Tuesday, February 12, 2013

Perkataan yang Diucap dari Mulutmu

Kata-kata bijak lebih berharga daripada emas atau batu permata” (Amsal 20:15).

Untuk mempunyai hubungan yang baik dengan seseorang, kita bukan sahaja perlu menguatkan jalinan persahabatan malah kita perlu berhati-hati untuk tidak melukai hati seseorang dengan sengaja. Salah satu perkara yang harus kita elak ialah mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada orang lain dengan sengaja. Kita harus menjaga setiap perkataan yang datang dari mulut kita. Saya seringkali bersalah dalam hal ini. Oleh itu, saya selalu mengingatkan diri saya dan berdoa tentang Firman Allah dalam Mazmur 141:3, “Ya TUHAN, kawallah mulutku, dan jagalah bibirku”.

Berapa banyak hubungan suami isteri atau hubungan persahabatan yang kamu tahu yang telah hancur disebabkan oleh perkataan-perkataan yang tidak baik diucapkan oleh seseorang apabila sedang marah dan tidak boleh mengawal diri? Berapa banyak hubungan yang telah musnah kerana mulut yang suka mengumpat atau suka berkata sesuatu tanpa berfikir dahulu atau suka mengkritik orang lain? Perkataan yang kasar yang diucap tanpa kasih Kristus tidak boleh ditarik balik; tiada maaf, walau seikhlas manapun penyesalan itu, dapat menyembuhkan kelukaan yang dilakukan dengan sepenuhnya.

Rasul Yakobus pernah menulis: “Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka” (3:6). Inilah kebenaran yang agak menakutkan jika kita menggunakan perkataan yang keluar dari lidah kita (atau ‘mulut’ atau ‘bibir’ – sama sahaja) dengan sambil lewa. Menakutkan... tetapi inilah kebenarannya.

Namun begitu, perkataan yang keluar dari mulut kita boleh juga digunakan untuk perkara yang baik – dan inilah matlamat bagi setiap diri kita, terutamanya bagi orang Kristian! Seperti api dengan banyak kebaikannya, ‘mulut’ kita juga boleh digunakan untuk kebaikan. Kadang-kadang tidak mengatakan apa-apa, senyap, adalah perkara yang baik sekali kita lakukan (seperti Yesus “tidak menjawab sepatah pun” (Matius 27:14) apabila ditanya oleh Pilatus); lebih-lebih lagi perkataan yang akan diucapkan tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan akan mengeruhkan lagi keadaan. Kadang-kadang juga, Tuhan Allah mungkin menyuruh kita untuk menegur seseorang atau mendorong seseorang melalui kasih Kristus dengan matlamat untuk membantu mereka bertumbuh dalam iman kepada-Nya.

Kawan-kawan, gunakanlah ‘mulut’mu untuk kebaikan. Ini ialah matlamat kita orang yang percaya kepada Yesus Kristus. Allah berFirman, “Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya” (Efesus 4:29). Adakah ini matlamat kamu dalam setiap perkataan yang diucap dari mulutmu?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]