Kepada Graduan-Graduan baru khususnya,
Salam sejahtera.
Tuhan Allah mempunyai rencana bagi setiap kehidupan manusia, dan telah
memanggil setiap umat-Nya yang mahu mendengar-Nya dan mahu mentaati-Nya, ke
satu pekerjaan yang dapat memuliakan nama-Nya. Apa yang kita hanya perlu buat
ialah menjawab panggilan-Nya dengan membuat pilihan tentang pekerjaan kita.
Jika kamu masih belum lagi bekerja, saya menasihati agar kamu jangan terus terjun ke alam perkerjaan dengan
sambil lewa; memilih kerja yang ‘kebetulan’
ada kekosongan tanpa berfikir, atau terus memilih perkerjaan yang menawarkan
gaji yang lumayan dalam sekelip mata [Tapi, saya menggalakkan kamu bekerja separuh
masa sementara menunggu pekerjaan yang Tuhan panggil untuk kamu]. Cuba cari dahulu apa yang Tuhan Allah mahu
kamu lakukan. Mengikut pengalaman saya, hanya sesetengah pelajar
sahaja yang betul-betul pasti tentang apa yang dia akan lakukan selepas graduan
dari sekolah atau kolej atau universiti; bagi kebanyakkan pula – tidak pasti. Adakah
kamu begitu? Jangan risau, mungkin kamu masih lagi belum menjumpainya: terus mencari dan menunggu panggilan-Nya.
Terus terang saya katakan, tidak mudah untuk kamu mendapat tahu apakah
pekerjaan yang sesuai bagi kamu – yang Tuhan telah panggil bagi kamu, tapi
ianya tidak mustahil juga. Namun begitu, di sini ada beberapa cadangan
atau petunjuk yang mungkin dapat membantu kamu sebagai jalan untuk mencari
pekerjaan itu.
1.
Berdoa
Berdoa bukan hanya sekali dua, berdoalah setiap
hari (atau bila saja kamu berfikir tentang hal itu). Ini mungkin mengambil masa
yang agar lama, mungkin juga sekejap – tidak pasti bila. Apa yang kamu perlu
buat ialah melihat petunjuk yang Tuhan telah berikan kepada kamu. Dan sentiasa
berjaga-jaga (‘alert’), sensitif dengan pimpinan Roh Kudus.
2.
Mendapatkan Nasihat
daripada Orang Lain
Tuhan Allah kadang-kadang memimpin kita melalui
pengetahuan, kebijaksanaan, dan pengalaman orang lain; ibubapa, keluarga dan rakan-rakan
yang pakar atau mahir dalam bidang-bidang pekerjaan tertentu. Terima
nasihat daripada orang lain; tapi keputusan kamu mestilah pilihan kamu sendiri
(dan bukannya orang lain!).
3.
Lihat Bakat, Keupayaan
dan Kemahiran Kamu
Apa yang kamu boleh lakukan dengan bagus sekali? Lebih
bagus daripada yang lain? Bakat, keupayaan dan kemahiran yang kamu ada ialah
pemberian Tuhan kepada kamu – dan mungkin juga ianya berkaitan dengan pekerjaan
yang Dia telah rencanakan untuk kamu. Pertimbangkan setiap bakat yang kamu ada.
4.
Pertimbangkan juga Minat
Kamu
Apa yang kamu suka buat? Apa yang kamu betul-betul
seronok buat? Jangan tidak endah apa yang kamu minat sekarang, ianya mungkin
satu petujuk, arah jalan bagi pekerjaan yang sudah disediakan untuk kamu.
5.
Akhir sekali,
Pertimbangkan Keperluan Semasa (Sekeliling) Kamu
Apakah keperluan (‘need’) di sekitar kamu? “Dimana ada keperluan, disitu ada peluang”.
Tuhan selalunya (dalam kes saya sendiri) memanggil umat-Nya untuk bekerja di
sesuatu pekerjaan dengan membuatkan mereka sedar akan keperluan di sekeliling
mereka. Kadang-kadang keperluan itu berterusan, kadang-kadang berubah. Cuba
ambil kira keperluan masyarakat atau komuniti dengan sikap ingin berkhidmat
untuk orang lain.
Secara ideal, kita mahukan pekerjaan yang senang, tiada halangan dan bebas
untuk melakukan pekerjaan sesuai dengan panggilan-Nya. Namun begitu, kita harus
sedar bahawa kita sekarang hidup di dunia yang dicemari oleh dosa dan belum
sempurna lagi. Sesetengah daripada kita mungkin tidak selalunya bebas untuk
memilih pekerjaan, dan sentiasa bergantung kepada ekonomi semasa atau kekurangan
peluang untuk bekerja. Sesetengah orang pula terpaksa melakukan kerja secara mekanikal (maksud saya kerja yang
terlampau bergantung kepada rutin setiap masa), dan sesetengah orang pula melakukan
kerja yang merosakkan jiwa mereka – tiada sukacita.
Jadi bagaimana kita boleh bekerja mengikut panggil Tuhan di dunia yang
tidak sempurna dan penuh dengan dosa ini? Adakah ianya mungkin?
Secara ringkas; semasa Perjanjian
Baru mula-mula dahulu, kebanyakkan orang Kristian bekerja dengan
majikan-majikan asing semasa pemerintahan Roma. Percayalah, keadaan sekeliling
atau masyakat di situ memang tidak ideal! (sama juga seperti sekarang). Pun
begitu, Rasul Paulus terus menggesa orang-orang Kristian untuk terus bekerja
demi Yesus Kristus dalam setiap kehidupan seharian mereka. Dia menulis, “Lakukan semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu
melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia” (Kolose 3:23)
Seperti dulu, kita sekarang juga perlu mentaai Firman Tuhan dengan bekerja
untuk kemuliaan Tuhan Yesus. Carilah jalan (dengan pimpinan Roh Kudus) untuk
mengubah setiap perkerjaan yang akan (atau telah) kamu lakukan sebagai satu
peluang untuk menyembah dan
berkerja bagi Tuhan Allah kita. Bukankah Yesus sendiri yang mengatakan:
“Hendaklah cahaya kamu bersinar di hadapan orang, supaya mereka
melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji
Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:16)? Ini ialah rencana-Nya
dalam setiap kehidupan manusia, termasuk juga dalam pekerjaan kamu nanti –
supaya semua orang memuji-Nya melalui pekerjaan kamu.
Semoga Tuhan Allah menyertai kamu. Amen.
Richard Angelus
Selamat mencari Pekerjaan di luar
sana!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment