Realiti: Ramai pemimpin politik dan
pemimpin agama di Malaysia sekarang dikelilingi oleh pengikut-pengikut (atau
kuncu-kuncu) yang suka mengampu (untuk mendapat keuntungan) – bercakap sesuatu
yang indah-indah sahaja dan ‘positif’
untuk mengambil hati mereka yang mendengarnya. Mereka sanggup bercakap bohong
atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama mereka agar dapat
diterima oleh majoriti masyarakat. Bagi nabi TUHAN di dalam Alkitab yang
sebenar pula, ini tidak akan berlaku. Nabi
sebenar (apabila mereka diminta untuk menasihati raja) hanya mengkhabarkan Firman daripada Allah sahaja – yang baik
mahupun yang buruk. Jadi, apabila 400 nabi-nabi palsu berkata “Ya” and hanya seorang nabi sahaja yang
berkata “Tidak” contohnya, maka nabi
yang benar akan dibenci dan tidak disukai oleh orang ramai.
Ini yang
berlaku di dalam kitab 1 Raja-raja 22.
Pada masa itu, Israel dibahagikan kepada dua kerajaan: Yosafat ialah raja dari
kerajaan selatan manakala Ahab ialah raja dari kerajaan utara. Apabila raja
Ahab mencadangkan supaya kedua-dua kerajaan bergabung untuk menyerang kota
Ramot, Yosafat memberi respon kepada Ahab dengan berkata, “Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN
dahulu” (1 Raja-raja 22:5,
BM).
Oleh
itu, raja Ahab segera mengumpulkan lebih kurang 400 nabi-nabi untuk menasihati
dan bernubuat baginya. Semua mereka (mengampu!) berkata, “Seranglah. TUHAN akan memberikan kemenangan
kepada tuanku” (ayat 6).
Saya merasakan bahawa raja Ahab sekarang tersenyum lebar apabila mendengar
nubuat mereka. Semua mereka menyatakan ‘nubuat’
yang raja ingin dengar. Namun begitu, raja Yesafat seperti tidak selesa dengan
nubuat mereka itu dan bertanya sekiranya ada nabi lain yang boleh menanyakan
hal ini. Raja Ahab menjawab ada seorang lagi nabi yang sangat dibenci olehnya
kerana “dia tidak
pernah bernubuat tentang perkara yang baik... dia selalu bernubuat tentang hal
yang buruk” (ayat 8).
Nabi itu ialah Mikha anak Yimla.
Setelah
dipujuk (mungkin juga dihasut atau diugut) oleh pengawai raja untuk bersetuju
dengan nubuat nabi-nabi yang lain, Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa
saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan-Nya!” (ayat 14). Dan apabila menghadap
kedua-dua raja, nabi Mikha seperti menyindir raja Ahab dengan ‘bersetuju’ dengan nubuat nabi-nabi yang
lain. Mungkin raja Ahab mengetahui sindirannya dan mentitahkan Mikha untuk
berkata benar dihadapannya. Mikha dengan beraninya menjawab, “Inilah yang telah
berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuhanku berdusta kepada tuanku. Tetapi
TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!”
(ayat 23). Dengan kata lain, raja
Ahab akan mati dalam petempuran kerana TUHAN tidak menyertai dia.
Seperti
kebiasaannya juga, apabila pengampu-pengampu merasakan bahawa mereka ditentang
oleh kebenaran – mereka tidak berpuas hati (kembali kepada realiti di
Malaysia). Salah seorang daripada nabi-nabi palsu itu, Zedekia anak Kenaana,
datang menghampiri Mikha lalu menampar
pipinya! Zedekia mungkin boleh mencederakan hamba TUHAN, namun dia tidak mampu
menghalang Firman Allah daripada menjadi nyata. Kebenaran tidak boleh disorok
dan dihalang! Sementara Mikha dipenjarakan kerana bercakap benar, kedua-dua
raja pergi berperang. Akhirnya, walaupun raja Ahab menyamar menjadi askar
biasa, dia dicederakan oleh anak panah and mati dalam keadaan yang teruk
sekali. Maka, raja Ahab mati “seperti yang difirmankan TUHAN” (ayat 38). [Baca kitab 1 Raja-raja bab 22 di dalam Alkitab
Perjanjian Lama untuk mengetahui cerita yang lebih jelas lagi].
Apakah
mesej yang TUHAN ingin sampaikan kepada kita sekarang? Banyak, tetapi kita
hanya fokus kepada nabi Mikha. Mikha ialah seorang nabi dan hamba TUHAN yang
berani dan sanggup bertindak (walaupun sendirian) demi kebenaran. Dia bercakap
bukan kerana ego atau keyakinan pada diri sendiri atau mengamalkan sikap
berfikiran positif, tetapi dia “hanya mengatakan apa
yang difirmankan TUHAN,” iaitu, jika diaplikasikan kepada kita hari
ini – dia bercakap berdasarkan kebenaran
di dalam Firman Allah, (Alkitab) dan bertindak
sesuai dengan firman-Nya (dia sangat tegas, tetapi pada masa yang sama dia
menghormati raja dengan memanggil raja Ahab “tuanku” bukannya “hoi!”).
Dia tidak mudah hilang pegangan walaupun majoriti berkata sesuatu sebaliknya.
Dia sanggup mengambil risiko (dihasut, diugut, ditampar, dipenjarakan) demi
imannya kepada TUHAN.
Jika kamu membandingkan semua
ciri-ciri nabi Mikha yang dinyatakan dengan diri kamu:
Apakah perbezaannya? Apakah
persamaannya?
Apakah yang boleh kamu belajar
melalui cerita ini?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment