Friday, February 15, 2013

Refleksi Saya tentang Yoshua 2: "Rahab, Seorang Perempuan Pelacur, telah diselamatkan oleh Tuhan Allah"


Dua soalan yang seringkali bermain di dalam pemikiran saya apabila saya membaca Kitab Yoshua bab 2 ialah: mengapa dua orang pengintip yang dihantar oleh Yoshua pergi menginap di rumah seorang pelacur? Bagaimana dengan misi mereka untuk mengintip kota Yerikho?

Apabila saya berdoa tentang hal ini, membaca komentar-komentar tentang Kitab Yoshua dan berfikir lebih dalam lagi, saya mendapati bahawa hal ini tidaklah begitu pelik. Al-Kitab tidak menerangkan kepada kita dengan terperinci kenapa mereka berbuat begitu, tetapi yang kita tahu ialah pengintip-pengintip ini mempunyai misi yang lebih penting daripada tidur bersama dengan pelacur. Yoshua telah memberikan mereka tugas yang paling penting dan mereka hampir-hampir tertangkap jika tidak kerana pertolongan yang diberikan oleh seorang perempuan pelacur yang bernama Rahab.

Banyak pengembara-pengembara yang masuk ke kota Yerikho akan datang singgah ke rumah Rahab (ada komentar berpendapat bahawa Rahab ialah pemilik kepada rumah penginap itu. Jadi istilah ‘rumah Rahab’ adalah yang paling mungkin sekali). Jika ini ialah sebabnya mengapa pengintip-pengintip itu sengaja pergi ke rumah Rahab untuk menginap, jadi, strategi mereka adalah sangat berkesan sekali; 1) Banyak infomasi-infomasi boleh diperolehi di tempat sebegini, 2) identiti-identiti sebenar mereka dapat dirahsiakan kerana tempat sebegini tidaklah sangat mencurigakan, dan 3) rumah Rahab sangat dekat dengan tembok kota dan ini dapat menyenangkan mereka melarikan diri apabila dicari nanti.

Namun begitu, walau betapa baik pun strategi mereka, kehadiran mereka akhirnya diketahui oleh Raja Yerikho dengan cepat. Apa yang mereka sangka ‘masalah’ pada masa itu bukanlah masalah bagi Tuhan Allah. Dia terlebih dahulu telah menyediakan jalan bagi mereka untuk melarikan diri dengan menjumpakan mereka dengan Rahab. Rahab telah merahsiakan kedatangan mereka daripada orang-orang suruhan Raja Yerikho, menyembunyikan mereka di atas bumbung rumahnya yang rata, dan membantu mereka untuk melarikan diri dari kota (Yoshua 2:4-6, 22). Kenyataan bahawa Tuhan Allah telah melibatkan Rahab, seorang pelacur, dalam misi orang Israel untuk menawan Kota Yerikho adalah suatu perkara yang indah dan diluar pemikiran manusia (jika saya ialah “tuhan”, saya tidak mungkin memilik Rahab – tetapi syukurlah, berjuta-juta kali syukur, kerana saya bukan “Tuhan”, Dia ialah Tuhan. Ini ialah kasih-karunia-Nya).

Apa yang telah berlaku kepada Rahab? Kenapa dia membantu orang Israel menawan kotanya sendiri? Apa yang berlaku? Mungkin dia menyedari bahawa ada sesuatu yang lebih bermakna lagi dalam hidupnya daripada terus menjadi seorang pelacur atau terus memilih untuk menjalankan perniagaan yang berdosa ini. Mungkin dia menyedari bahawa ada Tuhan Allah yang Benar di luar sana. Dan dengan itu, mungkin dia terpegun apabila mendengar kisah tentang orang Israel yang telah bebas daripada perhambaan orang Mesir. Tentang laut terbelah dua. Tentang mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan Allah kepada orang Israel dan bencana-bencana yang telah berlaku kepada musuh-musuh Allah Israel. Dia mungkin telah mendengar tentang kehebatan dan kedahyatan Tuhan melalui cerita pengembara-pengembara yang datang singgah ke rumahnya. Walau apapun, Tuhan Allah telah melembutkan hatinya sebelum dia berjumpa dengan pengintip-pengintip yang dihantar oleh Yoshua pada masa itu. Dia telah meletakkan imannya kepada Tuhan yang dia belum pernah jumpa (tetapi selalu mendengar tentang perbuatan-Nya) dengan berkata:

Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu. Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik sahaja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi” (Yoshua 2:9-11).

Jatuhnya Kota Yerikho
(Yoshua 6)
Pada masa itu, dia telah membuat pilihan untuk mengikut dan menjadi umat Tuhan Allah orang Israel. Apa yang berlaku seterusnya, dia tidak tahu. Apa yang dia tahu ialah kota Yerikho akan diserang oleh orang Israel dan dia telah membuat tindakkan yang bijak dengan meminta supaya keluarganya diselamatkan. Tidak lama kemudian, Kota Yerikho telah diserang dan ditawan oleh orang Israel dibawah pimpinan Yoshua. Yoshua telah mengotakan janjinya untuk tidak akan mencederakan keluarga Rahab dengan menyuruh pengintip-pengintip yang dahulu untuk membawa mereka keluar daripada kota itu ke tempat yang selamat berhampiran dengan perkhemahan Israel (Joshua 6:22-23). Kesimpulan tentang hal ini telah dinyatakan di dalam Buku Ibrani 11:31, “Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah”.

Bagaimana Rahab tahu bahawa pengintip-pengintip itu datangnya dari Tuhan Allah sendiri? Jawapannya hanya satu, yang paling tepat sekali – Tuhan telah “membangkitkan hatinya” untuk mencari-Nya dan Rahab mencari Tuhan Allah yang benar dengan sepenuh hatinya. Allah telah memperlihatkan diri-Nya kepada Rahab melalui cerita-cerita tentang-Nya; dan Rahab memberi respon yang haus akan Kebenaran-Nya. Dia haus akan-Nya; Tuhan memperlihatkan diri-Nya – Ini ialah kasih-kurnia Tuhan Allah.

Adakah kamu seperti Rahab, “seorang perempuan pelacur”, yang bererti bahawa kamu ialah orang yang dipandang rendah oleh masyarakat, orang yang melakukan perkara yang tidak berkenan dihadapan Tuhan, orang berdosa? Mahukah kamu melakukan perkara yang sama sepertinya – haus akan Kebenaran, menyesali dosa, takut akan murka Allah, dan mencari Tuhan Allah yang benar? Sekarang juga Allah ingin menyelamatkan kamu dari “kota Dosa” itu, Dia telah berFirman: “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada [Yesus Kristus] tidak akan binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16).

“Rahab”, apakah tindakkan kamu?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.




Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]