Bagaimana seorang
Kristian boleh membawa orang lain kepada Kristus? Memenangkan jiwa bagi Yesus
Kristus adalah satu pekerjaan yang paling hebat sekali di dunia (bukan untuk
mendapat ‘pahala’ – tidak ada istilah
‘pahala’ dalam ajaran Kristian –
tetapi kerana kita ingin berkongsi sukacita dalam mengenal Kristus secara
peribadi). Walaupun tidak ada cara-cara atau langkah-langkah yang teratur (yang
bersistem) untuk memastikan kejayaan dalam memenangi jiwa bagi Kristus, ada
beberapa prinsip asas yang penting yang boleh membantu kita untuk
melakukannya dengan sebaik mungkin;
1)
Adalah sangat mustahak bagi kita yang
ingin memenangi jiwa bagi Kristus haruslah sendiri sihat dari segi
rohani.
Kita mestilah sentiasa memenuhi jiwa, hati dan fikiran kita dengan Firman Allah.
Kita harus sentiasa meluangkan masa untuk berdoa. Kita perlu menyerahkan
kehidupan kita kepada Allah setiap waktu. Kita mesti mengaku dan meninggalkan
dosa yang lalu. Dengan berjalan bersama Roh Allah, Allah sendiri akan mengajar kita
untuk bersaksi tentang-Nya. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya dahulu
dan kepada kita orang Kristian sekarang: “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang
supaya menjadi pengikut-Ku” (Matius 4:19).
2)
Adalah baik sekiranya kita berdoa setiap
hari meminta Allah membimbing kita kepada orang yang Dia telah panggil untuk
kita bersaksi tentang-Nya. Kita tidak mungkin boleh bersaksi kepada semua orang
yang kita jumpa setiap hari dan kita tidak mungkin dapat mengetahui siapakah
yang sudah siap untuk ‘dituai’ –
tetapi kita yakin bahawa Allah tahu. Biarlah Allah sendiri yang membimbing kita
agar apa yang kita lakukan pada masa itu boleh membuahkan banyak lagi hasil ‘tuaian’ kepada-Nya.
3)
Kita harus mengambil sebaik mungkin
peluang untuk bersaksi tentang Kristus. Peluang sentiasa ada
dimana-mana setiap masa. Ambil peluang ketika kita berbual kosong atau ketika
kita berbincang mengenai perkara-perkara yang berlaku disekeliling kita dengan
orang lain. Kadang-kadang kita tidak perlu menunggu peluang datang – kita
sendiri harus mencari peluang itu. Ketika ramai orang berbual tentang perkara
politik, isu agama, keadaan cuaca dan berita sukan, kita boleh berbicara tentang perspektif dan ajaran Alkitab mengenai hal-hal tersebut. Pendek kata, kita harus mengambil
peluang ini untuk berbicara tentang Kristus. Kenapa kita harus tutup mulut tentang Kristus, Penebus dosa kita?
4)
Cuba untuk memetik Firman Allah sekerap
yang mungkin. “Firman
Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua”
(Ibrani 14:12). Ia mempunyai kuasa untuk menyentuh jiwa lebih dalam lagi dari perkataan
yang datang dari mulut kita sendiri. Ia ialah “pedang” Roh Allah,
and setiap askar Kristus harus menggunakan senjata
ini dengan lebih kerap lagi. Mereka yang belum mengenal Allah akan cuba sedaya
upaya untuk menghalang kita daripada membaca atau pemetik Firman Allah. Jangan
berhenti. Jika mereka berkata bahawa mereka tidak percaya kepada Alkitab,
teruskan memetik Firman Allah lebih lagi.
5)
Sentiasa melakukan tindakkan susulan. Tidak ramai yang terus
beriman kepada Kristus selepas mereka mendengar Berita Baik tentang-Nya buat
kali pertama. Mereka selalunya akan mendengar berulang-ulang kali sebelum
percaya. Berlemah-lembutlah dengan mereka. Berilah mereka buku atau risalah
Kristian yang boleh membantu mereka untuk menjawab persoalan-persoalan yang
penting tentang Kristus sebelum membuat keputusan untuk beriman kepada-Nya. Terutama
sekali, berdoalah bagi mereka. Janganlah mudah tawar hati jika ada yang
menentang kamu. Penentangan ini menunjukkan bahawa mereka sudah mula disentuh
oleh Roh Allah; yang paling bahaya ialah bukan ini tetapi apabila mereka bersikap
tidak peduli atau tidak acuh.
