Saturday, January 24, 2015

Allah itu Cahaya (Renungan tentang 1 Yahya 1:5)

Simon Petrus, seorang nelayan
Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu:
Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya
(1 Yahya 1:5, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)

Rasul Yahya memulakan perutusannya dengan mengkhabarkan tentang kesucian Allah. Selagi kita tidak melihat kesempurnaan-Nya, kita tidak mungkin akan sedar tentang dosa kita. Gambaran bahawa “Allah itu cahaya” sangatlah mendalam maksudnya. Seperti cahaya, suci, sempurna dan tiada kegelapan, Allah itu suci, murni, sempurna dan tiada cacat cela. Oleh itu, kesucian Allah akan menjadi ukuran bagi Dia menghakimi setiap kita kelak. “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci” (Imamat 11:44, 1 Petrus 1:16) Dan Isa juga berkata, “Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga” (Matius 5:48). Hanya kerana Isa mati bagi dosa kita barulah kita sempurna dihadapan-Nya. Terima kasih Bapa!

Rasul Petrus yang dahulunya seorang nelayan pernah melihat (hanya) sebahagian daripada kesucian Allah ini di tasik Genesaret. Selepas semalaman tidak mendapat apa-apa tangkapan, Isa menyuruh dia menolak perahu ke air yang dalam dan menebarkan jalanya. Petrus pada mulanya memberi alasan dan kemudian berkata, “…tetapi, kerana Engkau menyuruh, aku akan menebarkan jala.” Setelah menebar jala, dia dan rakan-rakan kongsinya menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak. Mereka yang lain pun datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu mereka dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam. Kemudian, “apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, ‘Tinggalkan hamba, Ya Junjungan kerana hamba seorang yang berdosa!’” (Lukas 5:8). Petrus berlutut di hadapan Isa, Isa tidak menolak penyembahannya. Petrus berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!” (BM), Isa tidak menyangkal kata-katanya kerana ia benar.

Seperti nabi Yesaya yang melihat kemuliaan Allah berkata kepada dirinya, “Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga” (Yesaya 6:5, BM) – rasul Petrus juga sedar akan dosanya apabila berhadapan dengan kesucian Isa. Mukjizat yang dilakukan Isa sangatlah luar biasa. Nelayan yang berpengalaman seperti Petrus tidak mendapat seekor ikan pun, tetapi apabila seorang yang dikenali sebagai tukang kayu melakukan mukjizat – seperti Allah mengarahkan ikan-ikan masuk ke jala! – ini bukanlah seorang yang biasa-biasa, Dia ialah Tuhan. Kesucian Isa al-Masih memancar seperti cahaya dan segala dosa-dosa kegelapan Petrus dinampakkan dihadapan-Nya. “Allah itu cahaya,” oleh itu dia berkata “Hamba seorang berdosa.”

Apabila kita datang kepada Isa al-Masih, berhadapan dengan Dia, kita juga akan melihat dosa-dosa kita dengan jelas sekali. Adalah penting bagi kita sedar dahulu bahawa “Allah itu cahaya” kerana apabila kita tahu bahawa Allah itu suci dan kita berdosa, kita takut akan Dia. Kemudian apabila kita mengenal Dia secara peribadi, kita sedar juga bahawa “Allah itu kasih” (1 Yahya 4:8). Jadi hubungan kita dengan Bapa dan Isa al-Masih adalah hubungan kasih dan hormat akan kesucian-Nya. Rasul Yahya menulis tentang Isa: “Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah” (Yahya 3:19-21).

Inilah sebabnya kenapa orang membenci dan mengasihi Isa.
Allah itu cahaya” jadi kegelapan membenci-Nya.
Allah itu cahaya” jadi orang yang mencari kebenaran akan menjumpai dan mengasihi-Nya.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]