Monday, November 3, 2014

TUHAN Allah Israel Menggerakkan Hati Raja Kores, Raja Persia (Refleksi Saya tentang Kitab Ezra 1:1-5)

Raja Kores (King Cyrus of Persia) dalam The Bible Movie
Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Persia, TUHAN melaksanakan firman-Nya yang disampaikan-Nya dengan perantaraan Nabi Yeremia. TUHAN menggerakkan hati Raja Kores supaya mengeluarkan titah bertulis, yang dikirim untuk dibacakan di seluruh kerajaan baginda.” (Ezra 1:1, BM)

Orang Yahudi yang tidak lagi mengasihi TUHAN telah ditakluki oleh kerajaan bangsa asing dan rakyatnya dibuang ke Babilonia. 70 tahun telah berlalu. Kini, TUHAN mula bertindak untuk melakukan kehendak-Nya. TUHAN pernah berjanji dan akan “melaksanakan firman-Nya” seperti yang disampaikan oleh nabi Yeremia: “Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu [orang Yahudi] lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang” (Yeremia 29:10, baca juga 25:11). Bagi TUHAN, janji-Nya pasti akan ditepati!
Jika kenyataan ini masih lagi tidak membuat kamu kagum akan-Nya, baca semula: “TUHAN menggerakkan hati Raja Kores.” Hati siapa? Raja Kores, raja Persia, raja yang menyembah berhala, raja yang dianggap sebagai tuhan Persia, raja yang tidak mengenal TUHAN Allah Israel. Bagi TUHAN tiada yang mustahil. Dia ialah Allah Israel yang berkuasa atas segala-galanya.

Demikianlah titah Raja Kores, raja Persia: TUHAN, Allah penguasa di syurga, telah menjadikan beta raja seluruh dunia. Dia telah memberi beta tugas untuk membina Rumah bagi-Nya di Yerusalem, di negeri Yehuda. Semoga Allah melindungi kamu semua yang menjadi umat-Nya. Kamu harus kembali ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel, Allah yang disembah di Yerusalem…” (Ezra 1:2-3).

Bagaimana TUHAN berbicara kepada Raja Kores, saya tidak tahu. Tetapi, apa yang saya tahu ialah apabila Raja Kores bertitah kepada orang Yahudi untuk kembali ke tempat asal nenek moyang mereka, kebanyakkan daripada mereka tidak mahu kembali. Bayangkan sudah bertahun-tahun mereka berdoa supaya mereka dapat kembali lagi, kini setelah 70 tahun kemudian (apabila mereka sudah mula biasa dengan kehidupan mereka di Persia dan di tempat lain), mereka bergumul diantara keselesaan materialistik duniawi dan bimbingan Roh TUHAN.
Hanya “para pemimpin puak daripada suku Yehuda dan Benyamin, para imam serta orang Lewi, dan tiap-tiap orang yang telah digerakkan hatinya oleh Allah, bersiap-siap untuk pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah TUHAN” (Ezra 1:5). Hanya 42,360 orang Yahudi diseluruh dunia yang pulang (Ezra 2:64-67). Bagaimana dengan yang lain? Mungkin segelintir daripada mereka hanya memberi bantuan untuk membina Rumah TUHAN tetapi tidak terlibat secara langsung. Mungkin dengan cara ini, mereka dapat memberi alasan untuk tidak pergi… mungkin…

Apa yang kita boleh belajar melalui Firman ini? Allah Israel (Allah dalam Perjanjian Lama dan Baru) ialah satu-satunya TUHAN yang menentukan sejarah dunia. Dia berkuasa dan Dia boleh melakukan apa saja mengikut kehendak-Nya. Dia ialah TUHAN atas seluruh bangsa – bangsa Malaysia juga – bukan hanya kepada orang Israel saja. Dia akan menggunakan sesiapa yang Dia kehendaki (termasuk Raja Kores, perdana menteri, sultan dan sebagainya) untuk bertindak dan melaksanakan kehendak-Nya. Dia tidak boleh dihadkan kepada peraturan dan adat agama. Dia juga TUHAN yang berpegang kepada janji-Nya. Dia berfirman “Apabila genap masa tujuh puluh tahun” maka apabila genap 70 tahun, Firman-Nya akan dilaksanakan. Ini memberi keyakinan kita kepada setiap janji-janji-Nya di dalam Alkitab. Halleluyah!

Seperti orang Yahudi yang perlu membuat keputusan tentang Firman Allah melalui titah Raja Kores untuk pulang ke Yerusalem atau tidak; kita juga perlu memikirkan respon kita kepada Firman-Nya di dalam Alkitab. Kehidupan lama kita memang susah untuk kita tinggalkan. Kita mungkin sudah selesa dengan kesenangan hidup sehinggakan kita lalai dan leka untuk pulang semula kepada-Nya. Kembalilah kepada TUHAN, Dia sentiasa membuka pintu untuk kita datang kepada-Nya. Dia menghukum orang Yahudi atas dosa mereka, tetapi Dia juga mengampuni mereka jika mereka kembali kepada-Nya. Allah Bapa melalui Yesus Kristus, Anak-Nya juga ingin kita kembali dan membina Rumah TUHAN di dalam hati kita sekarang. TUHAN mengasihi kita. “Memberi bantuan” (atau menolong orang lain datang kepada-Nya) tidak cukup, Dia mahu kita juga datang kepada-Nya secara peribadi. “Pulanglah” “kembalilah” “bina semula Rumah TUHAN” dalam hidupmu. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]