6)
Jangan memaksa mereka untuk membuat keputusan. Keputusan yang diambil
secara terburu-buru atau secara paksaan adalah sangat tidak baik. Ianya mungkin
atas sebab manipulasi minda dan bukannya perubahan hati yang benar. Ianya bukan
sahaja tidak baik untuk individu tersebut, malah ianya tidak mencerminkan kasih
Kristus. Jadilah saksi Kristus yang setia – dan biar Allah sendiri yang
menyentuh hati mereka untuk membuat keputusan tersebut. Terus setia maka Allah
akan menambahkan lagi kuasa kesaksian kita. [Ingat: Hanya Roh Allah sahaja yang boleh
mengubah hati seseorang untuk menerima Kristus, kita hanya bersaksi bagi-Nya].
7)
Jika sukar untuk kita bersaksi dengan
orang lain tentang Kristus, beritahu Dia dan berdoa supaya Dia memberikan kita
kekuatan dan keberanian untuk bersaksi bagi-Nya. Jika kita benar-benar mahu, Dia
pasti akan melakukannya! (Saya begitu pasti tentang perkara ini kerana memang
ini kehendak-Nya).
8)
Kalau
boleh pastikan bahawa kita sentiasa membawa Alkitab atau buku-buku Kristian
bersama kita. Contohnya; Alkitab kecil seperti ‘Perjanjian Baru’ yang dicetak oleh The Gideons International atau buku
ringkas ‘Bukan Sekadar Tukang Kayu’ yang dicetak semula dalam bahasa Malaysia
oleh Fellowship of Evangelical Students
sangat berkesan untuk bersaksi bagi Kristus. Kita boleh memberi buku-buku ini
secara percuma kepada sesiapa yang kita jumpa samada di pejabat atau di tempat
kita belajar sekarang atau di tempat awam seperti di tempat makan, hotel atau
semasa berada di dalam bas. Jika ada yang bertanya tentang Kristus, kita sudah
bersedia.
Pesanan Khas: Bagi pelajar-pelajar Kristian yang sedang menuntut di kampus atau di universiti
di Malaysia, adalah sangat sukar dan bahaya bagi kamu untuk bersaksi secara
terbuka. Walaupun negara kita ada perlembagaan yang mengatakan bahawa kita
mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan beragama... tetapi... faham
sahajalah. Oleh itu, saya ingin memberi cadangan yang mudah dan selamat bagi
kamu: Bersaksilah bagi Yesus Kristus melalui cara hidup dan pergaulan kamu
dengan saudara-saudari Kristian yang lain. Jangan bersaksi melalui
perkataan kamu terlebih dahulu, bersaksi melalui perbuatan kamu dulu. Apabila
mereka yang belum percaya melihat perbuatan baik kamu dan memerhati bahawa kamu
hidup aman dan saling mengasihi sesama sendiri, mereka akan tertarik untuk
mengetahui apakah sebabnya. Biar mereka melihat dan bertanya; biar diri kamu
dilihat dan ditanya. Apabila mereka sudah tidak tahan lagi dan bertanya, “Richard, saya ada satu soalan yang saya
sering kali tertanya-tanya apabila melihat kamu – kenapa kamu sangat berbeza
dengan yang lain? Apa yang terjadi kepada kamu?” Maka kamu dengan sukacita
menjawab: “Yesus Kristus yang mengubah
saya”. Dari situ, kamu terus bersaksi tentang-Nya. Dengan ini, kamu secara teknikal tidak menyebarkan agama Kristian
kepada orang bukan Kristian secara langsung – tetapi kamu hanya menjawab
soalan yang ditanyakan kepada kamu. Tidak ada undang-undang Malaysia
yang boleh menghukum kamu untuk menjawab soalan seperti itu!
Biarlah sukacita ada bersama kamu
apabila kamu bersaksi bagi Tuhan Yesus Kristus.
“bagi Dia, satu-satunya Allah yang
penuh hikmat,
oleh Yesus Kristus: segala kemuliaan sampai selama-lamanya! Amin”
(Roma 16:27, TB).
oleh Yesus Kristus: segala kemuliaan sampai selama-lamanya! Amin”
(Roma 16:27, TB).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment