Dari zaman persekolahan saya dahulu sehingga sekarang, satu fakta yang sangat mengagumkan bagi saya ialah: ilmu pengetahuan di dunia ini semakin lama semakin bertambah. Dengan adanya teknologi seperti internet kita dapat mengetahui pelbagai perkara dengan mudah dan senang. Melalui komputer kita dapat menghantar dan menerima maklumat dalam beberapa saat ke seluruh dunia. Banyak maklumat yang sudah dikumpul dan banyak fakta-fakta sudah ditemui pada abad ini yang jauh lebih mendahului abad-abad sebelumnya (Saya berfikir, jika Albert Einstein dilahirkan pada tahun 2000, mungkin idea-idea dia kita lihat sebagai biasa-biasa saja).
Namun begitu, peningkatkan ilmu pengetahuan tidak bererti kehidupan manusia menjadi semakin senang. Jauh daripada itu, rata-rata kehidupan kita sekarang menjadi semakin rumit dan penuh dengan masalah. Ilmu pengetahuan yang banyak ini tidak dapat menyelesaikan masalah asas yang dialami manusia seperti masalah hubungan sesama kita; rusuhan perkauman, peperangan, kemiskinan, pergolakkan politik dan kepimpinan, alam sekitar dan sebagainya. Kenapa ini berlaku? Kenapa dengan banyaknya ilmu pengetahuan yang kita ada sekarang tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah yang asas ini?
Kita memerlukan kebijaksanaan. Ilmu pengetahuan tanpa kebijaksanaan tidak berguna; dan kebijaksanaan tanpa Tuhan Allah adalah kebijaksanaan dunia. Mazmur 111:10 ada tertulis, “Barangsiapa ingin menjadi bijaksana harus menghormati TUHAN” (BIS). Segala masalah yang belaku kepada manusia keseluruhannya adalah kerana kita menggunakan “kebijaksanaan dunia” untuk melakukan sesuatu perkara dan bukannya dengan menggunakan “kebijaksanaan yang datang dari Allah”. Kita tidak memiliki kebijaksanaan kerana kita tidak menghormati Tuhan seadanya. Kita tidak menghormati-Nya dengan tidak melakukan apa yang di perintahkan-Nya. Brother Peter Paris pernah berkata kepada saya, “Kebijaksanaan menurut Al-Kitab ialah ketaatan seseorang itu untuk melakukan apa yang diperintah oleh Allah melalui Firman-Nya. Jika kamu tahu banyak perkara tentang Al-Kitab tetapi tidak melakukannya – kamu ialah seorang yang bodoh!” Dan “kebodohan” inilah yang menyebabkan ramai orang termasuk orang Kristian dibelenggu dengan masalah hubungan sesama kita.
Al-Kitab mengatakan bahawa ada 2 jenis kebijaksanaan di dunia ini. Pertama ialah “Kebijaksanaan yang datang dari Allah”. Ia ialah pemberian Tuhan kepada orang yang mengenal-Nya. Mereka akan memiliki “fikiran Kristus” (1 Korintus 2:16) dan berfikir mengikut kehendak Allah dan melihat sesuatu perkara melalui sudut pandangan Kerajaan Allah. Menurut Firman-Nya, “orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik” (Yakobus 3:17).
Yang kedua ialah “kebijasanaan dunia” yang datang dari sudut pandangan yang mementingkan diri sendiri, individualistik, ingin melakukan apa saja demi untuk mencapai kehendak hati dan tidak mahu (atau tidak) langsung melihat kebenaran Tuhan dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Tentang kebijaksanaan ini ,Tuhan berkata, “Aku akan memusnahkan[nya]” (1 Korintus 1:19).
Kawan-kawan, mana satu kebijaksanaan yang ingin kamu pilih?
“Kebijaksanaan yang datang dari Allah” atau ‘Kebijaksanaan Dunia”?
Berdoalah dan minta kebijaksanaan daripada-Nya.
Jadilah pelaku Firman-Nya, maka kamu akan beroleh kebijaksanaan itu. Amen.
“Kebijaksanaan yang datang dari Allah” atau ‘Kebijaksanaan Dunia”?
Berdoalah dan minta kebijaksanaan daripada-Nya.
Jadilah pelaku Firman-Nya, maka kamu akan beroleh kebijaksanaan itu. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment