Wednesday, January 21, 2015

Isa al-Masih ialah Hidup Itu (Renungan tentang 1 Yahya 1:2)

Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Akulah Roti Hidup itu" (Yahya 6:35)
Walaupun kita tidak pernah melihat sendiri Isa al-Masih seperti rasul Yahya, namun Isa menampakkan dirinya melalui kesaksian Yahya kepada kita. Rasul itu menulis:

Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami sentuh dengan tangan – itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup. Hidup itu telah ditunjukkan; kami telah melihat, dan memberi kesaksian, serta memberitahumu tentang hidup kekal bersama Bapa yang telah ditunjukkan kepada kami
(1 Yahya 1:1-2, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil).

Hidup itu” merujuk kepada keperibadian Isa yang tidak pernah dirahsiakan kepada sesiapapun, malah ditunjukkan kepada semua orang. Rasul Yahya sendiri telah menulis kitab Injil, kitab Wahyu, dan surat-surat supaya “hidup itu” diketahui oleh kita semua. Dia menulis dengan penuh dedikasi, tepat dan benar melalui apa yang dia sendiri telah lihat, dengar dan sentuh. Apabila Yahya menulis “kesaksian” ini bermaksud dia ialah saksi mata yang melihat sendiri keperibadian Isa al-Masih sebagai Putera Allah secara peribadi, bukan melalui perantaraan orang lain.

Sebagai Firman yang memberi kehidupan, Isa datang untuk menyatakan tentang kehidupan yang sebenar. Isa ingin memberi kita “hidup kekal bersama Bapa.” Isa sendiri berkata: “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudahpun melihat-Nya” (Yahya 14:6-7). Dia ialah “hidup,” dialah pencipta segala kehidupan, dialah juga yang memelihara hidup itu.  

Lagi, selepas Isa bercerita tentang seorang gembala yang baik, dia memberi kesimpulan dengan berkata, “Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah” (Yahya 10:10). Tanpa Isa al-Masih, Putera Allah kehidupan kita kosong, tidak bermakna dan tiada tujuan. Kita mungkin bernyawa tetapi tidak mempunyai kehidupan yang sebenar. Oleh itu, Isa datang untuk memberi hidup kepada kita. Mengenal Isa secara peribadi dan mempunyai hubungan dengan Bapa melalui Putera Allah bermaksud kita mempunyai “hidup kekal.” Isa berfirman, “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan Yang Benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus” (Yahya 17:3, KSZI).

Adakah kamu mempunyai hidup itu?
Mahukah kamu memiliki hidup kekal?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]