Monday, December 24, 2012

Misteri tentang Kelahiran Yesus (dan Selamat Hari Krismas)

Oleh itu, Pilatus bertanya kepada-Nya, ‘Jika demikian, adakah kamu ini raja?’
Yesus menjawab, ‘Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku” (Yohanes 18:37)

Ini gambar sahaja.
Saya rasa bayi Yesus tidaklah bersinar begini.
Dia datang sebagai manusia - bukan makhluk ajaib!

Pagi ini saya membaca dan merenung Firman ini. Firman ini sangat memberkati dan sungguh memberi semangat kepada saya sebelum menyambut hari perayaan Krismas esok (walaupun teks ini datangnya dari riwayat terakhir Yesus di dunia, bukannya semasa kelahiran-Nya).

Keunikkan kelahiran Yesus ialah Dia tidak ‘wujud’ atau ‘diadakan’ semasa kelahiran-Nya. Dia sudah ada, sentiasa ada, sebelum Dia dilahirkan di Betlehem. Personaliti, keperibadian dan diri Yesus Kristus sudah ada sebelum Yesus datang sebagai manusia.

Ayat teologi untuk misteri agung ini ialah bukan ‘kejadian’ (creation) tetapi ‘penjelmaan’ (incarnation) [Nota: Tiada ayat dalam Bahasa Malaysia yang sesuai untuk menyatakan maksud ‘Incarnation’ dalam erti istilah Teologi Kristian dengan lebih tepat. Maka, saya menggunakan ayat ‘Penjelmaan’. Saya sungguh kecewa]. Diri Yesus, bukan badan fizikal-Nya, tetapi inti pati diri ketuhanan Yesus telah wujud (sentiasa wujud) sebelum Dia dilahirkan sebagai manusia. Kelahiran-Nya di dunia tidak ‘menjadikan’ Yesus sebagai makhluk baru, tetapi Yesus yang lahir lebih kurang 2,000 tahun dahulu ialah Yesus yang pernah ada sejak zaman purba.

Jika kamu membuka (okay... selepas menyapu habuk) Al-Kitab kamu ke Mikha 5:1, kamu akan mendapati bahawa Tuhan Allah sudah pun menceritakan kepada nabi Mikha tentang kedatangan Yesus sebelum Dia datang ke dunia 700 tahun kemudian:
Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.”

Misteri agung tentang kelahiran Yesus bukan hanya terletak pada kelahiran-Nya oleh perawan Maria. Mukjizat itu dijadikan oleh Tuhan Allah untuk memberi saksi kepada satu lagi mukjizat yang lebih hebat – iaitu, bayi yang lahir di Betlehem itu ialah seorang yang pernah ada “bermula dari zaman purba”. Oleh itu, Dia “dilahirkan dan datang ke dunia” untuk “berkata tentang apa yang benar”. Kebenaran tentang apa? Yohanes 14:6:

Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.”

Bagaimana ini mungkin terjadi? Ini kerana Yesus dan Bapa adalah satu. Dia sudah ada dan bersama dengan Bapa “bermula [dari] zaman purba”. Maksudnya, Dia pernah ada dan sentiasa akan ada. Inilah kebenarannya – Percayakah kamu?

Selamat menyambut hari Krismas!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]