Pak Johanes Gilbert #AskAngelus:
“Dalam
banyak-banyak cabang teologi seperti Baptist teologi, Reformed teologi, Karismatik
teologi, dan sebagainya, mana satu yang paling dekat untuk kamu percaya?”
[Nota: Pak Gilbert
bertanya bukan untuk menguji saya atau kerana dia tidak tahu tentang hal-hal
teologi (dia seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang ini), tetapi dia
bertanya untuk mengetahui pendapat saya.]
Biar saya mula dengan
asas. Menurut mendiang R.C. Sproul di dalam buku yang singkat dan padat yang
bertajuk The Truth of the Cross, dia
berkata ada tiga (3) jenis asas theologi menurut sejarah gereja: 1) Agustinianisme, 2) Semi-Pelagianisme, dan 3) Pelagianisme.
Secara ringkas, Agustinianisme,
kepercayaan mengikut doktrin Augustine, percaya bahawa keselamatan hanya datang
daripada kasih kurnia Allah sahaja. Semi-Pelagianisme
pula percaya bahawa keselamatan adalah hasil kerjasama diantara kehendak
manusia dan kasih kurnia Allah. Manakala Pelagianisme,
kepercayaan yang dikatakan (ada yang
berpendapat bahawa para pengikut yang mengubahsuai kepercayaan ini) mengikut doktrin
Pelagius, percaya bahawa keselamatan tidak memerlukan kasih kurnia Allah untuk
terjadi. “Secara amnya,” kata R.C.
Sproul, “setiap gereja percaya salah satu
daripada tiga kategori ini.”
Saya percaya bahawa setiap
cabang teologi yang kamu nyatakan di dalam soalan kamu itu samada dalam
kategori Agustinianisme atau Semi-Pelagianisme. Yang paling tidak Alkitabiah
ialah Pelagianisme, ini saya sangat yakin salah! Tetapi diantara Agustinianisme,
Semi-Pelagianisme dan yang sewaktu dengannya, mana satu yang saya pecaya? Atau,
soalan yang masih hebat didebatkan dikalangan ahli-ahli theologi sehingga
sekarang, adakah kamu seorang Calvinis atau Arminian? Jawapan yang paling ‘rohani’
ialah, “Saya pengikut Kristus.” Ini jawapan yang tepat dan harus dijadikan
peringatan kepada kita semua bahawa walauapapun cabang teologi yang kamu
percaya, ingat, kita harus mengikut Yesus Kristus bukan doktrin. Tetapi jawapan
yang paling tepat bagi saya ialah, “Saya berpegang kepada doktrin Calvinis,
tetapi saya hidup seperti Arminian.” Contohnya dari segi keselamatan, saya
percaya 100% bahawa hanya melalui kasih kurnia Allah sahaja yang dapat
menyelamatkan saya (Calvinis). Tetapi dari segi iman, secara logic, saya harus
percaya bahawa saya menerima keselamatan daripadanya secara sukarela (Arminian).
Hadiah diberikan kepada saya (Calvinis), tetapi saya harus bertindak dengan
menerimanya (Arminian). Menurut pemerhatian saya, semua orang yang mengakui bahawa
mereka seorang Calvanis, dari segi cara hidup sebenarnya berkelakuan seperti
seorang Arminian.
Untuk menjawab soalan di
atas, jawapan saya ialah (sekali lagi): “Saya berpegang kepada doktrin Calvinis,
tetapi saya hidup seperti Arminian. Dan dari segi intelektual, saya lebih dekat
kepada Reformed theologi tetapi dari segi praktikal, saya lebih cenderung
kepada Karismatik thelogi (nota tambahan).” Bagi saya, tidak ada satu
cabang teologi atau doktrin yang lebih tepat daripada satu sama lain. Setiapnya
ada kelebihan dan ada kekurangan. Jika kamu mengkaji Alkitab secara keseluruhan
tanpa (atau dengan mengurangkan prejudis) sudut pandangan mana-mana teologi
atau doktrin, kamu akan mendapati bahawa tidak ada satu konsep atau prinsip
yang sama untuk setiap situasi atau keadaan kecuali
tentang keperibadian Allah. Saya tidak menghalang sesiapa untuk
belajar tentang Teologi atau Doktrin Kristian kerana ianya sangat penting bagi
setiap orang Kristian. Lebih baik menjadi pengikut Kristus yang berpengetahuan
daripada menjadi pengikut yang bodoh-sombong. Tetapi kita harus ingat, bukan
teologi atau doktrin yang akan menentukan hubungan kita dengan Kristus, yang
penting atau terlebih dahulu ialah kamu harus mempunyai hubungan peribadi
dengan TUHAN.
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment