Showing posts with label Perbuatan. Show all posts
Showing posts with label Perbuatan. Show all posts

Sunday, February 28, 2021

Mendapat Keselamatan Itu MUSTAHIL bagi Manusia (Matius 19:16-22)

 

Sebelum Berita Baik, ini Berita Buruk yang manusia tidak suka dengar tetapi ia ialah realiti yang sebenarnya: mendapat keselamatan itu MUSTAHIL bagi manusia. Bukan sukar atau susah tetapi MUSTAHIL. Lagu-lagu rohani, kata-kata semangat, motivasi pagi dan pedoman harian Kristian, ini orang suka dengar. Tetapi buat apa ada semua ini kalau belum beroleh keselamatan? Atau dengan erti kata lain, jika menuju kepada kebinasaan?

Manusia sangat tidak suka apabila dikatakan ia MUSTAHIL bagi mereka. Jadi, manusia CUBA mendapatkan keselamatan melalui: 1) Keagamaan; 2) Perbuatan baik; dan 3) Perbenaran sendiri. Seorang pemuda datang kepada Yesus Kristus bertanya, "Apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?" (Matius 19:16) dan "Adakah lagi yang harus kulakukan?" (19:20). Semuanya berdasarkan usaha dia sendiri... MUSTAHIL 
🙅‍♀️ Jadi, kenapa dan bagimana? 📖🙏 #ServeToLead #PreachTheWord #InjilMatius

Untuk mendengar episod ini
👂 KLIK DI SINI, Spotify: http://bit.ly/SpotifyMatius142 

FB Page: https://facebook.com/LEGASI.tv/                
Podcast: https://anchor.fm/LEGASI.tv/            
YouTube: https://www.youtube.com/c/LEGASItv/

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Sunday, December 16, 2018

Angelus' Quote: Ketikaku Bertindak Mukjizat Itu Nyata


Saya paling jarang mendengar lagu-lagu rohani Kristian, bukan genre kegemaran saya, tetapi semasa di gereja saya akan menyanyikannya. Satu lagu yang saya agak suka ialah 'Mukjizat itu Nyata', korus: "Di saatku tak berdaya, kuasa-Mu yang sempurna; ketikaku percaya, mukjizat itu nyata; bukan kar'na kekuatan, namun Roh-Mu ya TUHAN; ketikaku berdoa, mukjizat itu nyata."

Ketika kita percaya, ketika kita berdoa, mukjizat itu nyata. Lagu ini bukan Firman Alkitab tetapi ia sebuah lagu yang Alkitabiah. Oleh itu, saya ingin menambah: mukjizat (juga) nyata atau berlaku apabila kita bertindak. Mukjizat terjadi bila kita meminta. Mukjizat bermula bila kita melangkah. Pertolongan TUHAN itu dekat dan sentiasa ada, tetapi ia hanya akan dikurniakan ketika kita mencari-Nya. Mungkin mukjizat yang Allah beri tidak semestinya akan melepaskan kita daripada masalah tetapi Dia akan memberikan kita kekuatan untuk melaluinya dan jalan keluar daripada masalah itu. Apa yang penting ialah kita harus bertindak. Tidak ada apa-apa yang akan berlaku jika kita hanya berasa kasihan terhadap diri sendiri dan tidak melakukan apa-apa.

TUHAN berkenan bila iman kita radikal dan sanggup mengambil risiko (bertindak). Bila Nabi Nuh membina bahtera, nyawa diselamatkan. Bila Yosua dan para askar berkawat, benteng Yerikho runtuh. Bila Musa mengangkatkan tongkatnya, laut terbelah dua. Bila seorang budak mengongsikan apa yang dia ada, 5,000 orang juga diberkati. Bila seorang wanita menyentuh jubah Yesus, Dia berhenti dan memberi perhatian. "Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu" (Lukas 8:48). Iman wanita itu kepada Yesus hanya dalaman sahaja jika dia tidak bertindak untuk melakukan sesuatu. Apabila dia bertindak untuk menyentuh jubah Yesus, barulah keadaan luarannya pulih. Iman tanpa perbuatan itu sia-sia. Tetapi, iman + perbuatan = mukjizat!

Ramai orang percaya tetapi mukjizat tidak terjadi. Ramai orang berdoa tetapi mukjizat tidak nyata. Setiap pagi Ahad pasti ramai orang percaya dan berdoa untuk mukjizat, tetapi kenapa pada hari Isnin dan hari-hari seterusnya (99%) kehidupan mereka seperti hari-hari biasa? Kenapa? Kerana mukjizat terjadi hanya bila [selepas percaya dan berdoa] kita bertindak! Jadi, adakah kamu mengingini mukjizat terjadi di dalam kehidupan kamu? Soalannya... Apakah tindakan yang akan kamu buat? Ingat, ketika kamu bertindak, mukjizat itu nyata!

Instagram -> Richard_Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, July 26, 2015

Yesus ialah Peribadi yang Hidup, Bukan Suatu Sistem Kepercayaan


Ikutlah Aku” (Matius 9:9).

Salah satu cubaan atau godaan yang paling bahaya bagi kita orang Kristian ialah mengalihkan pandangan kita dari keperibadian Yesus kepada perkara tentang Yesus seperti doktrin-Nya, umat-Nya, gereja-Nya, Firman-Nya atau misi-Nya. Ini ialah godaan yang paling bahaya kerana tidak salah untuk kita mengetahui dan melakukan perkara tentang Yesus. Malah, tanpa kita mengetahui semua perkara ini, kita tidak boleh menjadi pengikut-Nya yang baik dan setia. Semua perkara tentang Yesus adalah mustahak.

Apa yang sebenarnya menyebabkan ia paling bahaya ialah fokus kita (tanpa kita sedari) kepada semua ini – jika tidak diseimbangkan – akan mengakibatkan hubungan kita dengan Yesus secara peribadi akan terjejas. Jika kita terlalu fokus dengan perkara tentang Yesus, seperti ajaran-Nya, kita akan mudah hilang arah hidup sebagai pengikut Kristus, mempelajari Alkitab semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan bagi tujuan akedemi, menjadi guru Alkitab yang mementingkan luaran seperti orang Farisi yang mengajar dan mengikut Hukum Taurat Allah. Atau, jika kita terlampau fokus dengan misi-Nya, ialah boleh menjadi suatu perkara peribadi untuk tujuan peribadi bagi kejayaan peribadi. Kita seperti sangat bersemangat dan berkobar-kobar untuk melakukan kehendak-Nya tanpa ada hubungan peribadi dengan Yesus dan Roh-Nya dalam kita melakukan kehendak-Nya.

Inilah sebabnya Yesus tidak memanggil pengikut-pengikut-Nya, “Ikutlah ajaran-Ku,” atau “Ikutlah teladan-Ku,” atau, “Ikutlah misi-Ku,” atau “Ikutlah pemikiran-Ku.” Setiap kali apabila Yesus memanggil kita, ia melibatkan hubungan peribadi. Yesus berkata, “Ikutlah Aku.”Aku” bukan ajaran-Nya, bukan teladan-Nya, bukan misi-Nya, bukan pemikiran-Nya (walaupun semua ini sangat penting dan sangat Alkitabiah), tetapi – “Ikutlah Aku.” Terlalu kerap kita menjadikan hidup dan iman Kristian kita berpusat kepada apa yang boleh kita lakukan kepada Yesus. Tetapi Yesus tidak mengutamakan semua itu, yang paling utama ialah – hubungan peribadi kita dengan-Nya. Bukan perbuatan. Bukan keagamaan. Bukan perkara tentang Yesus.

Walau betapa penting dan sungguh digalakkan bagi kita untuk mengetahui perkara tentang Yesus (seperti dokrin dan teologi Kristian), kita tidak harus menjadikan semua itu sebagai teras bagi iman kita. Semua perkara tentang Yesus seharusnya datang dari hubungan kita dengan Tuhan Yesus. Yesus bukan suatu sistem kepercayaan. Yesus ialah Peribadi yang hidup. Dia ialah TUHAN. Ini harus menjadi keutamaan kita dahulu. Mengkaji Alkitab tentang Yesus dan melakukannya setiap hari tidak cukup. Hubungan peribadi diantara kita dan Yesus harus terjadi dahulu. Inilah yang paling utama. Oleh sebab itu, Yesus mengurniakan Roh Kudus untuk tinggal bersama kita dan di dalam kita. Sebagai pengikut Kristus pastikan bahawa kamu mempunyai hubungan dengan Yesus Kristus yang hidup. “Ikutlah Yesus.”

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Saturday, February 28, 2015

Jurang diantara Gereja dan Komuniti di Malaysia: Adakah Kita Peduli?


[Kuala Lumpur, Metro Hotel, 1hb March 2015, 2.00 pagi]

Di bandar Kuching mahupun di Kuala Lumpur ada jurang diantara gereja dan komuniti. Saya suka berjalan disekitar bandar-bandar yang saya pergi. Di bandar Miri, contohnya, saya mendapati bahawa banyak gereja-gereja didirikan atau ditempatkan berdekatan antara satu sama lain. Semasa saya menginap di rumah sewa kawan saya, saya memandu disekeliling kawasan berdekatan dan mendapati bahawa hanya dalam 10 minit memandu, saya menjumpai lima buah gereja – tiga buah gereja denominasi yang sama dan empat daripada lima adalah gereja yang menggunakan bahasa penghubung yang sama. Di Kuching, gereja juga banyak, sehinggakan jika kita ingin melawat satu gereja setiap minggu perlu mengambil masa 35 minggu atau 8 ke 9 bulan berturut-turut.

Petang semalam saya sampai ke bandar Kuala Lumpur dan mendapati juga disini ada banyak gereja. Kemudian, saya memerhati keadaan sekeliling. Kawasan yang sama dimana sebuah gereja didirikan menjelang malam menjadi kawasan tempat penagihan dadah, minum arak dan mungkin juga (jika pemerhatian saya benar) menjadi tempat dimana pelacur-pelacur ditawarkan dan pengedaran dadah berlaku. “Adalah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk ‘berniaga’ di kawasan ini,” kata seorang pakcik kepada saya. Pada siang hari, di sini ada ramai orang miskin, orang buta, orang bangsa asing, anak-anak muda dan kanak-kanak. Saya berfikir, orang-orang yang memerlukan Kristus tidak jauh dari kawasan gereja. Mereka mungkin menanti orang Kristian yang sanggup menerima mereka dan berkata kepada mereka bahawa mereka layak untuk datang ke gereja – datang kepada-Nya.

Saya menulis ini bukan untuk menghakimi – saya hanya ingin membuka mata kita. Tidakkah sedih apabila ketua mengedar dadah tahu nama setiap anak muda yang berada di kawasan gereja lebih daripada pastor yang melayani di gereja? Adakah kamu hairan apabila guru sekolah minggu berpuas hati dengan pelayanan kanak-kanak di gereja dan tidak langsung peduli dengan kanak-kanak yang tidak tahu membaca dan menulis di sekitar kawasan itu? Mereka yang menyesatkan orang selalu mencari dan melayani sesiapa saja yang datang kepada mereka, tetapi umat Kristian dan pintu-pintu gereja hanya dibuka pada hari minggu. Gereja mahukan orang yang kemas dan bersih, tetapi mereka yang menyesatkan orang menerima mereka seadanya.

Saya sudah bekerja hampir 4 tahun dalam pelayanan pelajar Kristian. Para pelajar dan anak-anak muda sebenarnya sangat bersemangat untuk melayani komuniti. Kebanyakkan mereka ingin membawa Kristus dan gereja untuk menjangkau komuniti disekeliling mereka. Mereka rindu untuk menjadi tangan dan kaki bagi Kristus untuk mengkhabarkan Berita Baik. Ada diantara mereka sanggup berpindah ke tempat dimana mereka boleh melayani dan mengenal komuniti. Ada juga yang mengorbankan hujung minggu menjadi guru and mentor di sekolah minggu di rumah-rumah panjang. Mereka sanggup asalkan gereja memberi dorongan dan galakkan, bantuan dan pengelibatan, menjadi contoh dan juga peduli dengan komuniti disekeliling mereka.

