Saturday, August 16, 2014

(18SX) Yusuf Berlari Apabila diajak melakukan Hubungan Sex: Homoseksual, Gila atau Setia?

Gambar yang mungkin akan mencetus kontroversi...
Dalam Alkitab Perjanjian Lama, kisah tentang Yusuf sangat menarik sekali. Pada permulaan kisahnya, dia sangat dicemburui oleh sepuluh orang abang-abangnya kerana dia selalu mendapat perhatian (yang utama) oleh bapa mereka, Yakub. Bahkan, mereka sangat membenci Yusuf sehinggakan dia dicampak ke dalam perigi dan dijual sebagai hamba dan kemudian berbohong kepada bapa mereka, Yakub, bahawa dia sudah diterkam oleh binatang buas sehingga mati (baca Kitab Kejadian bab 37 ayat 12 hingga 33). Kejam, kan?

Yusuf yang tercedera itu dijual dan dibawa oleh pedagang-pedagang Midian ke Mesir. Di sana dia dibeli oleh seorang pengawai raja yang menjadi ketua pengawal istana yang bernama Potifar. Bagaikan sebuah cerita dongeng kanak-kanak (tetapi yang ini benar-benar berlaku dalam sejarah), kisah hidup Yusuf menjadi semakin menarik. “TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya. Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia menjadi pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk menguruskan rumah tangganya dan segala kepunyaannya” (Kejadian 39:2-4, BM). Potifar sangat kagum dengan kebolehan Yusuf sehinggakan “segala sesuatu yang dimiliki oleh Potifar dipercayakannya kepada Yusuf” (39:6). Wow!

Nota: Kisah ini terlalu menarik dan banyak ‘kebetulan’ sehinggakan saya berfikir jika ini tidak ditulis di dalam Firman Allah dan mempercayai bahawa TUHAN seringkali melakukan mukjizat dalam kehidupan kita – saya mungkin tidak percaya. Oh TUHAN, Engkau yang sangat baik!

Yusuf dikurniakan sebagai seorang yang “berbadan segak dan kacak” (39:6). Pendek kata – lelaki yang cun! Kelebihan menjadi seorang lelaki yang cun empat ribu tahun dahulu sama seperti sekarang: gadis-gadis pasti terpikat dan sentiasa mendapat perhatian ramai wanita. Dalam kes Yusuf, gadis itu atau wanita itu ialah isteri Potifar (bunyi latarbelakang jeng jeng jeng). Dia “berahi terhadap Yusuf... mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia” (39:7). Apa yang kamu akan lakukan jika kamu berada dalam keadaan Yusuf? Jika kamu mendapat kepercayaan sepenuhnya oleh majikanmu, bukankah ini peluang terbaik? Tidak bagi Yusuf! Dia teguh dengan pendiriannya dan menjawab,

Maaf, puan, Tuan Potifar sudah mempercayakan segala miliknya kepada saya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Kuasa saya sama besar dengan kuasanya di dalam rumah ini. Tiada sesuatu pun yang tidak dipercayakannya kepada saya kecuali puan. Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Allah?” (Kejadian 39:8-9, BM).

Yusuf menyedari bahawa jika dia meniduri isteri Potifar dia berdosa terhadap TUHAN dan menyalahgunakan kepercayaan tuannya. Walaupun Yusuf menunjukkan bahawa dia seorang yang setia dan sangat berintegriti – isteri Potifar tidak peduli. Isteri Potifar menggoda Yusuf dengan berkata “Marilah kita tidur bersama” (39:12). Yusuf meronta sehingga dapat lepas lalu lari keluar. Marah dan kecewa dengan tindakkan Yusuf, isteri Potifar mereka-reka cerita yang Yusuf ingin merogolnya kepada pelayan-pelayannya dan kemudian kepada suaminya. Oleh itu, Yusuf ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Namun begitu, “TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya” (39:23). [Kisahnya tidak habis disini, baca bab 40 hingga 47 untuk mengetahui kisah Yusuf selanjutnya].

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Dua perkara yang saya belajar melalui kisah ini ialah; Pertama, bak kata Yusuf dalam akhir-akhir kehidupannya, “Kamu sudah bermuafakat untuk melakukan kejahatan kepadaku, tetapi Allah mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan” (Kejadian 50:20). Abang-abangnya menjual dia menjadi hamba di Mesir, Tuhan menjadikan dia “Gabenor seluruh Mesir” (41:43). Iblis ingin mengurung dia di dalam penjara, Tuhan memberikan kebijaksanaan dan membebaskan dia. Dunia mahu dia gagal dan keluarga meninggalkannya, Tuhan menyertai dan membuat dia berjaya dalam semua pekerjaannya. Sebagai umat TUHAN kita jangan mudah kecewa dan putus asa terhadap kejahatan yang dilakukan kepada kita. Ketahuilah bahawa Allah itu baik, Dia akan mengubah kejahatan menjadi kebaikan.

Kedua, dalam percubaan dan penggodaan (terutamanya sebagai seorang lelaki) jangan percaya kepada diri sendiri, tetapi tetap teguh dalam iman danlari ke luar” (39:12). Ramai daripada kita mempunyai iman tetapi kita tidak bertindak sesuai dengan iman itu. Secara rohani, iman itu cukup untuk menghindari kita daripada berbuat dosa. Tetapi secara praktikal, jika kita tidak lari daripada cubaan dosa kita akan mudah jatuh walaupun pada mulanya kita mempunyai iman yang kuat. Yusuf merupakan seorang yang jujur, setia, beriman dan menyembah TUHAN yang benar tetapi dalam pencubaan – dia lari ke luar. Begini, apabila kita lari dari percubaan dosa kerana iman dan kesetiaan kita kepada TUHAN, pada masa yang sama, iblis juga akan lari daripada kita. Inilah yang dimaksudkan dalam Kitab Yakobus 4:7: “Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah iblis, maka iblis akan lari daripada kamu.Bagaimana melawan iblis?Jangan percaya kepada diri sendiri tetapi lari kepada TUHAN! Seperti Yusuf, kita harus setia kepada Allah!


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]