Apa orang Kristian perlu tahu tentang Pembelajaran Alkitab
(Bible Study)? Dalam kita belajar atau mengkaji Alkitab, kita harus bergantung kepada Roh
Allah untuk membantu kita. Dia ialah “Penolong yang diutus oleh Bapa”
(Yohanes 14:26), dan kita harus sentiasa menjemput Dia untuk membimbing kita
bagi “mengetahui
segala kebenaran” (16:13) yang kita perlu tahu untuk hidup seperti seorang Kristian. Tidak ada
cara yang ringkas dan mudah untuk kita mengkaji Alkitab. Ianya tidaklah begitu
susah tetapi tidak terlampau mudah juga. Ianya memerlukan usaha gigih,
ketekunan dan sikap rendah diri yang mahu belajar dan diajar oleh Tuhan.
Untuk menjadi seorang pelajar Alkitab yang setia dan serius, secara asas
kita memerlukan beberapa ‘peralatan’
untuk membantu kita:
1) Buku Pelajaran Alkitab (Study
Bible) yang bagus. Antaranya saya cadangkan ialah, Zondervan’s NIV Study Bible dan Life
Application Study Bible. Kedua-dua Alkitab ini mengandungi banyak nota-nota
rujukkan yang baik untuk kita memahami isi kandungan Firman Allah;
2) Buku konkordans atau buku indeks
perkataan Alkitab (Bible concordance) yang bagus. Selalunya, dalam setiap
Buku Pelajaran Alkitab ada terdapat konkordans yang ringkas dan asas di muka
surat belakang. Salah satu buku yang saya guna ialah The Strong’s Exhaustive Concordance kerana ia mengandungi rujukkan
maksud dalam bahasa asal Yunani dan Ibrani. Saya guna jika perlu sahaja;
3) Kamus Alkitab (Bible Dictionary)
yang bagus. Kamus ini mengandungi pelbagai maklumat yang berguna tentang
subjek-subjek penting di dalam Alkitab. Bagi saya, IVP’s Bible Dictionary Series adalah sangat membantu.
4) Selain daripada itu, Buku Panduan
Alkitab (Bible Handbook) (seperti What
the Bible is All About oleh Dr. Hendrietta C. Mears dan The Complete Guide to the Bible oleh
Stephen M. Miller) juga sangat berguna.
Tip: Kecuali Buku Pelajaran Alkitab yang agak mudah
untuk dicari, kadang-kadang agak susah bagi kamu untuk memiliki buku-buku rujukkan
seperti di atas kerana tidak banyak kedai-kedai buku Kristian yang ada di
Malaysia (terutamanya di Sarawak). Mungkin juga kamu tidak mampu memilikinya
kerana kosnya agak mahal sebagai permulaan. Oleh itu, cara yang paling mudah
ialah dengan memuat turun aplikasi E-Sword dengan percuma. E-Sword
memiliki hampir kesemua ‘peralatan’
di atas dan ianya cukup sebagai asas. Cubalah!
Selepas kamu siap dengan ‘peralatan’
di atas, kamu sudah bersedia untuk menjadi pengkaji Alkitab yang setia dan serius;
a) Perkara pertama yang kamu
perlu lakukan ialah membahagikan masa yang sesuai untuk duduk dan mula membaca
Alkitab. Saya mencadangkan supaya kamu membaca kitab Matius terlebih dahulu sampai
habis Perjanjian Baru. Selepas itu, teruskan membaca kitab Kejadian sampai
habis Perjanjian Lama. Kamu boleh menggunakan pelan membaca Alkitab setahun
atau 3 tahun bergantung kepada keupayaan membaca kamu [Fellowship of Evangelical Students (FES) Malaysia mempunyai pelan untuk membaca Alkitab dalam masa 3
tahun; satu bab satu hari. Jika kamu mahu pelan ini secara percuma, sila beri
komen di bawah]. Jangan baca hanya untuk mengenapi pelan membaca, tetapi baca
untuk memahami apa yang Alkitab ingin katakan.
b) Apabila kamu sampai kepada
perkataan yang kamu tidak faham, sila rujuk kamus Alkitab atau kamus biasa.
