Banyak perkara yang memerlukan perhatian berlaku disekeliling kita. Persoalannya bukanlah apa yang berlaku (kebanyakkan kita tahu apa yang berlaku di dunia ini melalui TV, radio, internet dan sebagainya) tetapi apakah respon dan tindakkan kita sebagai orang Kristian terhadap apa yang berlaku.
Fakta Penting tentang Taufan Haiyan
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tentang ribut Taufan Haiyan (juga dikenali sebagai ‘Taufan Yolanda’) di Filipina pada awal bulan november 2013 yang sangat dahsyat dalam sejarah Filipina. Kelajuan angin dikatakan bertiup 235 batu sejam. Kekuatan taufan dikategorikan sebagai yang tertinggi; kategori 5. Menurut Ketua Polis Wilayah Leyte, Elmer Soria berkata:
“Kami sudah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan gabenor dan berdasarkan anggaran kerajaan, pada mulanya terdapat 10,000 mangsa terbunuh. Kira-kira 70 hingga 80 peratus rumah dan struktur bangunan di sepanjang jalan musnah akibat taufan.”
Seramai lebih kurang 12.9 juta orang menjadi mangsa kesan taufan ini (13% daripada penduduk Filipina). 1.9 juta dianggarkan hilang tempat tinggal; 2.5 juta memerlukan makanan secukupnya; hampir 600 ribu orang lagi yang masih tinggal di luar pusat pemindahan sementara. Lebih daripada 280 ribu rumah telah musnah dan rosak teruk. Semua ini mengakibatkan ramai penduduk Filipina kekurangan bekalan air yang bersih, tiada tempat tinggal, memerlukan rawatan dan pencegahan daripada penyakit berjangkit, makanan tidak cukup, kebersihan diri terjejas, kekurangan bekalan keperluan seharian, dan sebagainya.
Fikirkan tentang anak-anak kecil, keluarga yang miskin, mangsa yang kehilangan sanak saudara; Apakah tindakkan kita sebagai orang Kristian terhadap bencana ini? Janganlah kita bersikap tidak sensitif terhadap orang lain dengan mengatakan bahawa taufan ini ialah penghakiman dari TUHAN. Jangan menghakimi orang atau negara lain – biarlah TUHAN sendiri yang melakukan penghakiman itu. Janganlah kita berfikiran tidak ambil tahu, pedulilah tentang orang lain – Bagaimana kalau perkara ini menimpa diri kamu? Janganlah bertindak bodoh di hadapan TUHAN dengan tidak menjadi pelaku Firman-Nya – Bukankah kita mengenal TUHAN Allah yang hidup?
Cadangan Tindakkan PPK (atau CF) terhadap Bencana Ini
Sebagai seorang pekerja sepenuh masa melayani pelajar-pelajar Kristian di kolej dan universiti, saya berpendapat bahawa Persatuan Pelajar Kristian (PPK atau CF, Christian Fellowship) mempunyai potensi yang besar untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada aktiviti-aktiviti kebiasaan (tidak bosankah kamu selalu mengadakan konsert rohani, buat album, sukaneka, makan-makan, malam puji syukur? Kadang-kadang buatlah sesuatu yang boleh dikongsikan dengan orang yang belum mengenal TUHAN).
Dengan memberi pertolongan kepada mangsa Taufan Haiyan, PPK bukan sahaja dapat memberi impak yang positive kepada pelajar Kristian yang lain, malah ia juga memberi mesej bahawa kita tidak syok sendiri tetapi peduli akan keperluan orang lain. Apabila pelajar bukan Kristian “melihat perbuatanmu yang baik” mereka akan “memuliakan Bapamu yang di syurga” (Matius 5:16). PPK seharusnya menjadi “garam” dan “terang” di kolej dan universiti tempat mereka belajar!
Disini ada beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan di dalam aktiviti PPK kamu:
1) Mengutip Pemberian untuk Tabung Taufan Haiyan
Pemberian wang ringgit adalah lebih efektif berbanding dengan pemberian yang lain. Wang lebih mudah untuk dipindahkan berbanding dengan pakaian atau kasut. Wang boleh digunakan untuk membeli keperluan mereka berdasarkan keadaan. Kemudian, salurkan tabung itu ke organisasi-organisasi atau pertubuhan-pertubuhan yang boleh dipercayai seperti:
§ Malaysian Red Crescent (atau Philippine Red Cross)
§ UNICEF
§ Word Food Program (WFP)
§ Tabung Bencana Taufan Haiyan Media Prima (NSTP)
§ atau melalui FES Malaysia (disalurkan terus kepada (IVCF) Inter-Varsity Christian Fellowship Philippines) Hubungi saya jika ingin mengetahui secara lanjut.
2) Berdoa untuk Mangsa Taufan
Gunakan masa pelayanan dan persekutuan doa untuk berdoa bersama bagi negara Filipina khususnya dan mangsa ribut taufan khasnya. Berdoa juga untuk rakan pelajar dari Filipina dan serta keluarga mereka. Lantik seorang untuk menulis perkara doa setiap minggu (mungkin berterusan dalam 2-3 minggu).
3) Memberi Kesedaran tentang Keadaan di Filipina
Menayangkan video atau gambar-gambar yang diambil selepas kejadian. Adalah lebih baik jika PPK dapat mencari video testimoni dari mangsa-mangsa bencana dan/atau menyuruh rakan pelajar yang terbeban dengan kejadian itu untuk bersaksi kepada semua orang untuk memberi cabaran dan galakkan kepada yang lain.
4) Melakukan Kerja Amal dengan Menjual Barang-Barang untuk Menggalakkan Pelajar-pelajar di luar PPK Terlibat Sama dalam Kempen Ini
Jual baju, kuih-muih, cenderahati, buku-buku dan sebagainya sekali seminggu atau semasa pelayanan. Jika ada karnival atau hari sukan atau semasa majlis graduasi atau hari fakulti dan persatuan – gunakan peluang ini sebaiknya!
5) Mengadakan Konsert Rohani Khusus untuk Berdoa dan Mengingati Mangsa Taufan
Jika PPK masih juga mahu mengadakan konsert rohani (atau KKR), apakata kali ini PPK melakukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan seperti mencipta lagu untuk mangsa-mangsa taufan, melakukan sketsa, membaca Alkitab yang berkaitan dengan janji TUHAN kepada orang yang dalam kesusuhan, menyanyi sambil berdoa bersama-sama, dan sebagainya.
Lakukan semuanya untuk kemuliaan Bapa yang disyurga!
TUHAN Bapa, Anak dan Roh Kudus menyertai PPK kamu semua. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.