Wednesday, November 5, 2014

TUHAN Menggerakkan Hati Umat-Nya: Perubahan Rohani vs. Tindakkan Praktikal (Refleksi tentang Kitab Ezra 1:5-11)


“[Tiap-tiap] orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN. Semua jiran mereka turut membantu dengan memberikan barangan yang diperlukan: perkakas perak, emas, bekalan untuk perjalanan, binatang untuk mengangkut barangan, harta benda yang lain, serta persembahan untuk Rumah TUHAN. Raja Kores mengembalikan semua mangkuk dan cawan yang dahulunya dipakai di Rumah TUHAN di Yerusalem… Kemudian Mitredat, ketua perbendaharaan kerajaan membuat senarai perkakas itu bagi Sesbazar, gabenor negeri Yehuda… Kesemua barang itu ini dibawa oleh Sesbazar dari Babilonia ke Yerusalem, bersama dengan orang buangan yang lain” (Ezra 1:5-11, BM).

Untuk memahami latar belakang Firman ini, baca Ezra 1:1-5 (atau KLIK DI SINI). Sesbazar telah dilantik sebagai gabenor pertama negeri Yehuda oleh Raja Kores untuk memimpin orang bangsa Yehuda kembali ke Yerusalem. Sesbazar ialah orang yang bertanggungjawab untuk membawa perkakas-perkakas milik Rumah TUHAN ke tempat asalnya dan dia “meletakkan asas Rumah TUHAN” (Ezra 5:16) di Yerusalem. Hanya kemudian barulah Ezra (penulis kitab ini) dan orang Yehuda yang lain datang untuk menyambung kerja, membaik pulih dan membina semula Rumah TUHAN.

Bayangkan bagaimana mereka bersiap untuk pergi. “Tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah” bersiap untuk melakukan tugasan yang diberi, mengalami pengalaman atau situasi yang baru dan bersedia untuk kembali ke Yerusalem. Wang, harta benda yang berharga dan binatang-binatang periharaan adalah sama pentingnya dengan persiapan hati untuk mentaati panggilan dan Firman TUHAN. Dia telah “menggerakkan hati raja” (Ezra 1:1), dan tidak mustahil Dia juga akan menggerakkan hati umat-Nya. Dia melakukan inisiatif. Tetapi harus diketahui juga bahawa setiap umat-Nya mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan tertentu dalam membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem. Ada diantara mereka memberi bantuan bagi tujuan pembinaan dan ada juga yang membantu sanak saudara dan jiran-jiran yang ingin kembali semula.

Satu perkara yang saya pelajari melalui Firman ini ialah, untuk melakukan pekerjaan TUHAN, adalah penting bagi kita untuk memastikan bahawa secara rohani kita didorong oleh TUHAN, dan secara praktikal, kita harus dilengkapi untuk melakukannya. Apabila TUHAN telah “menggerakkan hati” umat-Nya untuk melakukan sesuatu, ianya akan bermula dari pemikiran, hati dan roh kita dan ia juga akan melibatkan masa, tenaga, kebolehan dan harta (atau wang). Ianya melibatkan kerohanian diri kita dan juga tindakkan luaran secara praktikal. Iman dan perbuatan. Tidak seperti kita menonton perlawanan bola sepak di stadium dimana hanya 22 pemain akan berusaha keras untuk menjaringkan gol sementara beribu-ribu penonton di stadium hanya duduk dan berdiri memberi nasihat, menjerit dan mengkritik sahaja; kita yang percaya kepada TUHAN Allah harus melibatkan diri secara praktikal dan juga secara rohani untuk membangunkan Kerajaan Allah (“Rumah TUHAN”) di dalam komuniti, masyarakat dan negara kita.

Ingat: Kebangkitan rohani yang benar akan disertakan dengan tindakkan praktikal.
Apabila TUHAN “menggerakkan hati” kita, berdoalah dan lakukan sesuatu.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]