“Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji” (Amsal 31:30).
“[TUHAN] berfirman kepada Samuel, ‘Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati’” (1 Samuel 16:7).
Paras rupa dan penampilan seseorang itu memang penting, tidak dinafikan lagi. Jika ada sesiapa yang berkata, ‘saya tidak perlu bersolek semasa perkahwinan saya’ atau ‘saya tidak perlu menggunakan tali leher dan berpakaian kemas untuk pergi bertemu duga’ atau ‘tidak kisah jika saya menggunakan selipar jepun ke pejabat’ atau ‘saya tidak semestinya perlu menggosok gigi dan menggunakan baju bersih untuk menjadi pelayan’ – mereka ini adalah orang yang selekeh, dan tidak memahami apakah maksud sebenar Amsal 31:30 dan 1 Samuel 16:7.
Sekali lagi, paras rupa dan penampilan itu memang penting; tetapi BUKANlah sesuatu yang paling penting. Bentuk badan kamu, muka dan baju (ala-ala K-pop katakan) yang kamu pakai hanyalah gambaran tentang rupa luaran kamu sahaja. Ianya tidak kekal dan akhirnya akan berubah mengikut usia kamu. Jiwa dan keperibadian kamu pula adalah gambaran tentang sifat dalaman kamu. Ianya kekal, tidak berubah mengikut usia dan ia menunjukkan siapa diri kamu yang sebenarnya. Amsal 31:30 menyatakan bahawa,“Kejelitaan menipu mata, kecantikan [luaran] pun tidak kekal; tetapi seorang wanita [dan juga lelaki] yang menghormati TUHAN [dalaman] harus dipuji”
Tidak salah jika kamu mahu menjaga paras rupa dan penampilan fizikal kamu (malah digalakkan), tetapi janganlah ianya menjadi sangat terutama dalam hidup kamu sehinggakan kamu tidak mempedulikan tentang kerohanian kamu. Kawan, fokus kepada yang kekal! Kawan, bangun daripada kenyataaan! Kawan, fikirkanlah tentang hubungan kamu dengan Tuhan! Ingat: Tuhan ‘tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi [Tuhan] melihat hati’. Bukankah bagaimana Tuhan melihat kamu adalah lebih penting daripada bagaimana orang lain melihat kamu?
Biarlah paras rupa Yesus dinampakkan di dalam diri kamu. Biarlah keperibadian Yesus dinyatakan di dalam kehidupan kamu. Biarlah penampilan Yesus bersinar supaya “mereka memuji perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:16). Baju yang mempunyai tulisan Firman Allah adalah baik, tetapi hati yang taat kepada Firman Allah adalah lebih baik. Kereta yang mempunyai pelekat ‘Yesus adalah segala-galanya’ adalah baik, tetapi kehidupan yang menunjukkan Yesus adalah segala-galanya melalui cara kamu menggunakan wang, cara kamu bergaul dengan orang lain, percakapan dan sikap kamu seharian adalah lebih lebih lebih baik lagi.
Hello kawan, 'cantik'kah kamu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment