Bagaimana seorang Kristian
boleh memilih gereja? Kita harus tahu bahawa sebaik
sahaja seseorang menjadi pengikut Kristus, dia sudah menjadi anggota tubuh Kristus
di dalam gereja. Gereja ialah sebuah persaudaraan yang terdiri daripada
pengikut-pengikut Kristus tidak kira apa kaum, warna kulit atau budaya sekalipun.
Terdapat ramai jemaah gereja diseluruh dunia – termasuk juga di Malaysia.
Walaupun begitu, adalah mungkin bagi orang-orang
Kristian untuk berkumpul walau dimanapun mereka berada dan berfungsi sebagai
sebuah gereja mengikut apa yang diajar melalui Alkitab. Sebagai contoh,
persatuan persaudaraan Kristian di kampus-kampus. Semasa Perjanjian Baru,
pengikut-pengikut Kristus seringkali bertemu di rumah-rumah (lihat Roma 16:5,
Filemon 2); dan kita membaca bahawa “dengan tekun mereka menerima ajaran daripada
rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa
bersama-sama” (Kisah Rasul-rasul 2:42).
Sekarang, adalah sangat jelas bahawa kehendak Allah ialah supaya orang-orang
Kristian berkumpul dan bersama secara lazim di gereja. Ibrani 10:25
mengatakan bahawa: “Janganlah
kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh
beberapa saudara”. Lebih daripada itu, banyak firman di dalam
Perjanjian Baru yang mengajar tentang kelebihan dan tanggungjawab kita sebagai
anggota tubuh Kristus (lihat 1 Korintus 12).
Namum begitu, ramai diantara kita orang Kristian
(terutamanya Kristian yang baru) keliru atau/dan tidak tahu bagaimana untuk
memilih gereja yang sesuai. Ada pelbagai mazhab diantara orang Kristian, dan
juga ada pelbagai ajaran yang berbeza di dalam gereja. Kita tahu bahawa tidak ada ajaran gereja yang betul-betul sempurna di
dunia ini kerana manusia tidak sempurna, tetapi, kita harus mencari gereja yang
setia dan terus berpegang kepada ajaran Alkitab.
Oleh itu, 3 senarai dibawah disediakan kepada
mereka, khususnya orang Kristian yang baru, untuk membantu mencari gereja yang
sesuai. Harus diingat bahawa dalam mencari gereja, kita patut datang kepada
Allah dalam doa supaya kehendak-Nya boleh kita ketahui. Setiap fahaman kita
tentang gereja mestilah datang dari Firman-Nya sahaja. Tradisi dan adat manusia
(yang wujud di gereja sekarang) haruslah diuji dan difahami dengan
membandingkannya dengan ajaran Alkitab.
1) Pastikan
bahawa gereja yang kita ingin pergi dan sertai mengaku bahawa Alkitab ialah
Firman Allah yang diinspirasi oleh Allah sendiri dan tidak pernah silap. Alkitab ialah satu-satunya autoriti yang mutlak dalam segala hal yang
berkaitan dengan iman dan pekerjaan orang Kristian. Adalah tidak cukup untuk
mengatakan bahawa Alkitab mengandungi
Firman Allah – ia ialah Firman Allah.
Oleh itu, ia ialah sumber kebenaran, dan kita harus mempercayainya dan taat
kepadanya (2 Timotius 3:16-17).
2) Pastikan
bahawa kebanyakkan umat-umat gereja (terutamanya, pemimpin-pemimpin) tahu dan
jelas tentang siapa diri Kristus yang sebenar. Banyak orang sedia mengaku
bahawa Kristus ialah seorang pemimpin yang hebat, seorang manusia yang paling
unik di dunia, atau seorang yang memiliki ciri-ciri ‘ketuhanan’. Tetapi, kebenarannya ialah Penyelamat kita, Yesus
Kristus ialah Tuhan – dan tidak kurang daripada itu (Kolose 2:9). Amen!
