Thursday, January 22, 2015

Memiliki Keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih (Renungan tentang 1 Yahya 1:3)


Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar,
supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami.
Sesungguhnya kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih
(1 Yahya 1:3, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Tujuan rasul Yahya menulis tentang Isa ialah kerana dia ingin supaya setiap orang datang kepada-Nya untuk memilikihidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya, Isa al-Masih.” Persaudaraan (koinonia) bermaksud persekutuan dan perkongsian. Lebih daripada perhubungan sosial yang biasa-biasa, “bersaudara” di sini bererti hubungan-perkongsian yang akrab diantara dua atau lebih orang. Pada asalnya, ia menggambarkan hubungan perniagaan dimana beberapa orang bekerjasama dengan satu sama lain, seperti rasul Yahya dengan abangnya Yakobus bersama Petrus dan Andreas dalam perniagaan menangkap ikan (Sebelum mereka dipanggil oleh Isa, mereka adalah para nelayan. Rujuk Lukas 5:1-11). Mereka menebarkan jala bersama, mereka menaikkan ikan bersama, mereka berkongsi hasil perolehan bersama, mereka berhadapan dengan ribut dan hujan bersama. Hubungan seperti inilah yang dimaksudkan dengan “hidup dalam keakraban” bersama Isa al-Masih.

Bersaudara” bermaksud kita mempunyai hubungan-perkongsian dengan Isa. Kita berkongsi kehidupan kita dengan Dia, Dia dengan kita, kamu dan saya. Melalui Isa al-Masih kita telah memasuki hubungan yang sangat intim dengan Bapa dan Roh Suci. Ini sangat luar biasa! Sebagai orang-orang berdosa, kita tidak mempunyai apa-apa yang membolehkan kita mempunyai hubungan dengan Allah Yang Maha Suci. Bahkan, kita tidak layak untuk berdiri dihadapan-Nya kerana dosa kita yang sangat besar. Tetapi, Allah Bapa sudah melakukan sesuatu yang indah buat kita, “darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa” (1 Yahya 1:7). Melalui Isa al-Masih kita dapat mempunyai hubungan yang intim dengan Allah Yang Maha Suci! Kerana Isa benar-benar mati di kayu salib bagi dosa kita semua, kita boleh datang dekat kepada Allah bila-bila masa, ketika dan dimana saja kita berada. Kita boleh mengenal Allah secara peribadi!

Dengan menjadi manusia, Isa menanggung segala dosa kita di kayu salib. Jika Isa datang sebagai “Yang Suci dari Allah” (Markus 1:24), dosa-dosa kita tidak boleh ditanggung-Nya kerana Dia suci. Oleh itu, Dia menjadi manusia. Firman Allah ada tertulis: “[Isa al-Masih] menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk kebenaran” (1 Petrus 2:24). Dia datang ke dunia supaya kita boleh pergi ke syurga. Dia dilahirkan oleh seorang dara melalui kuasa Roh Suci supaya kita boleh dilahirkan semula melalui Roh Suci-Nya. Dia menjadi Putera Insan supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. Melalui iman kita kepada Isa Al-Masih, kita “akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah” (2 Petrus 1:4), “kita menjadi benar di hadapan Allah” (2 Korintus 5:21), “dikasihi oleh Bapa” (Yahya 14:21), kesejahteraan-Nya akan ditinggalkan bagi kita (Yahya 14:27), kita akan tetap dalam kasih-Nya (Yahya 15:10) dan kebahagiaan-Nya ada dalam kita (Yahya 15:11). Ini sangat luar biasa!

Kita memiliki semua ini bersama kerana kita “bersaudara” dalam Isa al-Masih.
Inilah yang dimaksudkan dengan “keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih
Adakah kamu mempunyai hubungan-perkongsian seperti ini dengan TUHAN kamu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]