Saturday, October 25, 2014

Yesus yang Mungkin Kamu pernah Dengar tetapi tidak Kenal secara Peribadi


Tiada siapa diantara kita yang suka diarah oleh orang lain. Ada sesuatu tentang diri manusia yang tidak senang apabila diberi arahan. Kita tidak kesah jika kita diberitahu untuk melakukan sesuatu, kita mungkin dengan sukarela ingin melakukannya. Tetapi apabila diarahkan untuk melakukannya? Kita mungkin tidak senang hati. Majikan, rakan sekerja dan termasuk ibubapa juga. Kadang-kadang kita mahu berkata kepada mereka untuk pergi jauh dari kita.

Yesus ialah seorang Individu yang suka mengarahkan kita tentang apa yang harus kita fikirkan, apa yang harus kita lakukan, dan bagaimana untuk kita menjalani kehidupan ini. Yesus mengajar dengan penuh yakin dan begitu pasti. Ada perkara yang Dia katakan sangat menakjubkan sehingga sesiapa yang mendengar-Nya menyangka bahawa Dia seperti seorang yang sangat berpelajaran dan berpengetahuan tinggi. Namun, pada masa yang sama orang ramai tahu bahawa Dia tidak pernah pergi ke sekolah teologi atau melanjutkan pelajaran ke universiti.  Ramai orang mengaku bahawa Dia memiliki kebijaksanaan dan mempunyai autoriti untuk berkata sesuatu. Kemana saja Dia pergi ramai orang akan ikut, dan apabila Dia berkhutbah mereka akan mendengar-Nya dengan sepenuh perhatian dan seringkali ingin mendengar lebih lagi. Mereka tidak semestinya percaya, tetapi mereka sangat tertarik kepada-Nya. Ada sesuatu yang unik tentang Guru ini.

Kata-kata yang datang dari mulut Yesus sangat berbeza daripada guru-guru yang pernah mereka dengar sebelum ini. Dia tidak membuang masa membaca atau mendengar kata-kata daripada orang lain. Dia tidak memetik ucapan atau merujuk kepada tulisan guru Taurat yang lain sekerap guru-guru pada masa itu. Malah, Dia berkongsi tentang pengetahuan peribadi-Nya bersama TUHAN dan menyatakan Firman-Nya dalam setiap isu kehidupan mereka. Dia kadang-kadang bertindak untuk memberi penjelasan dan menggunakan autoriti-Nya menyampaikan Firman yang lebih tinggi lagi dari para nabi dan guru-guru pada masa lalu. “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita… tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu…” (contoh, Matius 5:21). “Percayalah…”, “ Sungguh benar kata-kata-Ku ini…” (contoh, Yohanes 5:19,24).

Mereka tidak pernah mendengar orang berkata-kata seperti Yesus. Ini ialah suatu ajaran yang baru, kata mereka. Matius 7:28-29 menyimpulan reaksi mereka begini: “Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar. Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka” (BM). Guru Taurat mengajar mereka melalui ‘autoriti’; Yesus mengajar mereka dengan autoriti – dan mereka semua pasti dan mengaku bahawa Dia unik dan berbeza daripada orang lain.

Mungkin kamu pernah mendengar tentang Yesus. Mungkin juga kamu mendengar-Nya melalui orang lain di gereja, masjid, kuil, televisyen, radio atau internet (atau hanya melalui blog ini). Mungkin kamu pernah membaca buku-buku yang ditulis oleh ahli sejarawan atau ahli ulama agama. Mungkin juga kamu tidak didedahkan langsung tentang siapa diri Yesus yang sebenar. Mungkin kamu percaya bulat-bulat tentang tanggapan dan perkongsian orang lain tentang Yesus. Mungkin juga kamu tidak kesah. Saya tidak tahu. YESUS KRISTUS. Nama yang seringkali membuat orang tertanya-tanya. Nama yang menimbulkan rasa marah kepada orang yang tidak percaya kepada-Nya. Nama yang sangat ditakuti dan Nama yang menyebabkan umat-Nya dianiaya di seluruh dunia. Dan Nama yang menyebabkan Alkitab dirampas dan dibakar tanpa sebab. Bagi orang yang mengenal-Nya secara peribadi, Nama YESUS membawa kebebasan, harapan dan ketenangan. Bagi kamu, siapakah Yesus itu? Siapakah Dia sehingga Dia berkata seperti ini?

Mula dengan membaca kitab-kitab injil tentang Yesus dalam Alkitab Perjanjian Baru.
Berdoa semoga Tuhan memberikan petunjuk dan iman untuk kamu melihat kebenaran-Nya.
Inilah masanya untuk kamu mengenali YESUS secara peribadi.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]