“Sekiranya kita
mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita
melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran”
(1 Yahya 1:6, KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)
Jika seseorang mengatakan bahawa dia seorang Kristian
tetapi tidak melakukan apa-apa tentang dosanya, maka kata Rasul Yahya, dia
seorang yang belum menerima keselamatan daripada Allah lagi. Dia tidak memiliki “keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih” (1:3).
Dalam percakapan, mereka mendakwa bahawa mereka orang Kristian, tetapi
sebenarnya mereka masih lagi hidup dalam kegelapan. Sekiranya mereka tidak
mentaati Bapa dan ada lagi dosa yang tidak diakui, maka mereka masih lagi
sesat. Oleh kerana mereka hidup dalam kegelapan, mereka tidak dapat melihat
dosa mereka sendiri dan tidak sedar bahawa mereka sebenarnya jauh dari-Nya.
Kegelapan telah membutakan mereka tentang realiti dan keadaan sebenar mereka.
Jika kita tidak berjalan
dalam kebenaran dan cahaya Allah, maka ianya jelas menunjukkan yang kita
sebenarnya belum percaya sepenuhnya kepada Isa al-Masih. Jika kesaksian dan
kelakuan kita tidak sama dengan percakapan kita, maka pengakuan kita adalah dusta.
Mereka yang benar-benar telah diubah oleh Allah pula
akan menunjukkan bukti tentang kebenaran itu dalam kehidupan mereka. Mereka berjalan dalam terang cahaya Allah (1:5) dan
ini membolehkan mereka melihat dosa sendiri dihadapan-Nya. Kesedaran dan
pengetahuan tentang dosa inilah yang membimbing mereka kepada Isa supaya Dia
boleh menyucikan mereka daripada kegelapan. Rasul Yahya menulis: “Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud
dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain,
dan darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa” (1
Yahya 1:7).
Berjalan dalam cahaya
Allah bermaksud carahidup dan kekudusan keperibadian kita dipimpin oleh-Nya.
Gambaran “berjalan” atau “melangkah” disini menujukkan bahawa ianya merupakan
suatu proses yang mengambil masa. Ianya memberi gambaran tentang pergerakkan,
tujuan, sikap dan pemikiran kita. Berjalan
dalam cahaya Allah menggambarkan seseorang yang hidup dalam kebenaran dan
kekudusan-Nya. Sentiasa dan konsisten. Saya tidak bermaksud bahawa kehidupan
kita mesti sempurna, tetapi tujuan, keinginan
dan hala tuju hati dan pemikiran kita harus tertumpu kepada Isa al-Masih.
Berjalan dalam cahaya maka kegelapan akan dinampakkan.
Dosa yang dilihat dan diketahui akan membawa kepada
pengakuan.
Pengakuan dosa akan menerima pengampunan.
Darah Isa akan menyucikan kita daripada segala dosa.
Oleh itu, berjalanlah dalam cahaya, kebenaran dan
kekudusan-Nya.
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment