[Kuala Lumpur, Metro Hotel, 1hb March 2015, 2.00 pagi]
Di bandar Kuching mahupun di Kuala Lumpur ada jurang
diantara gereja dan komuniti. Saya
suka berjalan disekitar bandar-bandar yang saya pergi. Di bandar Miri,
contohnya, saya mendapati bahawa banyak gereja-gereja didirikan atau
ditempatkan berdekatan antara satu sama lain. Semasa saya menginap di rumah
sewa kawan saya, saya memandu disekeliling kawasan berdekatan dan mendapati
bahawa hanya dalam 10 minit memandu, saya menjumpai lima buah gereja – tiga
buah gereja denominasi yang sama dan empat daripada lima adalah gereja yang
menggunakan bahasa penghubung yang sama. Di Kuching, gereja juga banyak,
sehinggakan jika kita ingin melawat satu gereja setiap minggu perlu mengambil
masa 35 minggu atau 8 ke 9 bulan berturut-turut.
Petang semalam saya sampai
ke bandar Kuala Lumpur dan mendapati juga disini ada banyak gereja. Kemudian,
saya memerhati keadaan sekeliling. Kawasan yang sama dimana sebuah gereja
didirikan menjelang malam menjadi kawasan tempat penagihan dadah, minum arak
dan mungkin juga (jika pemerhatian saya benar) menjadi tempat dimana
pelacur-pelacur ditawarkan dan pengedaran dadah berlaku. “Adalah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk ‘berniaga’ di kawasan ini,”
kata seorang pakcik kepada saya. Pada siang hari, di sini ada ramai orang
miskin, orang buta, orang bangsa asing, anak-anak muda dan kanak-kanak. Saya
berfikir, orang-orang yang memerlukan Kristus tidak jauh dari kawasan gereja.
Mereka mungkin menanti orang Kristian yang sanggup menerima mereka dan berkata
kepada mereka bahawa mereka layak untuk datang ke gereja – datang kepada-Nya.
Saya menulis ini bukan
untuk menghakimi – saya hanya ingin
membuka mata kita. Tidakkah sedih apabila ketua mengedar dadah tahu nama
setiap anak muda yang berada di kawasan gereja lebih daripada pastor yang
melayani di gereja? Adakah kamu hairan apabila guru sekolah minggu berpuas hati
dengan pelayanan kanak-kanak di gereja dan tidak langsung peduli dengan
kanak-kanak yang tidak tahu membaca dan menulis di sekitar kawasan itu? Mereka
yang menyesatkan orang selalu mencari dan melayani sesiapa saja yang datang
kepada mereka, tetapi umat Kristian dan pintu-pintu gereja hanya dibuka pada
hari minggu. Gereja mahukan orang yang kemas dan bersih, tetapi mereka yang
menyesatkan orang menerima mereka seadanya.
Saya sudah bekerja hampir
4 tahun dalam pelayanan pelajar Kristian. Para pelajar dan anak-anak muda
sebenarnya sangat bersemangat untuk melayani komuniti. Kebanyakkan mereka ingin
membawa Kristus dan gereja untuk menjangkau komuniti disekeliling mereka.
Mereka rindu untuk menjadi tangan dan kaki bagi Kristus untuk mengkhabarkan
Berita Baik. Ada diantara mereka sanggup berpindah ke tempat dimana mereka
boleh melayani dan mengenal komuniti. Ada juga yang mengorbankan hujung minggu
menjadi guru and mentor di sekolah minggu di rumah-rumah panjang. Mereka
sanggup asalkan gereja memberi dorongan dan galakkan, bantuan dan pengelibatan,
menjadi contoh dan juga peduli dengan komuniti disekeliling mereka.
Kenapa aktiviti menjangkau komuniti ini jarang berlaku
di bandar Kuching, Miri, Kuala Lumpur dan di Malaysia keseluruhannya? Kerena gereja sibuk menyolek dinding bangunan, tidak
mahu mengotorkan tangan, menggemukkan diri dengan makan berlebih-lebihan, sibuk
mengekalkan umat yang ada, meminta tetapi tidak memberi, ingin menjadi artis
dan selebriti tetapi tidak memiliki hati hamba, mendirikan Rumah TUHAN seperti
sebuah syarikat, mementingkan kerohanian luaran sehingga melupakan panggilan
Kristus ke dunia, dan terlalu asyik mempertahankan iman – iman tanpa perbuatan
dan tidak dikongsikan. Jika ini ialah
idea ‘gereja’ bagi anak-anak muda sekarang, maka tidak hairanlah aktiviti atau
pelayanan menjangkau komuniti jarang berlaku disekeliling kita. Sanggupkah
kita membawa seorang pengemis yang kotor dan berbau ke gereja kita? Sanggupkah
kita mengurangkan belanjawan gereja untuk membantu orang miskin, mendirikan
sekolah, melawat ibu tunggal dan menjenguk banduan di penjara?
Mari kita kembali ke
gereja dan komuniti. Saya percaya (dan sedih) bahawa anak-anak muda sekarang
mula melihat gereja sebagai satu kelab eklusif yang tidak lagi peduli dengan
orang-orang miskin dan orang-orang yang memerlukan di sekeliling mereka. Di
mana integriti kita sebagai umat Kristian? Bukankah kita seringkali mendengar
khutbah dan kesaksian tentang memberkati orang lain? Tidak pernahkah kita
merenung Firman Allah untuk mengasihi sesama kita? Anak-anak muda tidak akan
merujuk dan meminta bantuan dari ibubapa, para pemimpin gereja dan guru-guru
sekiranya kata-kata dan kepercayaan kita tidak sama dengan carahidup dan iman
yang kita pegang. Mereka akan pergi ke tempat lain, tempat dimana kerinduan dan
beban mereka akan didengar. Jika ini berlaku, jangan salahkan mereka.
Gereja (ini termasuk saya
juga kerana kita adalah satu tubuh dalam Kristus) harus peduli dengan komuniti
disekeliling kita. Untuk menjangkau
anak-anak muda kita harus menjangkau komuniti kita, kerana melalui cara ini
anak-anak muda boleh terlibat dan mereka secara langsung tidak lagi menjadi boneka
tetapi mereka juga turut serta dalam pelayanan gereja. Bukan mereka saja,
tetapi semua umat akan didorong dan dibangunkan. Komuniti disekeliling juga
diberkati. Bukankah ini idea gereja yang sebenar? Iman tanpa perbuatan,
mati. Kebenaran tanpa kasih, beban. Berita Baik tanpa kesaksian, sia-sia.
Gereja tanpa impak kepada komuniti adalah – hipokrit. Lebih baik tiada gereja
daripada menghina Yesus Kristus dan nama-Nya dihadapan orang ramai.
Ini cadangan saya:
Ambil satu masa dengan para pemimpin dan/atau
rakan-rakan seiman,
Tidak perlu berdoa secara formal, hanya buka mata dan
hati,
Pergi ke luar gereja and lihatlah sekelilingmu.
Apakah beban yang TUHAN telah berikan kepada gereja
kamu?
Kenapa gereja ada disini? Dan kenapa komuniti ini ada disekeliling
kamu?
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.