Gambaran pelukis |
“Kami menulis tentang
segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna”
(1 Yahya 1:4,
KSZI, Kitab Suci Zabur dan Injil)
Dengan penuh sukacita di
hatinya, rasul Yahya menulis surat ini supaya kebahagiaan yang dimilikinya
dapat dikongsikan dengan orang lain yang ingin mengenal al-Masih. Kebahagiaan yang paling indah sekali di
dunia ini ialah memiliki keakraban dan kesatuan dengan Isa al-Masih.
Kebahagiaan yang kedua terindah ialah melihat orang lain datang kepada-Nya.
Inilah apa yang dimaksudkan dengan “kebahagiaanmu
sempurna.” Kebahagiaan dalam mengenal Isa al-Masih, kebahagiaan
kerana mengetahui bahawa dosa kita sudah diampuni, kebahagiaan kerana mentaati
Allah, kebahagiaan dalam mengasihi satu sama lain, kebahagiaan dalam kebenaran,
kebahagiaan di dalam penganiayaan kerana nama-Nya, dan kebahagiaan dalam doa
yang dijawab oleh Allah.
Kamu dan saya tidak akan mengenal kebahagiaan yang
sebenar jika kita tidak mengenal Isa al-Masih. Isa ialah sumber segala kebahagiaan, hanya Dia yang boleh memenuhi
setiap hati kita. Melalui kesatuan dengan-Nya, hidup kita akan dipenuhi dengan
hadirat-Nya, dan sukacita Dia akan melimpah di dalam hati kita. Isa ingin
supaya “kebahagiaan-Ku ada dalam
dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu” (Yahya 15:11). Penulis mazmur
juga berkata: “hadirat-Mu menggembirakan
aku, dan sentiasa membahagiakan aku” (Mazmur 16:11, BM).
Bagi saya, kebahagiaan sempurna hanya dapat dialami sekiranya kita benar-benar pasti tentang keselamatan kita. Tidak akan ada sukacita yang benar sekiranya kita
tidak pasti tentang destinasi kehidupan kita selepas mati nanti. Di dalam iman
kepada Isa al-Masih, tidak ada istilah “insyaallah.”
Yang ada hanyalah – pasti atau tidak. Orang yang paling kecewa dan hampa di dunia
ini ialah orang yang ingin pergi ke syurga tetapi tidak pasti samada dia akan
dapat pergi atau tidak. Hanya apabila kita benar-benar pasti tentang destinasi
kehidupan kita, barulah kita dapat mengalami kebahagiaan sempurna. Oleh itu,
Isa berkata tentang diri-Nya, “Akulah jalan,
kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku”
(Yahya 14:6). Isa al-Masih ialah satu-satunya jalan kepada Allah Yang Maha
Tinggi. Mengenal Isa bererti mengenal Allah, dan mengenal Dia memberikan kita
kepastian tentang keselamatan kita. Dengan ini, kebahagiaan kita sempurna!
Adakah kamu mengenal Isa
secara peribadi? Adakah kamu “hidup dalam
keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya, Isa al-Masih” (1 Yahya 1:3)?
Adakah kamu mengalami dan merasa hadirat-Nya dalam kehidupan kamu? Adakah kamu
mempunyai sukacita dan kebahagiaan hasil daripada hubungan intim kamu dengan
Dia? Jika ya, berbahagialah! kamu ialah pengikut Isa yang sebenar.
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment