Wednesday, August 6, 2014

Kesetiaan Allah: Nabi Hosea Mengahwini Gomer seorang Pelacur


Negeri ini tidak mengenal makna kesetiaan ataupun kasih.
Penduduknya tidak mengakui Aku sebagai Allah” (Hosea 4:1, BM)

Ada orang mengatakan bahawa Alkitab ialah sebuah buku yang sangat bosan untuk dibaca. Saya berpendapat, jika ada pun mereka ini membaca Alkitab mereka sekurang-kurangnya akan membaca kitab Kejadian sampai Keluaran dan kemudian berhenti atau tergendala pada kitab Imamat. Mungkin ada juga yang membaca sedikit sebanyak buku Mazmur dan Amsal, tetapi jarang diantara mereka ada membaca tentang kitab yang ditulis oleh nabi Hosea. Ramai orang suka membeli majalah untuk membaca tentang artikel-artikel seks, hiburan sensasi, berita hangat, dan cerita-cerita yang menarik – tetapi tidak ramai yang tahu bahawa semua ini mereka boleh baca di dalam Alkitab, terutamanya di dalam kitab Hosea.

Ceritanya sangat menarik (Baca Hosea bab 1 hingga 3). Hosea dipanggil untuk menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada umatnya sendiri iaitu orang Israel di kerajaan utara. Pada masa itu, berbanding dengan kerajaan selatan yang mempunyai sedikit sahaja raja-raja yang takut akan TUHAN untuk membawa mereka ke jalan yang benar, kerajaan utara langsung tidak ada seorang pun raja yang takut akan TUHAN. Kesemua mereka sangat jahat – membawa ramai orang jauh daripada TUHAN dan memimpin orang untuk menyembah berhala. Oleh kerana kerajaan utara agak makmur dan kukuh, mereka merasakan bahawa mereka tidak memerlukan TUHAN lagi! (Bukankah ini seperti Malaysia sebelum banyak peristiwa dahsyat yang berlaku kepada kita?).

Maka TUHAN memanggil Hosea untuk memberitakan perkhabaran-Nya kepada kerajaan utara melalui enam raja-raja terakhir yang memerintah sehinggalah seluruh kerajaan Israel jatuh ke tangan kerajaan Asyur. Perkhabaran TUHAN adalah mudah sekali: Umat-Nya Israel sangat tidak setia kepada-Nya kerana telah melakukan “penzinaan” melalui penyembahan berhala.

Tahukah kamu bagaimana TUHAN ingin menyampaikan isi hati-Nya kepada orang Israel yang tidak setia dan degil ini? Dia berfirman kepada nabi Hosea, “Kahwinlah dengan seorang perempuan yang suka pelacur; dan anak-anakmu juga akan menjadi seperti dia. Umat-Ku sama seperti isterimu itu; mereka tidak setia kepada-Ku dan telah meninggalkan Aku” (Hosea 1:2, BM). Wow! Bayangkan kamu mendengar firman seperti ini semasa kamu sedang bersuka-suka melayani internet! Sangat diluar jangkaan perintah TUHAN kepada Hosea!

TUHAN ingin menyampaikan perkhabaran kepada orang Israel dengan cara yang sangat mengejutkan sekali (Ini barulah, ‘Dahsyat luar biasa!’). Pada masa dulu, kehidupan seorang nabi seringkali diperhatikan oleh orang ramai – mereka ingin mendengar perkhabaran daripada TUHAN, walaupun mereka selalunya akan menolok perkhabaran itu sekiranya mereka tidak senang dengan isi kandungannya. Jadi, bayangkanlah reaksi mereka apabila mereka melihat Hosea, seorang nabi pergi ke tempat pelacuran dan membawa Gomer, seorang pelacur ke gereja (sebagai contoh) dan berkahwin dengannya. Ini bukanlah artis sensasi yang berkahwin, ini ialah seorang nabi berkahwin dengan pelacur!

Tidak lama kemudian Gomer mengandung dan melahirkan tiga orang anak. Kita tidak pasti samada anak-anak itu ialah dari Hosea atau tidak, namun yang pasti walaupun Hosea berusaha untuk menjadi seorang suami yang baik dan setia, Gomer, seorang pelacur yang tegar, telah lari bersama-sama dengan kekasihnya meninggalkan Hosea. Ini bukan drama Korea atau cerita cinta di TV3, ini ialah kisah cinta yang benar berlaku kepada TUHAN dan Hosea!

Ceritanya tidak berakhir begitu sahaja, TUHAN sekali lagi berfirman kepada Hosea untuk melakukan sesuatu yang diluar jangkaan kita manusia, Dia berkata, “Pergilah lagi dan cintailah seorang wanita yang suka berzina. Kasihilah dia seperti Aku mengasihi orang Israel, meskipun mereka telah meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan lain, serta suka mempersembahkan kuih kismis kepada berhala” (Hosea 3:1, BM). Jadi, Hosea membayar wang untuk mendapatkan Gomer semula, mendisiplinkan dia, mengasihi dia seperti sediakala, dan menjaga dia dengan penuh kasih sayang (untuk mengetahui kisah selanjutnya, bacalah kitab buku Hosea dalam Alkitab Perjanjian Lama).

Apakah mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Secara ringkas: TUHAN sangat mengasihi umat-Nya – orang Kristian yang menjadi umat-Nya melalui Yesus Kristus – dan walaupun kita melakukan kesilapan dan jatuh kedalam dosa, Dia ingin kita kembali kepada-Nya. Dia akan melakukan apa sahaja untuk memberikan kita peluang untuk datang kepada-Nya semula. Persoalannya, setelah membaca tentang pelanggaran dosa umat-Nya dan kisah cinta TUHAN kita, apakah respon kamu kepada kasih-kurnia-Nya?

Alkitab, sebuah buku yang bosan? No way bro!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]