“TUHAN berfiman kepada Yoshua, ‘Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu’” (Yoshua 6:2).
Melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali adalah sesuatu perkara yang sangat membosankan. Ada sesetengah orang suka, tetapi bagi saya tidak sama sekali. Ia membuatkan saya kelihatan sangat bodoh! Sekarang saya cuba membayangkan bahawa ada orang yang sangat berpengaruh dan berkuasa menyuruh saya untuk berjalan mengelilingi sebuah kota satu kali sehari selama enam atau tujuh hari – dan dia berjanji akan memberikan saya kota itu sebagai ganjaran. Apakah saya akan melakukannya? Pastinya, tidak! 1) Sebab saya tidak percaya bahawa janji ini akan ditepati, dan 2) Sebab saya akan kelihatan sangat bodoh dan seperti orang gila. Tidak!
Tetapi yang sangat menghairankan saya ialah ada sekumpulan orang yang sanggup melakukannya:- Yoshua dan umat Israel.
Untuk umat Israel menakluki tanah Kanaan, Tanah Perjanjian, Allah telah memerintah Yoshua untuk pergi menyerang kota Yerikho dan Dia berjanji untuk memberikannya kepada mereka. Pada masa itu, kota Yerikho adalah kota yang kukuh dengan tembok-tembok yang sangat tebal. Sejarah dunia mengatakan bahawa (kalau kamu menonton National Geography) kota ini ialah antara kota yang mempunyai tembok yang sangat kukuh dan susah untuk ditembusi. Namun begitu, sejarah Al-Kitab pula mengatakan bahawa Tuhan Allah Israel ialah Tuhan yang dahsyat berkuasa dan digeruni oleh bangsa-bangsa asing! Oleh kerana itu, samada tembok itu kukuh sekukuh besi sekalipun, penduduk-penduduk Yerikho tetap takut akan Allah Israel. “Pintu-pintu gerbang kota Yerikho dikawal dan ditutup supaya umat Israel tidak dapat masuk. Tiada seorang pun dapat masuk ataupun keluar dari kota itu” (Yoshua 6:1). Mereka tahu bahawa umat Israel sudah menghampiri kota Yerikho (sila baca Yoshua bab 2).
Yoshua, ketua umat Israel (selepas Musa mati), telah diberikan strategi untuk berperang oleh Panglima Tentera Tuhan. Allah berfirman, “Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari. Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet” (Yoshua 6:3-4). Inilah apa yang saya maksudkan di pendahuluan refleksi saya tadi... arahan... strategi yang langsung tidak masuk akal... saya tidak mungkin mahu melakukannya. Oh tidak.
[Iklan] Beritahu muda-mudi zaman sekarang, tahun 2013, tentang strategi ini, pasti banyak jiwa yang akan kecewa. Arahan dan strategi ini langsung tidak mungkin dapat meningkatkan inspirasi dan keyakinan diri. Sorakkan “Bersama-Yesus-dahsyat-luar biasa-yes!-yes!-yes!” tidak akan menjadi popular.
[Kembali semula] Namun begitu, disebalik Firman-Nya ini, Tuhan Allah mahukan umat Israel supaya tidak bersandar kepada kekuatan dan keyakinan diri mereka sendiri. Dia mahukan supaya mereka berpegang kepada kekuatan-Nya dan meletakkan iman mereka kepada-Nya. Yoshua dan seluruh umat Israel bertindak untuk terus taat kepada perintah dan strategi Allah sehingga akhir. Tiada pilihan lain bagi mereka.
Sekarang, cuba kamu bayangkan bagaimana reaksi orang Yerikho apabila mereka melihat Yoshua, imam-imam, dan askar-askar Israel pergi berarak mengeliling kota mereka selama 6 hari... Mungkin apa yang terucap di bibir mereka ialah; “Lihat apa orang-orang bodoh itu lakukan”; “Sekumpulan manusia pelik”; “Inikah umat Israel yang diura-urakan selama ini? Bukankah mereka kuat dan berani? Ini sungguh aneh” Senyum. Ketawa. Memperbodohkan umat Israel.
Hari pertama, berarak. Hari kedua, berarak. Hari ketiga, berarak... empat, lima... hari keenam, berarak. Hari ketujuh, hari terakhir mereka berarak mengelilingi kota itu, mereka melakukannya sebanyak tujuh kali. Selepas itu, “imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya” (Yoshua 6:20). Kota Yerikho sekarang menjadi milik umat Israel! Kemenangan ini berlaku kerana Yoshua dan umat Israel memilih untuk melakukannya dengan cara Tuhan Allah – dan kerana janji Allah kepada mereka.
Secara ringkas, apa yang saya belajar daripada cerita ini? Satu perkara utama yang saya dapat ialah – belajar untuk mentaati Firman Allah. Oleh kerana Tuhan Allah mengetahui segalanya dalam hidup dan masa depan saya, saya tidak ada tempat lain selain daripada terus bergantung harap kepada-Nya. Firman-Nya sentiasa benar dan tidak ada cacat cela. Walaupun kadang-kadang apa yang difirmankan-Nya kedengaran sangat anek atau tidak masuk akal atau sukar untuk dilakukan, kita harus sentiasa taat untuk melakukannya. Terus percaya bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Lakukannya bukan dengan kekuatan kita sendiri, tetapi dengan kekuatan-Nya. Mereka yang taat kepada-Nya akan diberikan-Nya berkat, sukacita dan ketenangan jiwa. Kasih yang dikurniakan oleh-Nya kepada kita akan mendorong kita untuk terus mempercayai-Nya.
Tuhan Yesus berkata,
“Jika kamu mengasihi Aku,
kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15).THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Tuhan Yesus berkata,
“Jika kamu mengasihi Aku,
kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15).THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.