Jika kamu tidak tahu maksud ayat Firman itu, sila baca semula dalam kontek ayat
sebelumnya dan selepasnya; dan kaji maksud ayat itu dengan lebih terperinci
lagi. Jika tidak dapat juga, tulis nota tentang masalah ini, dan cari maksudnya
di dalam Buku Pelajaran Alkitab atau buku komentar apabila kamu ada masa nanti
[Antara buku-buku komentar yang saya cadangkan ialah IVP’s The Bible Speaks Today commentary series].
c) Membandingkan Firman Allah
dengan Firman Allah yang lain. Adalah sangat bahaya dan cuai untuk kita membuat
kesimpulan tentang ajaran Alkitab hanya dengan menggunakan satu ayat Firman
sahaja. Cari dengan teliti apakah ajaran yang konsisten di dalam keseluruhan
Alkitab tentang subjek-subjek tertentu. Bak kata ahli teologi dahulu: “Kebenaran tidak akan bercanggah dengan kebenaran”.
d) Adalah sangat bermanfaat
untuk kamu menulis dan menjawab soalan-soalan ini (jika ada) selepas kamu membaca
Alkitab;
(1) Apa yang saya sudah pelajari
tentang Yesus Kristus? (Apabila kamu membaca kitab Perjanjian Lama,
kadang-kadang kamu mendapati bahawa ada nubuat, bayangan atau petunjuk tentang
Kristus, Penyelamat kita).
(2) Apakah prinsip utama Alkitab
yang saya pelajari di dalam bacaan saya ini?
(3) Apakah janji Allah yang boleh
saya pegang dalam kehidupan saya?
(4) Mana satukah ayat Firman yang
berbicara dengan saya secara peribadi?
(5) Apakah dosa yang harus saya
jauhi?
(6) Apakah contoh yang boleh saya
ikuti?
e) Berbicara atau berkongsi
dengan orang lain tentang apa yang telah kamu pelajari melalui pembacaan Firman
Allah pada hari itu. Ada dua faedah yang kamu akan dapat dengan berbuat begitu:
1) Kamu akan lebih ingat tentang pelajaran itu; dan 2) kamu juga akan
memberkati orang lain yang mendengar hasil pembelajaran kamu tentang Alkitab.
Secara peribadi, ada dua cara untuk saya berkongsi hasil kajianan saya; 1)
melalui perbualan biasa, dan 2) melalui media seperti Facebook dan Blogger.
Cubalah!
f) Cuba untuk mengingati
beberapa ayat Firman Allah setiap minggu. Antara ayat-ayat yang penting
untuk kita ingat ialah seperti Yohanes 3:16, Yohanes 3:36, Roma 10:9 dan
sebagainya. Biarkan Firman Allah sentiasa bermain di dalam fikiran kamu sehinggalah
kamu benar-benar percaya di dalam hati. Kamu pasti akan mendapati bahawa ianya
sangat berguna bagi kamu secara peribadi dan kamu akan lebih yakin apabila
berbicara dengan orang lain mengenai Firman Allah [Bagi saya, saya sangat lemah
untuk mengingati nombor. Apa yang saya lakukan ialah mengingati ayat Firman
dengan menggunakan imaginasi dan nada suara. Ini sangat berkesan bagi saya... mungkin
tidak berkesan bagi semua orang].
g) Tujuan utama, seharusnya, kita
belajar Alkitab ialah agar kita menjadi pelaku Firman Allah (bukan hanya semata-mata
untuk mengkaji dan mengetahui maksudnya). Kita patut membiarkan Firman
Allah menegur kita, membetulkan kita, mendorong kita dan membentuk peribadi kita
sehingga menjadi seperti Tuhan Yesus.
Kesimpulan: Ingat! Apabila kita mengkaji
Alkitab, kita sebenarnya mengkaji Firman Allah yang Hidup. Ia hidup kerana
Allah yang berfirman itu hidup dan Ada bersama dengan kita sekarang. Untuk
mengenal Allah, kita harus mengenal Firman-Nya; untuk mengetahui kehendak
Allah, kita harus mengetahui Firman-Nya; dan untuk kita mengasihi Allah, kita
harus tahu akan kasih-Nya dan sentiasa mengingati perbuatan-Nya bagi kita.
Jadi, dengan kuasa dan pimpinan Roh Allah – lakukan yang terbaik untuk menjadi
pelajar Kristus yang setia dengan mengkaji Alkitab “siang dan malam”
(Yosua 1:8).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
I want 1...haha...ila bc msa pegi fes..orite...
ReplyDeleteSure geng, datang dan ambil ataua saya bagi masa kita jumpa nanti. ha2
Delete