Kenapa aktiviti menjangkau komuniti ini jarang berlaku di bandar Kuching, Miri, Kuala Lumpur dan di Malaysia keseluruhannya? Kerena gereja sibuk menyolek dinding bangunan, tidak mahu mengotorkan tangan, menggemukkan diri dengan makan berlebih-lebihan, sibuk mengekalkan umat yang ada, meminta tetapi tidak memberi, ingin menjadi artis dan selebriti tetapi tidak memiliki hati hamba, mendirikan Rumah TUHAN seperti sebuah syarikat, mementingkan kerohanian luaran sehingga melupakan panggilan Kristus ke dunia, dan terlalu asyik mempertahankan iman – iman tanpa perbuatan dan tidak dikongsikan. Jika ini ialah idea ‘gereja’ bagi anak-anak muda sekarang, maka tidak hairanlah aktiviti atau pelayanan menjangkau komuniti jarang berlaku disekeliling kita. Sanggupkah kita membawa seorang pengemis yang kotor dan berbau ke gereja kita? Sanggupkah kita mengurangkan belanjawan gereja untuk membantu orang miskin, mendirikan sekolah, melawat ibu tunggal dan menjenguk banduan di penjara?

Mari kita kembali ke gereja dan komuniti. Saya percaya (dan sedih) bahawa anak-anak muda sekarang mula melihat gereja sebagai satu kelab eklusif yang tidak lagi peduli dengan orang-orang miskin dan orang-orang yang memerlukan di sekeliling mereka. Di mana integriti kita sebagai umat Kristian? Bukankah kita seringkali mendengar khutbah dan kesaksian tentang memberkati orang lain? Tidak pernahkah kita merenung Firman Allah untuk mengasihi sesama kita? Anak-anak muda tidak akan merujuk dan meminta bantuan dari ibubapa, para pemimpin gereja dan guru-guru sekiranya kata-kata dan kepercayaan kita tidak sama dengan carahidup dan iman yang kita pegang. Mereka akan pergi ke tempat lain, tempat dimana kerinduan dan beban mereka akan didengar. Jika ini berlaku, jangan salahkan mereka.  

Gereja (ini termasuk saya juga kerana kita adalah satu tubuh dalam Kristus) harus peduli dengan komuniti disekeliling kita. Untuk menjangkau anak-anak muda kita harus menjangkau komuniti kita, kerana melalui cara ini anak-anak muda boleh terlibat dan mereka secara langsung tidak lagi menjadi boneka tetapi mereka juga turut serta dalam pelayanan gereja. Bukan mereka saja, tetapi semua umat akan didorong dan dibangunkan. Komuniti disekeliling juga diberkati. Bukankah ini idea gereja yang sebenar? Iman tanpa perbuatan, mati. Kebenaran tanpa kasih, beban. Berita Baik tanpa kesaksian, sia-sia. Gereja tanpa impak kepada komuniti adalah – hipokrit. Lebih baik tiada gereja daripada menghina Yesus Kristus dan nama-Nya dihadapan orang ramai.

Ini cadangan saya:
Ambil satu masa dengan para pemimpin dan/atau rakan-rakan seiman,
Tidak perlu berdoa secara formal, hanya buka mata dan hati,
Pergi ke luar gereja and lihatlah sekelilingmu.
Apakah beban yang TUHAN telah berikan kepada gereja kamu?
Kenapa gereja ada disini? Dan kenapa komuniti ini ada disekeliling kamu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, November 5, 2014

TUHAN Menggerakkan Hati Umat-Nya: Perubahan Rohani vs. Tindakkan Praktikal (Refleksi tentang Kitab Ezra 1:5-11)


“[Tiap-tiap] orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN. Semua jiran mereka turut membantu dengan memberikan barangan yang diperlukan: perkakas perak, emas, bekalan untuk perjalanan, binatang untuk mengangkut barangan, harta benda yang lain, serta persembahan untuk Rumah TUHAN. Raja Kores mengembalikan semua mangkuk dan cawan yang dahulunya dipakai di Rumah TUHAN di Yerusalem… Kemudian Mitredat, ketua perbendaharaan kerajaan membuat senarai perkakas itu bagi Sesbazar, gabenor negeri Yehuda… Kesemua barang itu ini dibawa oleh Sesbazar dari Babilonia ke Yerusalem, bersama dengan orang buangan yang lain” (Ezra 1:5-11, BM).

Untuk memahami latar belakang Firman ini, baca Ezra 1:1-5 (atau KLIK DI SINI). Sesbazar telah dilantik sebagai gabenor pertama negeri Yehuda oleh Raja Kores untuk memimpin orang bangsa Yehuda kembali ke Yerusalem. Sesbazar ialah orang yang bertanggungjawab untuk membawa perkakas-perkakas milik Rumah TUHAN ke tempat asalnya dan dia “meletakkan asas Rumah TUHAN” (Ezra 5:16) di Yerusalem. Hanya kemudian barulah Ezra (penulis kitab ini) dan orang Yehuda yang lain datang untuk menyambung kerja, membaik pulih dan membina semula Rumah TUHAN.

Bayangkan bagaimana mereka bersiap untuk pergi. “Tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah” bersiap untuk melakukan tugasan yang diberi, mengalami pengalaman atau situasi yang baru dan bersedia untuk kembali ke Yerusalem. Wang, harta benda yang berharga dan binatang-binatang periharaan adalah sama pentingnya dengan persiapan hati untuk mentaati panggilan dan Firman TUHAN. Dia telah “menggerakkan hati raja” (Ezra 1:1), dan tidak mustahil Dia juga akan menggerakkan hati umat-Nya. Dia melakukan inisiatif. Tetapi harus diketahui juga bahawa setiap umat-Nya mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan tertentu dalam membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem. Ada diantara mereka memberi bantuan bagi tujuan pembinaan dan ada juga yang membantu sanak saudara dan jiran-jiran yang ingin kembali semula.

Satu perkara yang saya pelajari melalui Firman ini ialah, untuk melakukan pekerjaan TUHAN, adalah penting bagi kita untuk memastikan bahawa secara rohani kita didorong oleh TUHAN, dan secara praktikal, kita harus dilengkapi untuk melakukannya. Apabila TUHAN telah “menggerakkan hati” umat-Nya untuk melakukan sesuatu, ianya akan bermula dari pemikiran, hati dan roh kita dan ia juga akan melibatkan masa, tenaga, kebolehan dan harta (atau wang). Ianya melibatkan kerohanian diri kita dan juga tindakkan luaran secara praktikal. Iman dan perbuatan. Tidak seperti kita menonton perlawanan bola sepak di stadium dimana hanya 22 pemain akan berusaha keras untuk menjaringkan gol sementara beribu-ribu penonton di stadium hanya duduk dan berdiri memberi nasihat, menjerit dan mengkritik sahaja; kita yang percaya kepada TUHAN Allah harus melibatkan diri secara praktikal dan juga secara rohani untuk membangunkan Kerajaan Allah (“Rumah TUHAN”) di dalam komuniti, masyarakat dan negara kita.

Ingat: Kebangkitan rohani yang benar akan disertakan dengan tindakkan praktikal.
Apabila TUHAN “menggerakkan hati” kita, berdoalah dan lakukan sesuatu.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, October 19, 2014

Yesus berkata, "Beritahu betapa Besarnya Pertolongan dan Betapa Baiknya TUHAN kepadaMu" (Markus 5:1-20)


Yesus and pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa. Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur” (Markus 5:1-2, BM). Lelaki itu kerasukkan roh jahat dan bersikap seperti haiwan liar yang tinggal di kawasan perkuburan. Tetapi Yesus “Anak Allah Yang Maha Tinggi” (Markus 5:7) telah memecahkan belenggu dan mengusir roh-roh jahat keluar dari lelaki itu dan dengan mukjizat-Nya lelaki itu sembuh dan telah dibebaskan. Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya bersiap untuk pergi meninggalkan daerah itu, lelaki itu ingin mengikuti mereka. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!” (Markus 5:19).

Pertama sekali Yesus berkata, “Pulanglah kepada keluargamu…” (klik di sini untuk membaca bahagian pertama ini). Selepas itu, Yesus berkata pula, “…dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!” Yesus tidak berkata supaya lelaki itu harus menyediakan khutbah yang menarik atau pergi mengingati banyak ayat-ayat Firman Allah tentang keselamatan atau menggariskan setiap ayat di dalam Alkitab dengan menggunakan pen merah (walaupun semua ini sangat baik untuk kita lakukan). Sebaliknya, Yesus hanya berkata supaya dia balik ke tempat asalnya dan menceritakan pengalaman dia bertemu dengan TUHAN.

Ini ialah perkhabaran yang sangat asas bagi kita: Berita Baik tentang apa yang Yesus telah lakukan di dalam hidup kita! Khutbah yang hebat, mengingati atau menggariskan Firman Allah dan mempelajari langkah-langkah untuk bersaksi memang ada baiknya. Tetapi perkhabaran yang sangat berkesan sekali ialah tentang bagaimana Yesus telah menolong, melakukan segala yang baik kepada kita dan tentang betapa indahnya Yesus dalam kehidupan kita. Apabila semua perancangan untuk bersaksi gagal, saya tahu bahawa ada satu yang tidak pernah gagal iaitu, TUHAN telah melakukan sesuatu yang indah dalam kehidupan saya dan saya boleh bersaksi dengan autoriti – dan TUHAN akan membuatkannya berjaya!

Saya sangat bersyukur kepada mereka yang mempunyai kebolehan untuk bersaksi tentang Yesus dimana sahaja mereka berada… namun kebanyakkan kita tidak mempunyai kebolehan itu. Tetapi, kita boleh bersaksi kepada mereka yang dekat dengan kita. Mereka yang kita jumpa hampir setiap hari. Ibu saya jarang pergi ke gereja lagi atas sebab-sebab tertentu tetapi saya cuba bersaksi dengan dia tentang bagaimana TUHAN telah mengubah kehidupan saya. Saya akan berdoa dan mengasihi dia sehingga dia melihat bahawa TUHAN itu sentiasa peduli dan mengasihi dia. Saya akan menghormati dan menjaga dia sebagaimana TUHAN telah lakukan kepada saya. Perkhabaran yang dia akan dengar dan lihat ialah tentang pengalaman peribadi saya dengan Yesus. Siapa yang dekat dengan kamu sekarang? Bersaksilah. Khabarkan tentang kasih Yesus melalui perkataan dan perbuatan kamu.

"...beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan 
dan betapa baiknya Dia kepadamu!"
Ini ialah berkhabaran yang terutama.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Thursday, August 21, 2014

Kisah Pekerja Ladang Anggur dan Kemurahan Hati Allah melebihi 200%


Jika kita membaca Injil atau Berita Baik tentang Yesus Kristus dalam Alkitab Perjanjian Baru, kita mendapati bahawa Yesus suka bercerita dalam perumpamaan. Salah satu perumpamaan yang mungkin banyak menjadi persoalan bagi kita ialah “Perumpamaan tentang Pekerja di Ladang Anggur” dalam Injil Matius 20:1-16. Di dalam perumpamaan ini, mereka yang bekerja lewat petang menerima upah yang sama dengan mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi. Bagaimana upah mereka dikira sebenarnya? Katakan di Malaysia gaji minimum sebulan ialah RM1,200, maka sehari adalah lebih kurang RM40. Jika kita mengikut perumpamaan ini, orang yang bekerja jam 5 petang mendapat upah RM40 dan orang yang bekerja sejak awal pagi sepanjang hari juga mendapat upah RM40. Saya tahu bahawa ini ialah hanya perumpamaan bukan cerita benar, tetapi – adakah ianya adil?

Perumpamaannya seperti ini: “Seorang pemilik ladang anggur keluar pada waktu fajar untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak. Lalu dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya” (Matius 10:1-2, BM). Pada pukul 9 pagi, dia mengupah beberapa orang lagi yang sedang menganggur di pasar. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan membayar kamu dengan upah yang berpatutan” (20:4). Pada pukul 12 tengah hari dan pada pukul 3 petang dia melakukan perkara yang sama sehinggalah pada pukul 5 petang dia masih lagi mengambil pekerja untuk ladangnya.

Apabila semuanya selesai, pemilik ladang itu berkata kepada ketua para pekerja untuk membayar upah mereka semua. Mereka dibayar mulai daripada pekerja yang datang terakhir sampai kepada mereka yang datang awal sekali. Oleh itu, setiap orang mendapat sekeping wang perak, iaitu lebih kurang RM40 pada masa sekarang. Mereka yang datang pada pukul 5 petang mendapat upah RM40, yang datang pukul 3 petang mendapat RM40, yang datang pukul 12 tengah hari RM40. Dan apabila giliran mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi ingin mengambil upah, mereka berfikir bahawa upah mereka pastinya lebih daripada yang lain. Mereka harus mendapat gaji yang lebih, betulkan? Tidak! Mereka juga mendapat RM40. Ini tidak adil!

Jadi mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi bersungut-sungut dan melakukan apa yang mungkin kita semua akan lakukan iaitu – membuat aduan (tapi mungkin kita akan melakukan lebih daripada itu seperti menunjuk perasaan, menyaman majikan, merujuk kepada Akta Pekerja 1955 atau lebih ekstrem lagi dengan mengadakan boikot keatas ladang-ladang anggur di Malaysia). Mereka berkata, “Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!” (Matius 20:12). Betul, saya setuju. Ini tidak adil!

Dengan tenang pemilik ladang itu menjawab, “Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima. Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?” (20:13-15). Saya dapat merasakan yang mereka semua terdiam dengan jawapan ini. Saya tidak akan berkata, “Ini tidak adil” lagi. Pemilik ladang itu bercakap benar. Dia mempunyai hak untuk melakukan kehendaknya. Dia sangat bermurah hati.

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Pertama, TUHAN seperti pemilik ladang anggur itu, ialah seorang yang adil dan menepati janji. Kontrak bagi semua pekerja ialah “Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak.” Dia tidak menipu, dia tidak berbohong, dia tidak memanipulasikan mereka – dia adil dan menepati janji. “Janji Ditepati” hanyalah slogan dan matlamat yang ingin dicapai oleh kerajaan Malaysia, tetapi Janji TUHAN itu pasti! Kedua, “jangan cemburu kerana [Tuhan] bermurah hati” kepada semua orang yang bekerja di ladang-Nya. Pekerja yang bekerja pada pukul 12 tengah hari dan 3 petang langsung tidak bersungut, tetapi mereka yang bekerja sejak awal pagi itu semua bersungut-sungut. TUHAN pasti akan memberkati setiap pelayanan kita sesuai dengan janji-janji-Nya, tetapi siapalah kita untuk mengukur dan berkira dengan kemurahan hati TUHAN ke atas umat-Nya. Jika Dia ingin memberi RM40 kepada semua orang, maka ambillah upahmu. Jika TUHAN memberkati saya dengan komputer Toshiba terpakai dan kepada seorang lagi dengan komputer MacBook Air yang baru, dan kedua-dua kami diberi secara percuma, saya tidak seharusnya cemburu kerana kedua-dua kami pada mulanya tidak ada dan sekarang sudah ada komputer! Kita seharusnya berterima kasih dan bersyukur kerana Dia sangat baik kepada kita semua.

Ketiga, ini yang paling penting sekali: Kita hanya boleh datang ke dalam Pemerintahan Allah dengan iman kepada Yesus Kristus melalui kasih kurnia-Nya sahaja, bukan melalui perbuatan baik kita. Ingat, ini ialah perumpamaan tentang “Pemerintahan Allah” (Matius 20:1). Di akhir perumpamaan ini, Yesus menyimpulkan bahawa, “Orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir” (20:16). Maksudnya disini ialah – tidak kira berapa lama dan berapa banyak pekerjaan yang kita lakukan untuk TUHAN di dunia ini, upah kita iaitu “hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16) akan diberi kepada semua orang yang percaya secara sama rata. Kamu yang baru sahaja menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu dan saya yang sudah lama mengenali-Nya sejak 10 tahun dahulu akan mendapat upah yang sama, iaitu – kehidupan sejati dan kekal. Memang Alkitab ada menyatakan bahawa akan ada berkat yang berbeza-beza bagi kita semua sesuai dengan perbuatan baik yang dilakukan berdasarkan iman kita, tetapi, upah “hidup sejati dan kekal” adalah sama. Menarikkan perumpamaan ini?

Ada yang bekerja 50% hari, ada yang bekerja 70% hari
dan ada yang bekerja 99% hari, namun TUHAN tetap memberi mereka upah 100%
kerana kemurahan hati-Nya melebihi 200%

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, July 17, 2013

Jadilah Seorang yang Mampu Menyelesaikan Masalah



Masih ingat cerita burung gagak ini?

Kebanyakkan orang boleh melihat masalah dimana-mana sahaja. Walaupun Golden Screen Cinemas (GSC) panggung wayang yang baru beberapa bulan lalu dibuka di City One, Kuching, ada juga orang yang mengatakan bahawa kerusinya terlalu kecil dan sempit, sistem bunyinya terlalu bising, lampu ketika masuk terlalu terang (atau gelap), tandas yang kecil, sistem tiket... servis makanan... staf... dan sebagainya. Ini hanya satu contoh sahaja.

Mencari masalah tidak memerlukan bakat atau kurnia. Oleh itu, seseorang yang berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah (dan bukan hanya mencari atau melihat masalah semata-mata) ialah seseorang yang mampu membuat perbezaan di mana saja mereka berada. Orang Kristian yang mempunyai pemikiran sebegini adalah sangat diperlukan pada masa sekarang. Berdoa dan melakukannya. Percaya dan bertindak. Iman yang disertai dengan perbuatan. Cuba lihat masalah seperti berikut:

Masalah bergantung kepada Perspektif Kita
Halangan, kejatuhan dan kegagalan adalah lumrah kehidupan manusia. Kita tidak boleh lari daripada masalah, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh membiarkannya mengusai kita. Perkara yang terbaik yang boleh kamu lakukan ialah dengan berfikir bagaimana untuk menyelesaikannya. “It’s all about attitude”.

Kebanyakkan Masalah boleh Diselesaikan
Pada pendapat saya, kebanyakkan masalah boleh diselesaikan jika kita betul-betul mahu melakukannya. Kemalasan dan sikap tidak mahu berfikir secara logik dan praktikal adalah penyebab-penyebab utama kita tidak boleh menyelesaikan masalah. Ambil masa untuk bertenang, berdoa, duduk, fokus, tuliskan masalah sebenar dan fikirkan jalan penyelesaiannya. Tanya orang yang lebih tahu mengenai hal tersebut, rujuk buku atau laman internet, selidik hal itu dengan teliti dan sebagainya. Bak kata orang-orang tua, “Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Masalah samada akan Membangunkan Kamu atau akan Menjatuhkan Kamu
Masalah samada akan menyakitkan kamu atau akan membantu kamu, ia bergantung kepada bagaimana kamu menghadapinya. Respon dan tindakkan kamu sangat penting. Ia akan menghalang kamu untuk terus bertumbuh dalam iman atau ia akan membangunkan iman kamu semasa kamu menghadapinya. Secara peribadi, setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan saya banyak membantu saya untuk bertumbuh di dalam iman kepada Kristus. Tanpa saya sedari, saya menjadi semakin matang dalam berfikir dan dalam melakukan sesuatu perkara. Ada masalah yang langsung saya tidak boleh selesaikan, saya hanya menyerahkannya dalam doa saya – dan tindakkan ini (melalui kasih kurnia-Nya) sangat membangunkan saya dalam hubungan peribadi saya bersama Yesus Kristus.

Jadi, apa respon dan tindakkan kamu semasa menghadapi masalah? Itu pilihan kamu.

Berdoa dan melakukan
Percaya dan bertindak
Iman dan perbuatan
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]