Thursday, November 7, 2013

Refleksi tentang Kasih Kurnia TUHAN kepada Penduduk Niniwe & Respon Nabi Yunus kepada-Nya

Walaupun Kitab Yunus dalam Perjanjian Lama sangat kecil, ia mengandungi cerita tentang kebesaran TUHAN yang maha penyayang dan berbelas kasihan. TUHAN menyuruh nabi Yunus untuk mengkhabarkan berita tentang-Nya ke Kota Niniwe, ibu kota Kerajaan Asyur (musuh orang Israel). TUHAN berfirman kepadanya,
Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat” (Yunus 1:2, BM).

Mungkin kerana Yunus sangat membenci musuhnya atau mungkin juga dia tahu bahawa TUHAN itu suka mengampuni orang yang berdosa, dia “pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN” (1:3). Namun begitu, TUHAN tidak mengambil nyawanya dan menamatkan misinya. TUHAN menggunakan dia untuk bersaksi tentang kebesaran-Nya kepada para anak kapal (baca 1:3-16) walaupun pada masa itu Yunus memberontak dan berdosa. Akhirnya, Yunus terpaksa akur dan menyelesaikan misinya untuk mengkhabarkan firman TUHAN kepada penduduk kota Niniwe (baca bab 2-3).

Ini respon penduduk Niniwe apabila mendengar perkhabaran TUHAN melalui Yunus:
[Mereka] percaya kepada perkhabaran Allah itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakai kain guni untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka” (Yunus 3:5).

Ini pula respon TUHAN apabila Dia melihat perbuatan mereka:
Dia nampak bahawa mereka tidak lagi berbuat jahat. Oleh itu Dia mengubah fikiran-Nya dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkan-Nya terhadap mereka” (Yunus 3:10).

Walaupun penduduk Niniwe buat masa itu telah terlepas dari murka TUHAN, Yunus pula sedikit sebanyak mengalami murka-Nya – angin kencang melanda kapal yang dinaikinya, dia ditelan oleh seekor ikan besar dan angin panas bertiup ke arahnya. Hal ini tidak mengubah hatinya, malah dia marah kepada TUHAN kerana telah menunjukkan belas kasihan kepada musuhnya. Yunus seakan-akan lebih keras hatinya berbanding dengan penduduk Niniwe. Mungkin semua ini terjadi kepada Yunus untuk menunjukkan kepadanya (dan kepada kita yang membaca Alkitab ini) bahawa: Dalam kita berbuat dosa, TUHAN ingin menunjukkan kasih dan belas kasihan-Nya kepada kita. Dia sedia mengampuni sekiranya kita memberi respon kepada Firman-Nya dan menyelamatkan kita sekiranya kita menyesal atas perbuatan dosa kita. Melalui Yunus, TUHAN telah menunjukkan bahawa Dia sanggup memberi peluang kedua – malah ketiga – untuk kita kembali kepada-Nya.

Dari segi pandangan manusia, hanya segelintir orang sahaja yang boleh menerima pengampunan dan penyelamatan dari TUHAN. Manusia beranggapan bahawa ‘Niniwe’ dan ‘Yunus’ masa kini tidak layak untuk mendapat kasih dan belas kasihan daripada TUHAN. Namun begitu, bagi TUHAN, semua itu tidak benar. Dia ialah “Allah yang penyayang dan pengasih, panjang sabar, lemah lembut, dan selalu bersedia untuk mengubah fikiran sehingga tidak menjatuhkan hukuman” (Yunus 4:2). Semua orang mempunyai peluang untuk menerima kasih kurnia-Nya jika mereka memberi respon kepada-Nya dan bertaubat dari dosa mereka.

Dalam kebanyakkan kitab di Perjanjian Lama, TUHAN seringkali menunjukkan kasih dan belas kasihan-Nya kepada umat-Nya, orang Israel. Tetapi melalui Kitab Yunus, khususnya, TUHAN juga menunjukkan bahawa Dia bukan sahaja TUHAN Allah Israel tetapi Dia ialah TUHAN Allah seluruh semesta. Oleh itu, adakah TUHAN sedia mengampuni saya? Kamu? Mereka? Malaysia? Ya! Dia sedia mengampuni kita semua! Amen.

Sekarang TUHAN telah menyediakan jalan bagi kita, musuh-Nya (oleh sebab dosa kita) untuk mempunyai hubungan dengan Dia semula melalui Yesus Kristus. “Semua nabi [termasuk nabi Yunus] berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan nama-Nya” (Kisah Rasul-Rasul 10:43, BM). Apakah respon kamu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]