Beginilah contoh keadaan apabila pengkhutbah berkhutbah di luar rumah Tuhan dalam Perjanjian Baru. |
Pernahkah kamu menonton wayang
kemudian terpaksa keluar ke tandas pada saat-saat genting dan apabila kamu
kembali kamu mendapati telah terlepas babak yang penting? Atau, kamu pergi ke
kelas dan tiba-tiba ada ujian tentang subjek yang kamu terlupa baca semasa
mengulangkaji pelajaran? Inilah yang berlaku kepada seorang pengkhutbah bernama Apolos dalam Alkitab Perjanjian Baru – dia terlepas sesuatu yang sangat penting.
Priskila dan Akwila, pengikut Yesus tahu akan hal ini.
“Pada waktu itu
seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia
pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab [Perjanjian Lama]. Dia telah
mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan
dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui
baptisan yang diajar oleh Yohanes. Dengan berani Apolos mula berkata-kata di
rumah ibadat” (Kisah
Rasul-Rasul 18:24-26, BM).
Ada
diantara kita mempunyai kebolehan untuk menarik ramai pendengar. Kadang-kadang
saya berfikir alangkah baiknya jika orang seperti ini sanggup menjadi alat bagi
TUHAN untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus. Apabila Apolos datang ke
Efesus, Rasul Paulus baru sahaja meninggalkan daerah Galatia dan Frigia (18:23). Jadi, semasa ketiadaan Paulus,
Apolos mengambil alih dengan penuh bersemangat dan berani sekali mengkhabarkan
ajaran Yesus kepada jemaat di Efesus tetapi – dia tidak mengetahui hal
sepenuhnya tentang Yesus. Walaupun dia seorang yang “pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab,”
dia hanya “mengetahui
baptisan yang diajar oleh Yohanes [Pembaptis].” Dia berkhutbah
berdasarkan pengetahuan yang dalam tentang Perjanjian Lama, tentang ajaran
Yohanes and Yesus tetapi tidak tahu bahawa Mesias sudah datang.
Kebolehan
Apolos menarik minat Priskila dan Akwila yang datang mendengarnya. Mereka sedar
bahawa Apolos belum tahu lagi tentang perkara yang sebenar sepenuhnya.
Bayangkan Apolos berkhutbah di gereja, berbicara dengan penuh semangat,
mentafsir dan menerangkan Alkitab dengan tepat, menyeru orang ramai untuk
bertaubat kerana Mesias yang dikatakan dalam Perjanjian Lama akan digenapi dan
datang tidak lama lagi – tanpa menyedari bahawa Mesias (iaitu Yesus) sudah
datang ke dunia, mati di kayu salib, bangkit semula, diangkat ke syurga dan telah
mengutuskan Roh Kudus datang!
Oleh itu
Priskila dan Akwila “membawa dia ke rumah” untuk menerangkan hal yang
sebenar kepadanya. Bayangkan juga reaksi Apolos seorang yang sangat memahami
Alkitab mendengar tentang “penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi”
(18:26). Saya merasakan bahawa
apabila Apolos medengar Berita Baik ini dia bersukacita, dipenuhi dengan tenaga
dan semangat yang baru, lebih yakin dan berani kerana segala nubuat tentang
Mesias yang dia tahu dan ajar selama ini telah digenapi oleh Tuhan Yesus
Kristus! Apa yang berlaku seterusnya? “Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam
perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan
bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah” (18:28). Wow!
Apakah mesej yang TUHAN ingin
sampaikan kepada kita sekarang? Seperti Apolos, kadang-kadang kita sangat yakin dan
bersemangat untuk memberitakan Berita Baik kepada orang lain tanpa menyedari
bahawa kita belum mengetahui perkara yang sebenar sepenuhnya. Kebanyakkan kita
benar-benar (ikhlas) rindu untuk bersaksi kepada orang lain tetapi isi
kandungan perkongsian kita tidak lengkap. Kita
boleh tahu banyak perkara tentang
Yesus dan ajaran-Nya dan tidak menyedari bahawa kita belum mengenal Yesus Kristus secara peribadi – dan fakta-fakta tentang
kematian dan kebangkitan-Nya.(Sama seperti seorang Muslim yang selalu ingin
berdebat dengan saya melalui blog
ini). Tahu dan percayakah kamu bahawa “Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah”?
Kita
juga boleh belajar tentang keperibadian Apolos. Walaupun dia sangat
berkebolehan, pandai dan mengetahui isi kandungan Alkitab, dia seorang yang sangat rendah hati. Dia sanggup mendengar dan
belajar melalui orang lain. Dia tidak berkeberatan untuk menjadi murid walaupun
dia sendiri ialah seorang guru. Seorang pastor pernah berkata kepada saya, “Jika kamu ingin menjadi guru Alkitab yang
baik kepada pelajar-pelajar di universiti dan kampus, kamu harus menjadi murid
yang baik terlebih dahulu. Jadilah murid kepada Guru kamu, Yesus Kristus.”
Saya ingin menjadi seperti Apolos “sangat menolong orang dengan rahmat Allah, percaya kepada
Yesus” (18:27). Bagaimana
dengan kamu? Oh TUHAN Bapa, sekiranya kami belum mengetahui kebenaran sebenar
tentang Yesus Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah itu, hantarlah “Priskila dan Akwila”
untuk mengajar kami. Kami ingin merendahkan diri. Amin.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment