Thursday, October 18, 2012

Hidup dalam Keseimbangan

Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihi mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ.” (Matius 14:13-14)

“...berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa.” (Lukas 5:15-16)

Hari ini kami pergi menaiki Gunung Singai di Bau, Lundu untuk membuat refleksi diri sendiri berdasarkan Firman Tuhan. Tempat itu sungguh indah sekali. Ia dikelilingi oleh tumbuhan-tumbuhan yang hijau, cuaca yang agak sejuk, udara yang segar dan jauh daripada kebisingan dan kesibukan kota – sangat tenang. Itulah pengalaman yang saya dapat apabila menaiki tempat yang tinggi kerana disana selalunya sunyi dan sesuai untuk menenangkan diri. Di situ juga saya dapat menfokuskan hati saya kepada Tuhan sepenuhnya (dan bukannya tentang hal lain).

Kita selalu berfikir bahawa Tuhan akan sangat bersukacita apabila kita terus menerus tanpa henti melayan Dia. Kita berpendapat bahawa Tuhan akan dimuliakan apabila kita melakukan pekerjaanNya setiap masa, 24 jam. Baik tapi sangat berbahaya. Benar tapi tidak kekal. Bagus tapi berisiko. Lihatlah Yesus, dalam kemanusiaanNya Dia memberi contoh hidup yang sangat memuliakan Tuhan. HidupNya seimbang – bersosial dan bersendirian, bertindak dan berfikir, melakukan misi dan merenungkan Firman. Dia bekerja keras untuk menolong orang, tapi Dia juga mengambil masa untuk berehat. Keseimbangan ini membolehkan Dia sentiasa terbuka untuk mendengar perintah Bapa dan dapat mengelakkan Diri daripada tekanan atau kehendak manusia.

Keseimbangan dapat memberikan kita ketenangan apabila kita menyedari bahawa kita tidak perlu melakukan segala-galanya – hanya perkara yang Tuhan mahukan dalam hidup kita. Yesus tidak habis menyembuhkan penyakit semua orang, tapi Dia habis melakukan apa yang Bapa mahukan dalam hidup Dia (mati di kayu salib bagi semua dosa manusia dan bangkit semula selepas 3 hari). Yesus ialah yang paling sibuk (malah lebih sibuk daripada kamu dan saya). Ramai orang datang untuk mendengar Dia berfirman, ramai yang datang untuk melihat Dia melakukan mukjizat, ramai yang datang untuk disembuhkanNya, tetapi Dia tetap mengambil masa “untuk pergi ke tempat sunyi.” Kamu pula bagaimana?

Kawan, kita perlukan keseimbangan dalam hidup ini. Tidak melakukan sesuatu terlalu cepat sehinggakan kita tidak mendengar panggilan Tuhan, tetapi tidak juga terlalu lambat sehingga kita terlepas peluang yang Tuhan berikan kepada kita. Keseimbangan membolehkan kita mendengar dan melihat peluang yang Tuhan berikan kepada kita. Keseimbangan membolehkan kita membuka hati untuk menerima bimbingan Roh Kudus.

Kawan, adakah kamu hidup dalam keseimbangan? Lihatlah Yesus, Dia, “pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa”.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP. 
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]