Thursday, January 15, 2015

Refleksi tentang Pengganas ISIS: Pergi, Menukar Agama atau Mati?


Pengganas-pengganas ISIS di Iraq, sedang mereka menakluki banyak lagi kawasan, telah membuat ramai orang Kristian dan orang bukan Islam (malah orang Islam sendiri yang tidak bersependapat dengan mereka) terpaksa membuat keputusan samada untuk meninggalkan kawasan mereka atau memasuki Islam secara paksa atau mati dibunuh dengan kejam. Pada hari ini ramai orang di dunia terkejut dan takut kerana mereka menyangka bahawa tindakkan untuk menukar agama melalui pedang adalah sesuatu perkara yang lepas. Mereka sudah silap. Bagi kita yang tahu perkembangan isu semasa tentang pemahaman radikal Islam (merujuk kepada istilah ‘radikal’ yang negatif) dan tentang tindakkan pengganas yang kejam, ini sudah menjadi perkara biasa – tidak mengejutkan kita.  Dan bagi orang Kristian yang mengkaji Alkitab, kita seharusnya sudah tahu bahawa ini akan terjadi.

Tuhan Yesus Kristus sendiri sudah memberi amaran: “Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa and dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku” (Matius 24:9, BM); “Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan kamu kerana Aku” (Lukas 6:22); “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu” (Yohanes 15:18).

Rasul-rasul Yesus juga menulis: “Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya” (2 Timotius 3:12); “Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa” (1 Petrus 4:12); “Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu” (1 Yohanes 3:13).

Akan ada masanya nanti bila dunia akan membenci dan menganiaya semua pengikut Kristus yang benar. Ianya tidak akan terhad kepada mereka yang tinggal di tempat negara-negara pengganas, malahan juga kota-kota kecil yang namanya tidak pernah kita peduli selama ini. Keganasan dan penganiayaan lambat-laun akan berlaku – mahu ataupun tidak – di tempat kita sendiri. Saya tidak pasti samada orang Kristian sudah bersedia untuk perkara seperti ini. Saya berharap ramai diantara kita sudah bersedia. Masanya akan tiba. Adakah kita akan lari meninggalkan tempat ini atau menjual iman kita atau terus mempertahankan iman kita walaupun ianya akan membawa kepada kematian. Ini persoalan saya.

Orang Kristian di negara barat sudah semakin lemah. Kebanyakkan mereka sekarang mendefinasikan dan memperkecilkan maksud “kasih” sebagai “toleransi” terhadap apa saja termasuk ajaran sesat, palsu dan menyeleweng. Orang Kristian di Asia terutamanya dan di dunia khususnya harus bersatu dan bersedia untuk mempertahankan iman kita dengan kasih Kristus. Kasih yang benar harus diberitakan dan dipertahankan pada masa yang sama. Tragedi yang terjadi kepada saudara-saudari Kristus kita yang mengalami penderitaan di tangan kumpulan pengganas ISIS harus menjadi siren untuk kita bangkit semula dan bangun daripada tidur rohani kita! Kita harus berdoa untuk mereka dan bersedia jika ada apa-apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka. Tetapi, kita juga harus sedar bahawa apa yang terjadi kepada mereka akan terjadi kepada kita suatu hari nanti.

Saya tidak bertanya adakah kamu bersedia dengan senjata dan alat perang kamu; saya bertanya, “Adakah kita sedia untuk meninggalkan tempat asal kita atau sedia untuk menukar agama dengan menjual iman yang hidup kepada yang lain atau sedia untuk dianiaya yang mungkin membawa kepada kematian kerana Yesus?” Apakah keputusan yang kita akan buat? Meninggalkan tempat asal kita mungkin satu keputusan yang harus dibuat. Berdiri teguh dan sanggup mati demi iman kepada Yesus juga satu keputusan yang mungkin kita harus ambil (Begitu sukar… saya tidak dapat bayangkan). Bertukar agama juga satu keputusan yang mungkin akan dibuat, tetapi ini menunjukkan bahawa orang itu tidak pernah menjadi pengikut Kristus yang sebenar. Ada satu lagi pilihan yang boleh dibuat, iaitu, melawan balik. Tetapi di dalam Alkitab Yesus secara peribadi dan dalam ajaran-Nya tidak pernah melawan balik musuh. (Dia akan menghakimi pada Akhir Zaman setiap tindakkan orang yang melakukan kesalahan setimpal dengan perbuatan mereka) Secara manusiawi saya ingin melawan balik, tetapi Yesus tidak mengajar begitu. Oleh itu, Tuhan Yesus, Engkau kuatkanlah kami yang lemah ini!

Namun begitu, saya optimis bahawa penganiayaan yang berlaku di Iraq pasti telah membawa ramai lagi orang untuk mencari kebenaran dan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Memang tidak mudah untuk saya berkata begini kerana ramai penduduk Iraq dan orang-orang disekeliling mereka bukan hanya dianiaya dan dibunuh, malah, ada diantara mereka disembelih, dipenggal dan digantung seperti daging yang dijual di pasar. Semuanya dilakukan atas nama “TUHAN.” Apa yang berlaku sekarang tidak ada bezanya dengan sejarah dahulu. Oleh itu, ini juga yang berlaku sekarang: Sejarah membuktikan bahawa apabila orang Kristian dianiaya, Berita Baik akan cepat lagi tersebar dan ramai lagi orang akan menerima kebenaran tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Kenapa ini berlaku? Saya berkata demikian kerana penganiayaan “memaksa” kita untuk mencari kebenaran dan memberi fokus kepada kita tentang apa yang terutama di dalam hidup ini. Membayangkan pisau atau senapang diacukan di atas kepala kita akan menyebabkan kita fokus kepada apa yang penting sekali. Yesus. Yesus. Yesus.

Wahai saudara-saudari Kristus yang saya kasihi sekalian, jika menjadi seorang Kristian, iaitu, pengikut Kristus yang benar akan mengakibatkan nyawa kita terancam, jadi, adalah lebih baik (malah tindakkan yang bijak) sekiranya kita hidup untuk Tuhan Yesus Kristus. “Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati” (Matius 10:39). Jika mengikut Yesus bermaksud kita harus pergi ke kayu salib, maka kita harus memberitakan Berita Baik tentang kematian dan kebangkitan-Nya dengan seluruh kehidupan kita. Jika ada orang yang ingin membunuh kita kerana kita seorang Kristian, maka mereka tidak perlu bertanya atau ragu-ragu samada kita adalah benar-benar Kristian atau tidak. Roh Kudus menyertai kamu. Amen.

Senang untuk saya menulis, tetapi sama-samalah kita merenungkannya.
[Jika saya ditahan oleh polis kerana menulis artikel ini, tolong ikat jamin saya okay?]
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]