Friday, August 8, 2014

Memilki Iman secara Peribadi: Rut Memilih untuk Tinggal Bersama Naomi


Tiga persoalan apabila saya membaca Kitab Rut di dalam Alkitab Perjanjian Lama: Kenapa seorang perempuan balu yang muda dan cantik memilih untuk tinggal bersama seorang wanita tua? Kenapa dia tetap ingin bersama dengan ibu mentuanya? Kenapa dia tidak mahu mencari suami yang baru? Jarang sekali persoalan seperti ini ditujukan kepada wanita zaman sekarang kerana hal seperti ini agak jarang berlaku. Bagi seorang lelaki, situasi seperti ini langsung tidak masuk akal!

Ceritanya begini... setelah suami dan kedua-dua orang anaknya meninggal dunia, Naomi berkata kepada kedua-dua menantunya, “Pulanglah ke rumah ibu kamu” (Rut 1:8, BM). Sebagai seorang balu yang sudah tua, Naomi sedar bahawa tiada faedahnya untuk mereka terus tinggal bersama dengannya. Mereka lebih baik pulang ke kampung halaman masing-masing dan memulakan kehidupan yang baru. Selepas agenda pujuk-memujuk berlaku, salah seorang daripada menantunya, Orpa, membuat keputusan untuk pergi walaupun hatinya agak berat untuk melakukannya. Tetapi Rut berkeras tidak mahu meninggalkan ibu mentuanya: “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situlah juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga” (Rut 1:16, BM). Hey Rut orang Moab yang berbangsa asing, apa yang kamu sedang fikirkan?!

Kemudian, Naomi dan Rut meneruskan perjalanan balik mereka dari Moab ke Yehuda. Sampai di sana mereka harus menyara kehidupan mereka sendiri. Oleh kerana pada masa itu ialah musim menuai, Rut mengambil inisiatif untuk pergi ke ladang dan memungut barli yang terjatuh setiap hari. Menurut peraturan Hukum Taurat, barang siapa yang terlupa atau menjatuhkan hasil tanaman mereka tidak boleh mengambilnya semula dan mereka harus membiarkan orang miskin mengambilnya (lihat Ulangan 24:19). Dengan ini, pemilik ladang akan mendapat berkat TUHAN dan memberkati orang lain. 

Cuba kamu bayangkan bagaimana perasaan Rut dalam keadaan sebegini. Bapa mentua dan suaminya telah meninggal dunia. Dia tinggal di tempat yang jauh dari tempat asalnya. Dia tinggal bersama ibu mentuanya yang balu. Dia setiap hari mengikut para penuai sambil memungut barli yang jatuh untuk dibawa balik sebagai makanan. Bagi kebanyakkan orang keadaan dan tanggungjawab seperti ini pasti akan menjatuhkan semangat mereka. Tetapi, bagi Rut, dia masih tetap setia bersama dengan ibunya, Naomi. Sungguh setia!

Sebagai balasan, Naomi telah mengatur langkah untuk menolong Rut. Mak mentua beginilah yang kita cari-cari selama ini. Suatu hari, Rut kembali ke rumah penuh sukacita dengan membawa hasil barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram. Dia kemudiannya menceritakan kepada Naomi tentang betapa baik dan murahnya hati Boas (bos ladang barli) kepadanya. Ibu mentuanya kenal siapa itu Boas, lalu dia berikthiar untuk melakukan apa yang terbaik bagi menantunya, iaitu – mencarikan calon suami baru untuk Rut. Maka Naomi memberi tip yang agak pelik (bagi zaman kita sekarang. Baca Rut bab 3) kepada Rut supaya Boas berkahwin dengannya. Di akhir cerita “Boas membawa Rut pulang sebagai isterinya” (Rut 4:13, BM).

Mari kita kembali kepada persoalan saya tadi, kenapa seorang perempuan balu yang muda dan cantik sanggup memilih untuk tinggal bersama dengan ibu mentuanya sedangkan dia boleh mencari calon suami yang baru? Saya tidak memahami Rut, tapi yang pasti ialah kesetiaan, pengorbanan dan keimanannya banyak mendorong saya. Oleh kerana kesetiaannya, dia tidak meninggalkan Naomi seorang balu yang tua keseorangan. Dia sanggup berkorban untuk keluarganya (walaupun kecil) dengan bekerja di ladang setiap hari. Dia boleh berkahwin dengan seorang yang kaya kerana dia masih muda tetapi memilih untuk tidak berbuat begitu kerana keluarga lebih penting daripada kekayaan (tapi akhirnya TUHAN menemukannya dengan seorang lelaki yang kaya, beriman dan mulia. Dia tidak mencari, dia menunggu apa yang terbaik bagi TUHAN untuknya).

Ini yang saya sangat kagum dengan Rut: Apabila dia mengahwini anak Naomi, dia juga ‘berkahwin’ dengan TUHAN Israel yang disembah oleh keluarga barunya. Apabila suaminya meninggal dunia dia tidak sepatutnya terikat dengan agama suaminya, dia boleh meninggalnya tetapi dia tetap setia kepada TUHAN (Rut 1:16). Kenapa? Kerana iman yang dimilikinya sekarang ialah bukan daripada iman keluarganya atau suaminya atau ibu mentuanya tetapi – iman yang dia miliki secara peribadi dengan TUHAN Israel! Dia mampu bertahan dengan segala rintangan dan terus menunjukkan kasihnya kepada orang lain kerana dia mengenal TUHAN. Apa pendapat kamu terhadap iman yang dimiliki oleh Rut? Bagaimana dengan kamu? Milik siapakah iman kamu itu?

Untuk mengetahuan kamu: Rut ialah nenek moyang bagi raja Daud (Rut 4:18-22)
Dan merupakan keturunan keluarga Yesus Kristus (Matius 1:5)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]