa
yang penting ialah - nama Tuhan Yesus ditinggikan!
Kita kenal siapa Steve
Jobs tetapi tahukah kamu tanpa kepintaran Steve Wozniak di belakang tabir
syarikat Apple tidak akan wujud? Kita kenal siapa Bill Gates tetapi tahukah
kamu bahawa tanpa Paul Allen tidak ada syarikat Microsoft? Kita menyanjungi Tun
Mahathir ketika Pakatan Harapan menang PRU-14 tetapi bagaimana dengan para
pemimpin yang lain yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakannya? Mohamed
Salah menjaringkan gol kemenangan bagi Liverpool FC, tetapi sedarkan kamu
bahawa berapa kali Alisson Becker, penjaga gol, menyelamatkan sepakan lawan? Dalam
Markus 2:1-5, ada seorang lumpuh telah dibawakan kepada Yesus melalui bumbung
rumah supaya dia disembuhkan-Nya. Firman mengatakan bahawa “ketika Yesus melihat iman mereka...”
(ayat 5), Dia bertindak. Siapa “mereka”
ini? Kita tidak tahu. Mereka hanya dibelakang tabir. Tetapi disebabkan iman “mereka”
berempat itu, seorang lumpuh telah disembuhkan.
Saya ulang lagi: Pemimpin CF
yang baik ialah seorang yang senang melayani di hadapan tetapi juga tidak kisah
bila berada di belakang tabir.
Instagram > Richard
Angelus
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment