Sunday, October 5, 2014

Iblis menyamar Sebagai Malaikat Cahaya


Dalam 2 Korintus 11:13-15, Rasul Paulus menulis tentang nabi palsu: “Mereka rasul palsu. Mereka berdusta tentang kerja mereka dan mereka menyamar seperti rasul Kristus. Hal itu tidak menghairankan! Iblis pun dapat menyamar seperti malaikat yang gilang-gemilang. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika hamba-hamba iblis menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah. Akhirnya mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan semua perbuatan mereka” (BM).

Iblis selalunya akan menggunakan hamba-hambanya untuk menyampaikan ajaran-ajaran baru dan mengajar tafsiran Alkitab yang tidak betul. Dan mereka seringkali akan bersaksi bahawa mereka mempunyai hubungan yang ‘unik’ dengan TUHAN (berbanding dengan orang lain) atau mendakwa bahawa mereka mendapat ‘wahyu istimewa’ dari syurga atau apa sahaja yang bertentangan dengan Firman Allah yang benar. Kadang-kadang mereka akan berkata dan kelihatan seperti sangat rohani – malah begitu mistik – seperti ajaran-ajaran sesat pada masa ini.

Bagi saya, apa yang sangat menakutkan ialah mereka suka mencampur-adukkan kebenaran dengan ajaran sesat yang sangat berbahaya bagi kehidupan rohani kita. Ada sesetengah daripada mereka juga mendakwa bahawa mereka menulis buku-buku yang ‘diilhami’ oleh TUHAN sendiri dan sama pentingnya dengan Alkitab. Selain itu, oleh kerana iblis suka “menyamar seperti malaikat cahaya” dan “menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah”, mereka sangat mahir dengan Alkitab dan mampu memetik Firman keluar dari conteks ayat. Kita harus berhati-hati!

Jadi, apa yang kita harus lakukan? Kita diingatkan oleh Firman Allah dalam 1 Yohanes 4:1-3, “Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerena banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat. Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah. Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini.” Selain daripada itu, biasakan diri dengan Firman Allah kerana hati dan pemikiran yang dipenuhi dengan Firman-Nya, akan lebih mudah mengenal samada suara itu datang daripada-Nya atau tidak. Berdoa dan biarlah Roh Allah yang memimpin kita. Amen.

Uji setiap roh yang ada.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]