Tuesday, February 24, 2015

Allah itu Bukan Pendusta (Renungan tentang 1 Yahya 1:10)


Orang yang tidak mahu mengakui dosa mereka, tidak kira samada mereka mengatakan bahawa diri mereka orang Kristian, ialah bukan pengikut Isa yang sebenar. Oleh itu, Rasul Yahya menulis: “Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan Firman-Nya tiada di dalam diri kita” (1 Yahya 1:10, Kitab Suci Zabur dan Injil, KSZI)

Orang yang tidak mahu mengakui dosa mereka mungkin sangat jelas melihat dosa orang lain dan mereka mungkin sangat marah dengan keruntuhan moral dalam masyarakat yang berlaku disekeliling mereka, tetapi mereka cukup ‘buta’ untuk melihat keadaan rohani dan dosa mereka sendiri. Selagi mereka mengatakan dalam hati (mungkin mulut mereka berkata “Saya pendosa”) bahawa mereka “tidak pernah berdosa,” selagi itu mereka tidak mendapat pengampunan dari Allah.

Apa yang lebih teruk dari itu ialah, apabila mereka berkata, “Saya tidak pernah berbuat dosa,” mereka menuduh “Allah itu pendusta.” Kenapa? Kerana Allah itu benar Dia tidak pernah menipu; kerana Allah itu kudus Dia tidak tahan dengan dosa; kerana Allah itu cahaya Dia tidak pernah menyembunyikan kebenaran; dan kebenaran itu ialah – kita semua pendosa. Jika Allah yang Maha Tahu mengatakan bahawa kita berdosa, dan jika kita menyangkal-Nya dengan berkata “kita tidak pernah berdosa” maka kita “menuduh Allah itu pendusta.” Jika ada dua pendapat yang sangat berbeza, maka hanya salah satu adalah benar.

Ramai diantara kita menilai diri sendiri secara luaran. Kita menilai kerohanian kita berdasarkan aktiviti agama yang kita lakukan seperti berapa kerap kita pergi ke gereja, disiplin membaca Alkitab, berdoa dan berpuasa dan melakukan kebaikan. Kita lebih memberi perhatian tentang bagaimana pendapat dan fikiran orang lain terhadap kita tetapi kita jarang tergerak hati untuk mengakui dosa kita dan peduli tentang TUHAN. Saya selalu melihat orang menangis semasa di kem dan kebaktian di gereja (malah di televisyen siaran sudut agama) kerana dosa mereka, tetapi selepas itu kebanyakkan daripada mereka kembali sama saja. Kenapa? Mereka, saya berpendapat, menangis kerana kesan dosa itu terhadap mereka, tetapi bukan kerana menyesal atas dosa yang dilakukan terhadap Allah. Bagi orang kita kelihatan sangat rohani… bagaimana dengan TUHAN?

Semua orang pernah berbuat dosa dan orang Kristian tidak terkecuali dari hal ini. Apa yang membezakan kita dengan agama yang lain ialah kita dibersihkan dari dosa bukan disebabkan oleh kebaikkan atau usaha kita sendiri. Kita dibenarkan dihadapan Allah kerana Putera-Nya, Isa al-Masih telah mati bagi dosa kita. Oleh itu, Rasul Yahya berkata lagi, “Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia” (1 Yahya 2:1-2, KSZI).

Allah itu bukan pendusta,
Akuilah dosa kamu terhadap-Nya dan kepada-Nya,
dan Dia akan mengampuni dan menyucikan kita.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]