Sunday, December 16, 2018

Angelus' Quote: Ketikaku Bertindak Mukjizat Itu Nyata


Saya paling jarang mendengar lagu-lagu rohani Kristian, bukan genre kegemaran saya, tetapi semasa di gereja saya akan menyanyikannya. Satu lagu yang saya agak suka ialah 'Mukjizat itu Nyata', korus: "Di saatku tak berdaya, kuasa-Mu yang sempurna; ketikaku percaya, mukjizat itu nyata; bukan kar'na kekuatan, namun Roh-Mu ya TUHAN; ketikaku berdoa, mukjizat itu nyata."

Ketika kita percaya, ketika kita berdoa, mukjizat itu nyata. Lagu ini bukan Firman Alkitab tetapi ia sebuah lagu yang Alkitabiah. Oleh itu, saya ingin menambah: mukjizat (juga) nyata atau berlaku apabila kita bertindak. Mukjizat terjadi bila kita meminta. Mukjizat bermula bila kita melangkah. Pertolongan TUHAN itu dekat dan sentiasa ada, tetapi ia hanya akan dikurniakan ketika kita mencari-Nya. Mungkin mukjizat yang Allah beri tidak semestinya akan melepaskan kita daripada masalah tetapi Dia akan memberikan kita kekuatan untuk melaluinya dan jalan keluar daripada masalah itu. Apa yang penting ialah kita harus bertindak. Tidak ada apa-apa yang akan berlaku jika kita hanya berasa kasihan terhadap diri sendiri dan tidak melakukan apa-apa.

TUHAN berkenan bila iman kita radikal dan sanggup mengambil risiko (bertindak). Bila Nabi Nuh membina bahtera, nyawa diselamatkan. Bila Yosua dan para askar berkawat, benteng Yerikho runtuh. Bila Musa mengangkatkan tongkatnya, laut terbelah dua. Bila seorang budak mengongsikan apa yang dia ada, 5,000 orang juga diberkati. Bila seorang wanita menyentuh jubah Yesus, Dia berhenti dan memberi perhatian. "Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu" (Lukas 8:48). Iman wanita itu kepada Yesus hanya dalaman sahaja jika dia tidak bertindak untuk melakukan sesuatu. Apabila dia bertindak untuk menyentuh jubah Yesus, barulah keadaan luarannya pulih. Iman tanpa perbuatan itu sia-sia. Tetapi, iman + perbuatan = mukjizat!

Ramai orang percaya tetapi mukjizat tidak terjadi. Ramai orang berdoa tetapi mukjizat tidak nyata. Setiap pagi Ahad pasti ramai orang percaya dan berdoa untuk mukjizat, tetapi kenapa pada hari Isnin dan hari-hari seterusnya (99%) kehidupan mereka seperti hari-hari biasa? Kenapa? Kerana mukjizat terjadi hanya bila [selepas percaya dan berdoa] kita bertindak! Jadi, adakah kamu mengingini mukjizat terjadi di dalam kehidupan kamu? Soalannya... Apakah tindakan yang akan kamu buat? Ingat, ketika kamu bertindak, mukjizat itu nyata!

Instagram -> Richard_Angelus

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]