Thursday, August 21, 2014

Kisah Pekerja Ladang Anggur dan Kemurahan Hati Allah melebihi 200%


Jika kita membaca Injil atau Berita Baik tentang Yesus Kristus dalam Alkitab Perjanjian Baru, kita mendapati bahawa Yesus suka bercerita dalam perumpamaan. Salah satu perumpamaan yang mungkin banyak menjadi persoalan bagi kita ialah “Perumpamaan tentang Pekerja di Ladang Anggur” dalam Injil Matius 20:1-16. Di dalam perumpamaan ini, mereka yang bekerja lewat petang menerima upah yang sama dengan mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi. Bagaimana upah mereka dikira sebenarnya? Katakan di Malaysia gaji minimum sebulan ialah RM1,200, maka sehari adalah lebih kurang RM40. Jika kita mengikut perumpamaan ini, orang yang bekerja jam 5 petang mendapat upah RM40 dan orang yang bekerja sejak awal pagi sepanjang hari juga mendapat upah RM40. Saya tahu bahawa ini ialah hanya perumpamaan bukan cerita benar, tetapi – adakah ianya adil?

Perumpamaannya seperti ini: “Seorang pemilik ladang anggur keluar pada waktu fajar untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak. Lalu dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya” (Matius 10:1-2, BM). Pada pukul 9 pagi, dia mengupah beberapa orang lagi yang sedang menganggur di pasar. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan membayar kamu dengan upah yang berpatutan” (20:4). Pada pukul 12 tengah hari dan pada pukul 3 petang dia melakukan perkara yang sama sehinggalah pada pukul 5 petang dia masih lagi mengambil pekerja untuk ladangnya.

Apabila semuanya selesai, pemilik ladang itu berkata kepada ketua para pekerja untuk membayar upah mereka semua. Mereka dibayar mulai daripada pekerja yang datang terakhir sampai kepada mereka yang datang awal sekali. Oleh itu, setiap orang mendapat sekeping wang perak, iaitu lebih kurang RM40 pada masa sekarang. Mereka yang datang pada pukul 5 petang mendapat upah RM40, yang datang pukul 3 petang mendapat RM40, yang datang pukul 12 tengah hari RM40. Dan apabila giliran mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi ingin mengambil upah, mereka berfikir bahawa upah mereka pastinya lebih daripada yang lain. Mereka harus mendapat gaji yang lebih, betulkan? Tidak! Mereka juga mendapat RM40. Ini tidak adil!

Jadi mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi bersungut-sungut dan melakukan apa yang mungkin kita semua akan lakukan iaitu – membuat aduan (tapi mungkin kita akan melakukan lebih daripada itu seperti menunjuk perasaan, menyaman majikan, merujuk kepada Akta Pekerja 1955 atau lebih ekstrem lagi dengan mengadakan boikot keatas ladang-ladang anggur di Malaysia). Mereka berkata, “Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!” (Matius 20:12). Betul, saya setuju. Ini tidak adil!

Dengan tenang pemilik ladang itu menjawab, “Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima. Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?” (20:13-15). Saya dapat merasakan yang mereka semua terdiam dengan jawapan ini. Saya tidak akan berkata, “Ini tidak adil” lagi. Pemilik ladang itu bercakap benar. Dia mempunyai hak untuk melakukan kehendaknya. Dia sangat bermurah hati.

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Pertama, TUHAN seperti pemilik ladang anggur itu, ialah seorang yang adil dan menepati janji. Kontrak bagi semua pekerja ialah “Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak.” Dia tidak menipu, dia tidak berbohong, dia tidak memanipulasikan mereka – dia adil dan menepati janji. “Janji Ditepati” hanyalah slogan dan matlamat yang ingin dicapai oleh kerajaan Malaysia, tetapi Janji TUHAN itu pasti! Kedua, “jangan cemburu kerana [Tuhan] bermurah hati” kepada semua orang yang bekerja di ladang-Nya. Pekerja yang bekerja pada pukul 12 tengah hari dan 3 petang langsung tidak bersungut, tetapi mereka yang bekerja sejak awal pagi itu semua bersungut-sungut. TUHAN pasti akan memberkati setiap pelayanan kita sesuai dengan janji-janji-Nya, tetapi siapalah kita untuk mengukur dan berkira dengan kemurahan hati TUHAN ke atas umat-Nya. Jika Dia ingin memberi RM40 kepada semua orang, maka ambillah upahmu. Jika TUHAN memberkati saya dengan komputer Toshiba terpakai dan kepada seorang lagi dengan komputer MacBook Air yang baru, dan kedua-dua kami diberi secara percuma, saya tidak seharusnya cemburu kerana kedua-dua kami pada mulanya tidak ada dan sekarang sudah ada komputer! Kita seharusnya berterima kasih dan bersyukur kerana Dia sangat baik kepada kita semua.

Ketiga, ini yang paling penting sekali: Kita hanya boleh datang ke dalam Pemerintahan Allah dengan iman kepada Yesus Kristus melalui kasih kurnia-Nya sahaja, bukan melalui perbuatan baik kita. Ingat, ini ialah perumpamaan tentang “Pemerintahan Allah” (Matius 20:1). Di akhir perumpamaan ini, Yesus menyimpulkan bahawa, “Orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir” (20:16). Maksudnya disini ialah – tidak kira berapa lama dan berapa banyak pekerjaan yang kita lakukan untuk TUHAN di dunia ini, upah kita iaitu “hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16) akan diberi kepada semua orang yang percaya secara sama rata. Kamu yang baru sahaja menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu dan saya yang sudah lama mengenali-Nya sejak 10 tahun dahulu akan mendapat upah yang sama, iaitu – kehidupan sejati dan kekal. Memang Alkitab ada menyatakan bahawa akan ada berkat yang berbeza-beza bagi kita semua sesuai dengan perbuatan baik yang dilakukan berdasarkan iman kita, tetapi, upah “hidup sejati dan kekal” adalah sama. Menarikkan perumpamaan ini?

Ada yang bekerja 50% hari, ada yang bekerja 70% hari
dan ada yang bekerja 99% hari, namun TUHAN tetap memberi mereka upah 100%
kerana kemurahan hati-Nya melebihi 200%

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]