Thursday, February 5, 2015

Jangan Menipu Diri Sendiri (Renungan tentang 1 Yahya 1:8-9)


Ada orang yang memanggil diri mereka ‘Kristian’ tidak pernah atau mahu meninggalkan dosa mereka. Mereka terus hidup dalam dosa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kepada orang seperti mereka inilah Rasul Yahya menulis: “Sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak berdosa, ertinya kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada di dalam diri kita” (1 Yahya 1:8, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Alkitab ada mengatakan bahawa: “[Semua] manusia berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Rom 3:23). Dosa, apa itu dosa? tanya mereka. Mereka tidak melihat dan sedar akan dosa mereka. Masalahnya bukan kerana mereka berpendapat bahawa mereka sangat jahat untuk diselamatkan, tetapi kerana mereka menyangka bahawa mereka sangat baik untuk meminta penyelamatan dari Allah. Kebanyakkan mereka mungkin tidak akan masuk penjara sepanjang hidup mereka, tetapi ‘kebaikan’ mereka tidak cukup untuk menjauhkan mereka dari hukum dosa, iaitu neraka.

Saya berfikir, bagaimana seseorang boleh menjadi sangat buta akan dosa dia? Jawapannya ialah, dia tidak pernah melihat realiti diri yang sebenar melalui “cahaya” kekudusan Allah (1 Yahya 1:5-7). Selagi dia tidak datang kepada-Nya, selagi itulah dia tidak dapat melihat kebenaran itu. Orang seperti ini hanya akan dan suka membandingkan diri dengan orang lain yang secara luarannya lebih jahat daripada dirinya. Oleh itu dia berpendapat bahawa dia layak berdiri dihadapan Allah. Menyangka bahawa dirinya sudah menerima keselamatan, padahal dia masih jauh dari kebenaran. Kekudusan Allah tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Tiada seorang pun yang boleh diselamatkan dari dosa kecuali mereka terlebih dahulu sedar bahawa mereka ialah seorang pendosa dan harus diselamatkan. Isa al-Masih mati bagi orang berdosa bukan bagi orang yang menganggap dirinya benar. Hanya “darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa” (1 Yahya 1:7). Mereka yang mengaku bahawa dia seorang yang berdosa terhadap Allah dan menerima Isa al-Masih sebagai Penyelamat akan disucikan-Nya. Rasul Yahya menulis: “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yahya 1:9, KSZI).  

Orang Kristian sebenar yang berjalan dalam cahaya tahu bahawa apabila mereka melakukan dosa mereka akan terus meminta pengampunan dari Allah dan dia akan menyucikan mereka. Sedar bahawa jika kita benar-benar seorang yang percaya kepada Isa al-Masih, kita pasti akan mendapat pengampunan dari-Nya apabila kita mengakui dosa kita. Apabila kita “hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih” (1:4), ini tidak bermaksud kita akan menjadi seorang yang sempurna dan tidak akan jatuh dalam kegelapan sepanjang hidup kita. Tetapi, kita akan lebih cepat untuk mengakui dosa kita dan cepat bertindak apabila kita berada dalam pencubaan dan bangun semula melalui pertolongan Roh Kudus yang ada di dalam hidup kita. Oleh itu, orang Kristian walauapapun keadaan mereka, mereka tetap bersukacita kerana melalui Isa mereka benar dihadapan Allah.

Terima kasih Isa al-Masih. Amin.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]