3) Dan terakhir sekali ialah; pastikan bahawa ajaran tentang pekerjaan Kristus adalah benar dan kukuh. Alkitab mengajar bahawa Tuhan Yesus hidup tanpa berbuat dosa, bahawa Dia
rela mati bagi dosa kita di kayu salib, bahawa Dia dikuburkan, bahawa selepas 3
hari Dia dibangkitkan semula, bahawa kemudiannya Dia telah diangkat ke Syurga
dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan Allah. Keselamatan hanya boleh dimiliki melalui iman dalam Kristus iaitu pekerjaan
Allah dan tidak melalui pekerjaan manusia. Hanya melalui darah Kristus barulah
dosa kita dapat diampuni – inilah kebenaran yang paling penting yang gereja
harus percaya, tahu dan ajarkan.
Selain daripada 3 senarai diatas, kita juga harus
pastikan bahawa gereja yang kita ingin pergi dan terus melayani tahu tentang
kebenaran-kebenaran di bawah sebagai tubuh Kristus di gereja;
1) Kristus
ialah Kepala jemaah gereja (Efesus 4:15). Tiada sesiapa yang boleh
mengambil kedudukan tertinggi ini. Apabila Kristus diakui sebagai Kepala; jemaah gereja akan melihat Dia
sebagai yang teratas dan Dia sahaja ialah pemimpin dan pembimbing utama kita.
2) Setiap
pengikut Kristus ialah anggota tubuh Kristus (1 Korintus 12:12-13). Setiap
anak-anak Allah yang benar layak untuk bersekutu di dalam persaudaraan di
gereja [Namun begitu, orang yang tidak memiliki ajaran yang benar (2 Yohanes
10) dan orang yang masih hidup dalam dosa (1 Korintus 5:13) – haruslah diusir
dari persaudaraan Kristus selagi mereka tidak datang kepada Allah untuk
diampuni dan disucikan]. Orang yang belum percaya tidak harus dianggap sebagai
anggota tubuh Kristus sehingga mereka mengaku dengan iman bahawa Yesus Kristus
ialah satu-satunya Juruselamat dan Tuhan mereka.
3) Setiap
pengikut Kristus ialah imam-imam Besar (1 Petrus 2:9). Di dalam Perjanjian
Baru, tidak ada perbezaan diantara seorang imam dengan seorang yang biasa.
Setiap orang Kristian sekarang boleh datang kehadapan Allah melalui iman untuk
membawa korban kesyukuran dan pujian semyembahan dan pekerjaan pelayanan. Sejak
dari gereja pertama dahulu, setiap orang ialah pengkaji Firman Allah, setiap
orang ialah pemenang jiwa, setiap orang bekerja bagi Allah. Ini sepatutnya
menjadi ciri-ciri utama setiap jemaah gereja.
4) Autoriti
Roh Allah haruslah diakui. Samada dalam puji sembah atau pekerjaan,
pelayanan atau disiplin, Roh Kudus harus diberi kebebasan untuk membimbing
semuanya. Bimbingan dan autoriti Roh Allah tidak harus dibataskan oleh tradisi
atau upacara-upacara atau peraturan-peraturan perbuatan manusia (2 Korintus
3:17).
Secara kesimpulannya, orang Kristian yang baru
(khususnya) harus memilih persaudaraan gereja yang mengaku bahawa Alkitab
ialah satu-satunya autoriti yang utama dalam kehidupan orang Kristian; gereja
yang tahu
dan jelas tentang siapa diri Kristus yang sebenar; dan gereja yang mengajar
tentang pekerjaan Kristus dengan betul dan benar. Saudara dan saudariku dalam Kristus, memang agak susah untuk kita
mencari gereja yang sesuai dan seperti ini. Oleh itu, berdoalah kepada Allah dan teruskan bertekun dalam membaca dan menyelidiki Firman Allah
agar Dia akan memberikan kamu petujuk untuk gereja mana yang patut kamu pergi.
Ingat: tiada gereja yang
sempurna, hanya Allah sahaja yang sempurna. Carilah dan taatilah Dia terlebih
dahulu – Yesus Kristus ialah yang terutama! Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO
DEEP.
Am I overlooking the translator function on your Blog? Thank you for a reply
ReplyDeleteHi, I'm not sure what do you mean. Are you looking for "translation function" (as in icon) on this blog? I don't know how to install or use it. Btw, thank you for commenting :)
Delete