Wednesday, November 12, 2014

Kebebasan Yesus yang Harus Kita Miliki

Mungkin Yesus tidak setampan ini. Gambar dari filem Son of God (2014)
Sebagai manusia, Yesus ialah seorang yang sangat bebas. Pada masa Perjanjian Baru, dia dikelilingi oleh pelbagai cubaan untuk menurut segala keinginan and pandangan masyarakat tetapi tidak, dia mengikut caranya sendiri, dia membuat keputusan sendiri dan dia melakukan segala sesuatu dengan bebas. Itu apa yang saya tahu sebelum saya mendalami diri Yesus dengan lebih dekat lagi melalui pengajian Alkitab. Kemudian barulah saya sedar bahawa rahsia kebebasan Yesus terdapat ditempat lain, tidak terletak kepada agama dan pandangan masyarakat, tetapi – di dalam hati Bapa. Dia bebas kerana dia hanya melayan keinginan Bapa dan mementingkan pandangan Bapa lebih daripada segalanya.

Yesus tidak tertekan untuk mengikut-ikut pemikiran orang lain dan tidak bingung untuk sentiasa mengejar budaya masyarakat disekelilingnya. Jika pada hari ini ramai orang dewasa risau memikirkan tentang bagaimana untuk memiliki sebuah rumah untuk hidup bahagia bersama keluarga, pengikut Yesus (seperti Yesus sendiri) harus dahulu sibuk mengutamakan “Pemerintahan Allah dan melakukan kehendak-Nya” (Matius 6:33, BM).
Jika pada hari ini ramai orang sibuk menjaga penampiran luaran, pergi ke gym untuk membesar-besarkan otot, berpakaian seperti artis-artis antarabangsa, mendandan rambut seperti K-pop, bekerja siang malam hanya untuk memiliki kereta impian dan sanggup mengabaikan tanggungjawab di rumah supaya dapat mengikut-ikut trend terkini dunia; pengikut Yesus (seperti Yesus sendiri) tidak harus seperti itu, mereka berpegang kepada ayat Roma 12:2, “Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hari-Nya, serta yang sempurna.”

Mari kita kembali semula kepada Yesus. Yesus ialah kasih yang hidup. Apabila kita melihat Yesus bekerja atau melakukan sesuatu, kita melihat Allah bekerja dan melakukan sesuatu. Dia bebas kerana apa yang dia lakukan dan katakan datang dari dalam hati Allah Bapa. Yesus sentiasa bercakap benar walaupun kebenaran akan menyinggung perasaan ahli-ahli agama. Dia sentiasa menunjukkan kasih dan belas kasihan kepada orang berdosa dan yang dihina masyarakat walaupun tindakkannya mengundang kontroversi dalam masyarakat. Dia sentiasa mengutamakan kebajikan dan keperluan orang lain walaupun tindakkan dia kadang-kadang bertentangan dengan ajaran semasa (Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat). Yesus bebas kerana dia memiliki hati Bapa. Yesus boleh saya ibaratkan seperti biskut coklat Kit Kat, patah saja dimana-mana bahagian, pasti kita akan mendapat inti yang sama. Sikap, pemikiran dan hati Yesus sentiasa sama, perbuatan dan kata-katanya tidak pernah bertentangan. Yesus bebas.

Yesus bebas. Kita juga harus bebas. Ini tidak bermaksud kita harus melanggar setiap peraturan-peraturan yang ada atau menjadi tidak relevan tentang hal-hal semasa. Yesus bertindak bukan semata-mata untuk menjadikan diri dia berbeza, tetapi dia bertindak kerana dia mengutamakan Bapa lebih dari segalanya. Kita tidak harus menggunakan kebebasan dengan membuta tuli tanpa berfikir. Kebebasan yang saya maksudkan disini ialah (seperti Yesus) kebebasan daripada tekanan dan cubaan untuk menurut segala keinginan and pandangan masyarakat disekeliling kita. Saya merasakan bahawa kamu dan saya amat-amat memerlukan kebebasan yang Yesus miliki ini. Tidak perlu lagi kita menayangkan gambar-gambar seksi atau bertubuh sasa atau berkongsi gambar makanan-makanan yang kita makan setiap hari atau mengejar trend-trend terbaru masa kini atau sentiasa menulis sesuatu setiap jam untuk mengumpul “like” atau mengambil perhatian orang lain atau untuk menunjukkan bahawa kita tidak ketinggalan. Kita harus bebas daripada pandangan orang lain. Kita harus mengikut Yesus – bebas – kerana dia memiliki hati Bapa.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]