Tuesday, October 16, 2012

Yesus Makan di Rumah Seorang Berdosa

Ini yang saya belajar daripada pembacaan Firman dalam Injil Lukas pagi tadi:

Apabila Yesus tiba di situ, Dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, “Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu.” Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan kegembiraan. Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut. Mereka berkata, “Orang ini menumpang di rumah seorang berdosa!” Zakheus berdiri dan berkata kepada Yesus, “Guru, saya akan mendermakan separuh daripada harta saya kepada orang miskin. Sesiapa sahaja yang pernah saya tipu, akan saya bayar kembali empat kali ganda!” (Lukas 19:5-8)

Zakheus pernah membuat keputusan yang salah dalam kehidupan dia (siapa tidak pernah kan?). Orang ramai memanggil dia “seorang berdosa”. Harus kamu tahu di sini bahawa bagi orang pada zaman Perjanjian Baru, pemungut cukai ialah pekerjaan yang sangat dibenci oleh masyarat kerana mereka akan memungut cukai berlebihan dan mereka dikatakan pengkhianat kerana mereka memungut cukai untuk kerajaan penjajah Roma pada masa itu. Berdosa. Penipu. Pengkhianat. Dan Zakheus ialah “seorang ketua pemungut cukai” (Lukas 19:2) – ini membuatkan dia lebih dipandang hina oleh semua orang. Tetapi apabila Zakheus berjumpa dengan Yesus, terus bersama dengan Yesus; kehidupan dia berubah dan dia telah membuat satu keputusan yang baru – yang sangat bermakna dalam hidup dia.
...................
Apabila kamu membaca tentang siapa diri Zakheus itu, mungkin kamu kenal orang yang seperti dia – berdosa, penipu dan pengkhianat. Ada saja gambaran orang yang berdosa seperti pelacur, pencuri ,perogol, pembunuh dan sebagainya. Mungkin juga ada gambaran seorang penipu seperti kawan kamu, ibubapa, guru atau rakan sekerja kamu. Dan mungkin kamu teringat akan orang yang pernah mengkhianati kamu seperti kawan baik kamu, bekas kekasih atau pasangan kamu sekarang. Kita melihat ‘Zakheus’ dalam setiap orang kecuali dalam diri kita sendiri... Kawan, ‘Zakheus’ ialah kamu dan saya. Kita pernah membuat keputusan yang salah dalam hidup kita. Dan kita, pada asalnya ialah orang yang berdosa, penipu dan pengkhianat terhadap Tuhan dan sesama manusia. Di sini, dalam Firman Tuhan, Yesus telah hadir dalam hidup kita. Inilah masanya untuk kamu berubah ke jalan yang benar dan seperti Zakheus, membuat keputusan yang baru – untuk terus bersama dengan Yesus.

Keputusan dalam hidup kamu sangat penting untuk menentukan siapa kamu sekarang dan masa akan datang. Selalunya, setiap keputusan yang kamu ambil seringkali dipengaruhi oleh orang yang selalu kamu dampingi bersama. Lebih banyak masa kamu bersama mereka, lebih hebat lagi mereka mempengaruhi keputusan kamu. Oleh kerana itu, apabila kamu meluangkan masa dengan Yesus, kamu mendapati bahawa kamu akan lebih pandai membuat keputusan yang baik dalam hidup kamu dan mampu menjauhi kamu daripada membuat keputusan yang salah kelak. Kamu akan seperti Zakheus, kehidupan dan sikap kamu akan berubah seperti yang Tuhan inginkan apabila kamu terus bersama dengan Yesus. Perubahan yang bermakna dalam hidup Zakheus bermula apabila dia “menyambut Yesus dengan kegembiraan”. Kuasa penyelamatan Yesus telah memulihkannya.

Kawan, Zakheus seorang berdosa, penipu dan pengkhianat boleh diselamatkan oleh Tuhan apabila dia membuat keputusan untuk menyerahkan dirinya kepada Yesus, terus bersama Yesus – Yesus memulihkan dia. Yesus yang mengubah dia. Kamu pun boleh membuat keputusan itu!

Yesus berkata kepada [Zakheus],
Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu...
Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat
.
”’
(Lukas 19:9-10)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]