Wednesday, August 20, 2014

Allah Mengejutkan Petrus: Yang Haram menjadi Halal!


Pada mulanya, gereja terdiri daripada orang-orang Yahudi yang merupakan pengikut-pengikut Kristus yang pertama. Kebanyakkan mereka berfikir bahawa gereja sepatutnya hanya untuk orang-orang Yahudi dan bukan untuk bangsa lain. Mereka beranggapan bahawa TUHAN hanya berkenan dengan bangsa Yahudi sahaja. Tetapi pemikiran ekskusif mereka itu akan dicabar oleh TUHAN dan Dia akan menggunakan Rasul Petrus untuk mencapai matlamat itu. Seperti sekarang, ramai orang beranggapan bahawa Kristianiti adalah agenda orang Yahudi – tidak! – Kristianiti ialah agenda TUHAN. Bukti? Sila rujuk cerita Firman Allah ini.

Ada seorang kapten pasukan tentera Roma yang bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Kornelius bukanlah seperti kebanyakkan tentera Roma yang menyembah berhala, dia berbeza daripada yang lain. “Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah” (Kisah Rasul-Rasul 10:2, BM). Oleh itu, TUHAN sangat berkenan dengan Kornelius dan pada suatu hari malaikat datang dan memanggil dia.

Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan. Kemudian malaikat itu berkata, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai” (10:4-6). Setelah mendengar kata-kata itu, Kornelius tidak membuang masa lalu memanggil dua orang hambanya untuk mencari Petrus dengan segera.

Pada masa yang sama, di Yope, TUHAN melakukan sesuatu yang mengejutkan bagi Petrus. Semasa Petrus berdoa seperti biasa di atas bumbung rumah (yang rata dan lapang), pada waktu tengah hari dia mendapat suatu pengelihatan. Dia melihat pelbagai binatang yang dianggap sebagai haram dan najis mengikut Hukum Taurat turun dari langit. Lalu suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!” Lalu Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis” (10:13-14). Orang Yahudi tidak makan makanan yang dianggap haram dan najis seperti babi, unta, landak batu, arnab, burung-burung liar, dan sebagainya. Tetapi suara itu berkata sesuatu yang sangat mengejutkan Petrus: “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah” (10:15).

Pada masa itu juga, hamba-hamba Kornelius datang ke tempat Petrus tinggal dan meminta untuk berjumpa dengannya. Sedang Petrus masih lagi berusaha memikirkan makna pengelihatan itu, Roh Kudus menyuruhnya untuk tidak ragu-ragu mengikut mereka balik ke rumah Kornelius. Beberapa orang pengikut Yesus yang lain juga mengikut Petrus ke sana.

Memasuki rumah Kornelius, seorang berbangsa asing, amatlah sangat tidak biasa bagi Petrus yang merupakan seorang Yahudi kerana mereka “dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi.” “Tetapi,” kata Petrus, “Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram” (10:28). Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karibnya datang untuk menjemput Petrus. Mereka sangat didorong oleh cerita yang berlaku kepada Kornelius dan Petrus. Petrus akhirnya mengetahui makna pengelihatan itu. Dia berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya” (10:34-35).

Kemudian, Petrus pun melakukan sesuatu yang dia tidak pernah dibayangkannya sebelum ini – dia mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus Kristus kepada bangsa lain!Semasa Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu” (10:44). Melihat kejadian itu, Petrus pun “menyuruh mereka [Kornelius dan setiap orang di rumah itu] dibaptis demi nama Yesus Kristus” (10:48). Bayangkan betapa sukacitanya mereka semua pada masa itu. Orang bukan Yahudi sekarang merupakan sebahagian daripada keluarga TUHAN! Yahooo!!!

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Pertama, Kristianiti bukanlah agenda atau milik orang Yahudi (atau pengaruh Barat); Kristianiti ialah agenda TUHAN dari permulaan sehingga akhirnya. Jangan mudah percaya kepada guru-guru agama yang berlagak pandai tanpa menyiasat perkara sebenar melalui sumber yang sahih iaitu, Firman Allah – Alkitab dan juga bukti-bukti sejarah. Kedua, TUHAN tahu siapa yang benar-benar ingin mengenali-Nya. Dia pasti akan melakukan sesuatu supaya setiap orang yang ikhlas dan jujur akan mengetahui kebenaran-Nya melalui iman kepada Yesus Kristus. Ketiga, bagi orang Kristian, tiada apa yang “sudah dinyatakan halal oleh Allah” ialah najis atau haram bagi kita. TUHAN yang membuat Hukum Taurat, maka Dia layak untuk membuat sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya. Oleh itu, segala tradisi dan larangan yang dinyatakan di dalam Perjanjian Lama yang membezakan Umat-Nya dengan yang lain tidak lagi menjadi cara hidup kita kerana di dalam Yesus Kristus kita bebas daripada ikatan perintah Hukum Taurat. Kasih dan perbuatan Kristus ialah carahidup kita sekarang! [Nota: Harus diingat bahawa "halal" disini bukan khusus dari segi makanan (walaupun ini merupakan berita baik bagi saya yang suka makan babi panggang!) tetapi dari segi penerimaan Allah].

Keempat, “tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya” (Roma 10:12, BM). Kini semua bangsa di dunia – bangsa Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Amerika, Palestin, Israel, dan sebagainya – boleh datang kepada Allah yang benar kerana jika kita “mengaku di hadapan orang bahawa ‘Yesus itu Tuhan’ dan sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan” (Roma 10:9). Jadi, Kornelius, orang bukan Yahudi, dan seluruh keluarganya diselamatkan oleh Allah melalui kasih kurnia-Nya. Bagaimana dengan kamu?

Mahukah kamu seperti Rasul Petrus digunakan oleh TUHAN
untuk memberitakan Berita Baik kepada ‘Kornelius’ disekeliling kamu?
Roh Kudus menyertai kamu. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]