Thursday, December 13, 2012

Tanggungjawab Anak-anak kepada Ibubapa

Di dalam keluarga Kristian, kita mempunyai tanggungjawab masing-masing: ibubapa kepada anak-anak, anak-anak kepada ibubapa. Jika tanggungjawab ibubapa ialah mengasihi anak-anak mereka dengan sepenuh hati, anak-anak pun begitu juga. Kasih anak-anak kepada ibubapa, kasih yang lahir daripada kasih Tuhan Allah, akan mendorong anak-anak untuk – menghormati, menolong, dan mentaati – mereka. “’Hormatilah ibu bapamu’ adalah perintah pertama daripada Allah yang disertai janji: ‘supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi” (Efesus 6:2-3).


Jika kita membaca dan mempelajari Sepuluh Hukum Allah di Perjanjian Lama, hukum yang ke-5 (Keluaran 20:12) ialah hukum yang harus dipraktekkan oleh setiap anak-anak tanpa mengira umur. Anak-anak harus mentaati dan menjaga ibu bapa mereka. Tidak kesahlah berapa pun umur kita sekarang, kita seharusnya menghormati mereka yang telah Tuhan Allah pertanggungjawabkan untuk melahirkan kita ke dunia ini. Mereka yang telah menyediakan segala yang baik kepada kita.

Ingat setiap jasa ibu bapa kepada kita, jangan lupa. Bantu mereka dalam setiap perkara sebanyak yang boleh. Jika kamu masih tinggal bersama mereka, tolonglah mereka dengan melakukan kerja-kerja rumah, contohnya – mencuci pinggan mangkuk, mengemas bilik, membeli barang-barang keperluan rumah. Perkara yang praktikal. Jika kamu tidak lagi tinggal bersama mereka, lawati mereka sekerap yang mungkin dan luangkan masa kamu bersama mereka. Tidak susahkan? Jaga mereka apabila mereka sakit, bersama dengan mereka apabila mereka sedih, dan bantu mereka mengharungi hari tua.

[Jangan hantar mereka ke rumah orang-orang tua! Jika kamu masih sihat, jika kamu masih bernyawa, jika kamu masih lagi mempunyai kaki dan tangan, walaupun kamu hidup miskin, walaupun kamu terpaksa melupai cita-cita kamu untuk hidup mewah – jangan pernah tinggalkan mereka bersendirian! Mahukah kamu, apabila sudah tua kelak, ditinggalkan oleh anak-anak kamu sendiri?]

Rasul Paulus menulis, “Anak-anak, sebagai orang Kristian kamu wajib mentaati ibu bapa kamu, kerana hal itulah yang menyenangkan hati Allah” (Kolose 3:20) dan “hal itulah yang seharusnya kamu lakukan” (Efesus 6:1). Dengan belajar untuk mentaati mereka, kita juga belajar untuk mentaati Tuhan Allah. Ada tertulis, ketika Yesus berusia 12 tahun, Dia “pulang bersama [ibubapa-Nya] ke Nasaret dan taat kepada mereka” (Lukas 2:51). Kawan-kawan, kita mempunyai tanggungjawab daripada Tuhan Allah kepada ibubapa kita.

Hormatilah, tolonglah dan taatilah ibubapamu;
hal ini yang akan menyenangkan hati Allah
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

1 comment:

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]