Yesus berfirman: “Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang,
seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu
gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah
keadaannya!” (Matius 6:22-23, AVB). Apa yang
kamu lihat di dalam diri kamu sendiri - gambaran-diri - akan mempengaruhi
fikiran, emosi dan sikap kamu sendiri dan orang lain.
Jika kamu melihat diri
kamu sebagai seorang yang kurang menarik, tidak bernasib baik dan selalu gagal,
maka, gambaran itu akan direalisasikan di dalam kehidupan kamu. Walaupun
gambaran-diri kamu itu tidak semestinya benar, kamu akan mengiyakannya. Saya
ada seorang kawan perempuan yang cantik, tetapi dia selalu berkata kepada kami
semua, "Tidak ada orang yang minat
dengan saya..." Walaupun ramai yang cuba untuk memikat dia, dia tidak
pernah mencapai kesimpulan bahawa dia sebenarnya seorang yang menarik. Mata dia
"kabur." Sebelum menghadapi
peperiksaan, seorang pelajar berkata, "Saya
akan gagal lagi..." Kamu tahu? Iya menjadi kenyataan sebelum iya
terjadi.
"Mata ialah pelita tubuh." "Mata" ini mesti merujuk kepada mata rohani. Jika kamu melihat
diri kamu dengan menggunakan mata rohani, kamu akan melihat gambaran-diri yang
berbeza. Yesus Kristus sudah mati dan bangkit semula bagi kamu (dan saya) dan
menjadikan kita semua sebagai anak-anak Tuhan. Lihat diri kamu sendiri melalui
perspektif ini. Lihat diri kamu diberkati oleh Allah dan memberkati orang lain;
lihat diri kamu dikasihi oleh Allah dan mengasihi orang lain; lihat diri kamu
bersukacita dan kamu akan melayani orang lain dengan sukacita.
Saya dan seorang kawan saya
bernama Julai selalu membuat lawak dan berkata begini bila memperkenalkan diri:
"Saya seorang yang tampan!"
Bagi orang yang tidak mengenali kami, mereka mungkin menyangka bahawa kami
sangat perasan (ada betulnya...). Tetapi ayat itu (sekurang-kurangnya bagi
saya), sebenarnya dapat membangkitkan rasa yakin dan menghilangkan perasaan
resah. Ada kalanya saya akan berkata kepada diri sendiri, "Saya ialah anak Tuhan"; " Saya
berkenan di hadapan Allah"; "Saya boleh melakukan segalanya melalui
Kristus yang memberikan kekuatan" (Filipi 4:13). Gambaran-diri sebegini akan membuka ruang untuk berkat dan kurnia TUHAN
melimpah di dalam hidupmu.
Konteks Matius 6:22-23 ini
ialah tentang menjadi hamba Allah atau hamba kekayaan. "Jika matamu kabur", kamu akan
melihat bahawa menjadi hamba kekayaan itu baik (walaupun sebenarnya iya membawa
kegelapan). "Jika matamu terang",
kamu akan melihat bahawa menjadi hamba Allah itu baik. Dan ini yang kamu perlu
tahu juga: Di dalam Kristus, kita bukan hanya dipanggil hamba-hamba Allah, tetapi
juga anak-anak Allah. Berdoa supaya mata rohani kamu melihat realiti ini juga!
Kawan, gambaran-diri kamu juga akan berubah! Pasti!
Instagram --------> Richard_Angelus
Blog -> richardangelus.blogspot.my
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment