Sunday, December 9, 2012

Budaya Duniawi dan Cara Hidup

Malaysia sekarang mengalami musim tengkujuh. Di Kuching hampir setiap petang hujan mesti turun. Tanpa kita sedari, cuaca mempengaruhi kehidupan dan aktiviti-aktiviti seharian kita. Suhu, cahaya, angin dan sebagainya mempengaruhi apa yang kita ingin buat, malah tentang pakaian jenis apa yang sesuai digunakan pada masa itu. Perubahan cuaca juga akan mempengaruhi sikap kita; jika cuaca mendung dan gelap, kita mungkin merasa tertekan ataupun cepat letih. Jika cuaca cerah dan terang, kita mungkin merasa sebaliknya – bertenaga dan lebih ceria. Ini selalunya apa yang akan berlaku sekiranya kita terlalu menyesuaikan diri kita dengan keadaan sekeliling.

Jadi apa yang kamu harus lakukan? Yang terbaik, pada pendapat saya ialah dengan membaharui cara kamu berfikir tentang keadaan sekeliling kamu. Secara praktikal, selain daripada aktiviti-aktiviti luar yang kamu ingin lakukan dan pakaian yang kamu akan pakai – jangan sesekali membiarkan cuaca atau keadaan sekeliling kamu mempengaruhi perasaan dan keputusan penting dalam kehidupan kamu.
............................
Begitu juga dengan budaya disekeliling kita. Seperti cuaca, budaya mempunyai impak yang sangat besar dalam kehidupan kamu dan saya. Budaya memainkan peranan yang penting dalam nilai, kepercayaan dan tindakan kamu seharian. Budaya duniawi disekeliling kamu mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan peribadi kamu; tekanan untuk menyesuaikan diri (‘conform’) dengan keadaan sekeliling, memcabar atau menentang cara kamu berfikir, dan malah ‘mengajak’ kamu untuk terus membiasakan diri dengannya (P.s: Saya merujuk kepada kebanyakkan budaya yang tidak baik disekeliling kita, BUKAN kepada semua budaya secara keseluruhannya).
Akhirnya, budaya duniawi ini (mungkin tanpa kamu sedari) telah memberi kesan kepada cara hidup kamu yang tidak memberikan kemuliaan kepada Tuhan Allah. Kamu mungkin sudah terlalu dipengaruhi oleh budaya duniawi dan meniru cara kehidupan yang tidak berkenan kepada Yesus Kristus...

Jadi, apa yang harus kamu lakukan? Kamu dan saya harus tahu tentang kehendak Allah. Dan untuk kita mengetahui kehendak-Nya, kita harus membiasakan diri dengan Firman-Nya, iaitu, Al-Kitab. Bukankah Tuhan Allah telah berFirman: “Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna” (Roma 12:2)? Untuk mengetahui kehendak-Nya, dan untuk tidak mengikuti kebiasaan dunia atau budaya duniawi – kita harus membiarkan “Allah membaharui cara kamu berfikir” – dan cara utama yang Tuhan Allah telah sediakan kepada kita ialah dengan membaca, memahami dan melakukan Firman-Nya.

Dengan Firman-Nya, Allah akan mengubah cara kita berfikir sesuai dengan kehendak-Nya dan sekali gus mengubah cara kita menghadapi budaya disekeliling kita. Dengan membaca dan melakukan Firman-Nya, kamu dan saya bukan sahaja tidak akan terpengaruh dengan budaya duniawi disekeliling kita, malah kita akan “bersinar di hadapan orang.. lalu [mereka akan] memuji Bapa yang di syuga” (Matius 5:16). Cara hidup kita akan memuliakan Allah Bapa dan Yesus Kristus Tuhan kita.
Bukankah ini lebih baik untuk diri kita sendiri dan menyenangkan hati Tuhan?

Jom membaca and melakukan Firman-Nya!
"biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir"
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

1 comment:

  1. Trima kasih bro. Ini sangat mendorong saya untuk membaca Firman Tuhan... Tp saya memang malas dan sering tiada masa untuk membaca Firman-Nya.. Sharing ini mendorong sangat-sangat bagi saya. Thks :D

    ReplyDelete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]