Friday, November 21, 2014

Melihat Keperibadian Nehemia: Menjadi Jawapan kepada Doa

Nehemia memeriksa reruntuhan tembok Yerusalem (Bab 2)
Apabila aku mendengar [tentang keadaan Yerusalem], aku duduk dan menangis.
Selama beberapa hari aku meratap dan tidak makan apa-apa.
Aku berdoa kepada Allah, ‘Ya TUHAN Allah penguasa di syurga!...
(Nehemia 1:4-5, BM).

Ada seorang pendeta berkata bahawa doa ialah bukan keinginan kita terjadi sama seperti di syurga tetapi doa ialah membawa keinginan TUHAN terjadi di bumi. Walau bagaimanapun, untuk keinginan TUHAN terjadi di bumi, Dia memerlukan orang yang sanggup digunakan-Nya. Firman Allah dalam Efesus 3:20 berkata: “Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (BM). Jika TUHAN ingin menjawab doa kita, Dia akan bermula dengan kita yang berdoa doa itu dahulu! Dia akan “bekerja dalam diri kita” dan melalui kita supaya kita dapat melihat bahawa doa itu akan terjawab. Seperti rakan sepelayanan saya, Peter Paris, sering berkata kepada kami semua, “Jadilah jawapan kepada doa kamu sendiri.

Contohnya, apabila Nehemia berdoa, beban dia terhadap umat Israel dan Yerusalem menjadi semakin berat and visi dia untuk melihat sesuatu perkara harus dilakukan menjadi semakin jelas. Doa yang benar akan menyeimbangkan hati, perasaan dan pemikiran kita supaya tindakkan kita tidak akan menjadi terburu-buru sehinggakan kita bertindak terlalu kehadapan dari Allah dan menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Apabila kita berdoa, TUHAN Allah akan menyatakan perkara yang kita perlu lakukan, bila untuk melakukannya, dan bagaimana untuk melakukannya – dan semua ini sangat penting sekiranya kita ingin bertindak mengikut kehendak-Nya.

Jika kita membaca buku Nehemia, kita akan mendapati bahawa Nehemia dengan sukarela pergi ke Yerusalem untuk menyelia dan mengetuai rancangan untuk membaiki tembok kotanya semula. Nehemia tidak berdoa supaya TUHAN menghantar orang lain. Dia juga tidak bersungut-sungut dan mengatakan bahawa dia tidak cukup bersedia untuk melakukan tugas itu. Dia, seperti nabi Yesaya, hanya berkata, “Inilah aku. Utuslah aku!” Dia tahu bahawa dia sebagai “pengurus minuman raja” (1:11) harus berhadapan dengan raja Artahsasta dan meminta kebenaran untuk pergi ke Yerusalem. Kita harus sedar bahawa permintaan seperti ini adalah sesuatu yang sangat berisiko. Ini ialah raja Persia! Apa yang akan terjadi sekiranya Nehemia datang pada hari yang tidak sesuai, semasa raja sedang bersedih atau marah tentang sesuatu hal? Apa saja yang mungkin terjadi, kita tahu bahawa Nehemia sedang menghadapi percubaan dalam iman dia. Ini yang Nehemia sedar, bahawa TUHAN yang bersamanya itu hebat dan Dia akan menjadikan usaha dia berhasil!

Nehemia, “pengurus minuman raja,” akan terpaksa melepaskan keselesaannya di istana dan berhadapan dengan bahaya dan cabaran hidup di Yerusalem yang hancur itu. Kemewahan akan digantikan dengan reruntuhan, dan pangkat yang tinggi akan digantikan dengan tentangan, cemuhan dan hasutan. Nehemia yang dulunya makan di meja bersama raja Persia dan kerabat diraja, sekarang akan terpaksa menyediakan makanan kepada rakyat yang makan bersamanya. Dia telah meninggalkan segala yang baik di istana, dan sekarang menjadi petugas di tembok yang runtuh… melakukan pekerjaan yang seakan-akan sangat mustahil untuk dilakukan! Semua ini ialah risiko yang Nehemia harus tempuhi jika dia ingin bertindak untuk menjadi jawapan kepada doannya.

Bagi TUHAN, tiada yang mustahil bagi-Nya. Akhirnya Nehemia dan umat Israel berjaya melakukan tugas mereka! Hanya dalam masa 52 hari, tembok Yerusalem siap, pintu-pintu gerbang telah dipasang, dan umat Israel bersukacita! Semuanya bermula dari seorang pendoa – Nehemia – yang peduli tentang umat and kota TUHAN dan sanggup menjadi jawapan kepada doanya sendiri. Alkitab penuh dengan orang-orang seperti Nehemia; Abraham peduli dan pergi menyelamatkan Lot di kota Sodom (Kejadian 18-19). Nabi Musa peduli dan membawa umat Israel keluar dari Babilonia. Raja Daud peduli dan memenangkan semula kerajaan Israel kepada TUHAN Allah. Ratu Ester peduli dan sanggup menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan umat Israel daripada dibunuh beramai-ramai. Rasul Paulus peduli dan membawa Berita Baik tentang Yesus ke seluruh kerajaan Roma. Tuhan Yesus sendiri peduli dan sanggup mati di kayu salib bagi menyelamatkan orang berdosa untuk kembali kepada-Nya.

Tahukah kamu? TUHAN Allah masih lagi mencari orang seperti Nehemia. Seorang yang peduli untuk mengetahui perkara yang berlaku disekeliling mereka. Seorang yang sanggup menangis untuk menyatakan pemintaannya kepada TUHAN. Seorang yang berdoa untuk mencari kehendak Allah dan bantuan-Nya. Dan seorang yang sukarela untuk menjadi jawapan kepada doanya sendiri. Seorang yang sentiasa bersedia untuk berkata kepada TUHAN dengan kerendahan hati, “Inilah aku. Utuslah aku!Adakah orang itu kamu? Jadilah jawapan kepada doa. TUHAN menyertai kamu. Amin.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]