Atena (atau “Athens”) dianggap sebagai tempat dimana Tamadun and Budaya Barat mula bertumbuh. Pada abad pertama ia
merupakan bandar yang termaju jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain
disekitarnya. Salah satu aktiviti masa lapang bagi orang Atena ialah mereka “suka menghabiskan
masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir”
(Kisah Rasul-Rasul 17:21, BM) - membincangkan idea-idea dan mendengar
desas-desus baru. Seperti menonton rancangan Melodi di TV3 setiap ahad tengah hari!
“Sementara
Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu
penuh dengan berhala” (Kisah
Rasul-Rasul 17:16). Di Atena, hampir setiap sesuatu dan setiap tempat mempunyai
berhala dan mazbah; pokok, rumah, tiang, patung-patung, tanah, angin, bulan,
bintang-bintang, matahari, api, dan sebagainya. Saya ada membaca penulis
sejarah mengatakan bahawa lebih banyak berhala berbanding dengan jumlah
penduduk di Atena! Ada juga sebuah mazbah yang bertuliskan “Kepada Allah yang
Tidak Dikenali” (“To the
Unknown God”, 17:23) kerana
mereka khuatir jika mereka ada tertinggal berhala yang patut disembah.
Paulus begitu tersentuh hati dengan kesesatan mereka dan tidak sanggup
membiarkan semua itu begitu sahaja. Dia mula bertindak dengan “berbincang dengan
orang Yahudi di rumah ibadat dan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah”
dan “berbincang
dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia”
(17:17). Paulus juga berdebat dengan
beberapa orang guru yang mengikut fahaman Epikuros and fahaman Stoa. Mereka tidak
tahu apa yang mereka harus lakukan kepada Paulus dan mesejnya. Adakah Paulus berlagak pandai? Adakah dia
gila? Adakah dia mahu memulakan agama dan ajaran yang baru? Mereka
bermesyuarat sepanjang hari di tempat yang dipanggil Areopagus – yang diberi
nama sempena dewa Ares yang merupakan dewa peperangan dan guruh bagi orang
Yunani.
Di Areopagus ramai orang berkumpul ingin mendengar Paulus berbicara tentang
“Yesus dan
tentang kebangkitan daripada kematian” (17:18) yang mereka anggap sebagai ajaran yang baru. Paulus tidak
takut dan gementar walaupun dia keseorangan dan orang asing di tempat itu,
malah dia lantang berbicara dihadapan orang ramai yang bijaksana dan
berpengetahuan tinggi. Paulus mempunyai kelebihan – dia mempunyai iman kepada Allah yang Benar. Secara kesimpulan,
Paulus menerangkan bahawa “Allah yang Tidak Dikenali” itu sebenarnya boleh
dikenali melalui “orang yang sudah dipilih-Nya” (17:31) iaitu Yesus Kristus. Dia ialah Allah Bapa bagi mereka yang
percaya kepada Anak-Nya, Yesus.
Mesej Berita Baik yang diisytiharkan oleh Paulus mendapat sabutan yang
berbeza. Ada yang mengolok-olokkan dia dan ada juga yang ingin mendengar dia
bercakap tentang hal itu sekali lagi. Ada yang datang hanya mendengar, ada yang
berfikir seketika kemudian pulang dan hanya segelintir daripada mereka membuka
hati mendengarnya. Ramai yang tidak peduli kerana mereka tidak percaya bahawa “Allah membangkitkan
[Yesus] daripada kematian” (17:31).
Selepas sekian lama Paulus berbicara dengan orang ramai hampir setiap hari,
mengalami banyak penolakkan, diketawakan oleh orang ramai, dan dipanggil
sebagai seorang yang berpengetahuan cetek dan berlagak pandai (17:18) – adakah dia seorang yang gagal? Adakah dia telah mensia-siakan tenaga,
masa dan peluang yang diberikan oleh TUHAN kepadanya? TIDAK! Ada orang yang
percaya! Halleluya! Lebih daripada dua orang! Firman Allah mengatakan ada “Beberapa orang
mengikuti Paulus dan percaya kepada Yesus [Saya tersenyum sekarang]. Antara mereka
termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama
Damaris serta beberapa orang lain” (Kisah Rasul-Rasul 17:34, BM).
Apakah mesej yang TUHAN ingin
sampaikan kepada kita sekarang? Ringkas dan sangat luar biasa: TUHAN tidak menyuruh kita memaksa orang untuk percaya kepada-Nya tetapi
mengutus kita untuk terus setia bersaksi bagi-Nya dan membiarkan Roh Allah
sendiri yang bekerja di dalam hati orang yang mendengar Berita Baik itu.
Paulus sedih dan tersentuh hati melihat banyak berhala disekelilingnya,
bagaimana dengan kamu? Paulus mempunyai beban terhadap orang yang sesat dan
tidak mengenal Allah yang benar, adakah kamu mempunyai beban itu? Paulus pergi
bersaksi di rumah ibadat, di tempat awam, dihadapan orang yang belum mengenal
Yesus – dimana sahaja dia berada – adakah kamu bersaksi bagi Dia setiap waktu
dimana sahaja? Paulus tidak takut malu, tidak gentar dengan orang yang mungkin
lebih berpengetahuan daripadanya dan tidak lari daripada persoalan orang ramai,
adakah kamu mempunyai keyakinan seperti itu? Mungkinkah “Dionisius” dan “Damaris” yang haus akan Kebenaran
itu ada disekeliling kamu sekarang?
Wahai pelajar Kristian di kolej
dan universiti,
Wahai pekerja kerajaan dan swasta
di Malaysia,
Wahai ibubapa, anak-anak,
pemimpin gereja, pastor, mekanik, pemungut sampah dan sebagainya,
Wahai kamu semua yang mengenal
Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu,
Bersaksilah bagi Allah Bapa yang
kamu kenal!
Ingat, walaupun seorang datang
kepada Yesus dalam pelayanan kamu
“di syurga ada
kegembiraan yang lebih besar
kerana seorang berdosa bertaubat” (Lukas 15:7, BM) Amen!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment